Kisah Kejatuhan Cecilia Cheung


      Dunia hiburan Hong Kong pernah digemparkan dengan salah satu skandal paling besar dan berprofil tinggi pada tahun 2008. Salah seorang yang terpalit dengan kontroversi ini ialah pelakon jelita, Cecilia Cheung.

     Dilahirkan di Hong Kong pada 24 Mei 1980, Cecilia dibesarkan dalam keluarga yang bergolak akibat penceraian ibu bapanya. Bapanya dilaporkan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. Setelah mengharungi zaman remaja di Australia dengan menyara diri melalui pelbagai pekerjaan secara sambilan, dia pulang ke Hong Kong sebelum mula menarik perhatian pencari bakat. Nasib Cecilia berubah drastik selepas membintangi iklan minuman teh lemon arahan pengarah tersohor Stephen Chow yang membuka jalan untuknya diangkat sebagai wajah baharu yang paling disegani.

      Kemuncak kejayaan Cecilia mula menampakkan hasil pada tahun 1999 apabila dia membintangi filem King of Comedy dan drama romantik Fly Me to Polaris yang membolehkannya merangkul Anugerah Pendatang Baharu Terbaik di Hong Kong Film Awards. Keupayaannya melakonkan pelbagai watak meletakkannya sebagai aktres papan atas yang paling bernilai di pasaran. Kedudukan ini diperkukuhkan lagi menerusi filem hebat seperti Lost in Time (2003) yang melayakkan Cecilia memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik selain kejayaannya menembusi pasaran besar tanah besar China dan Asia menerusi filem epik The Promise,. Pada era kegemilangannya, Cecilia bukan sahaja mendominasi layar perak dan carta muzik malah menjadi rebutan jenama mewah antarabangsa. Kehidupan peribadi Cecilia turut menjadi tumpuan apabila dia berkahwin dengan pelakon popular Nicholas pada tahun 2006. 

     Namun segala kemewahan dan kejayaan itu musnah dalam sekelip mata pada awal tahun 2008 akibat penularan foto-foto peribadi intim miliknya bersama beberapa selebriti lain termasuk Edison Chen di arena internet (Kisah penuh tentang kontroversi Edison Chen ini boleh dibaca melalui pautan di hujung artikel). Sebagai mangsa utama, imej suci yang dibina Cecilia bertukar menjadi sasaran kecaman, desakan agar dia meninggalkan industri serta boikot terang-terangan daripada penaja korporat dan penerbit filem yang bimbang akan risiko kutipan box-office. Tekanan persekitaran yang melampau ini turut memberi impak psikologi yang mendalam terhadap rumah tangganya bersama Nicholas Tse yang akhirnya menemui jalan buntu apabila pasangan itu rasmi bercerai pada tahun 2011.

     Biarpun berdepan dengan kemusnahan kerjaya dan cemuhan orang awam yang berat sebelah di mana selebriti lelaki sering kali lebih mudah dimaafkan berbanding wanita dalam skandal yang sama, Cecilia memilih untuk tidak terus bersembunyi. Dia tampil berani menerusi wawancara televisyen terbuka untuk mengakui kesilapan masa lalu tanpa meminta simpati buta serta menuntut hak untuk dinilai secara adil. Walaupun industri filem Hong Kong tidak lagi menerima kehadirannya seperti dahulu dan persaingan sengit daripada bakat baharu mengehadkan peranannya di layar perak, Cecilia mengalihkan fokus hidupnya sepenuhnya kepada anak-anak serta bidang keusahawanan.

     Walaupun badai skandal 2008 meninggalkan kesan mendalam, metamorfosis Cecilia daripada seorang mangsa pencerobohan privasi kepada seorang wanita yang tabah menyerlahkan erti ketahanan sejati. Kini Cecilia telah pun berjaya membina semula kehidupannya dengan memberi fokus utama kepada tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anaknya di samping aktif menceburi bidang perniagaan fesyen serta kecantikan secara atas talian. Cecilia juga bijak memanfaatkan platform digital dan kerap muncul dalam pelbagai program realiti popular di tanah besar China. (Baca: Kisah Kejatuhan Edison Chen)

Catat Ulasan for "Kisah Kejatuhan Cecilia Cheung"