Kisah Pembunuhan Kejam Mahasiswi Bernama Chen di Taiwan

Latar belakang kehidupan Chen yang penuh dengan rasa sunyi dan tidak selamat menjadi titik permulaan kepada kejadian ini. Apabila hubungan percintaannya dengan seorang senior di universiti tersebut menemui jalan buntu dan berakhir dengan perpisahan, Chen mengalami tekanan emosi yang mendalam. Dalam keadaan hilang arah, dia terdorong untuk mencari jalan singkat bagi memulihkan hubungan tersebut melalui cara mistik.
Chen mula mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual atau bomoh untuk melakukan upacara pemulihan kasih sayang. Malangnya, usaha itu tidak membuahkan hasil di mana bomoh tersebut kemudian memperkenalkan Chen kepada seorang lelaki bernama Huang Wen-jin, 38 tahun, pemilik sebuah agensi penyiasat persendirian yang sudah berumah tangga. Huang Wen-jin melihat situasi ini sebagai peluang keemasan untuk memperdaya Chen.

Di bawah topeng kononnya mahu membantu menyelamatkan hubungan cinta dan menawarkan kepakaran penyiasatannya, Huang Wen-jin mula mendekati Chen secara manipulatif. Dis memperdaya wanita itu dengan mendakwa bahawa upacara ritual sebelum ini gagal kerana kesilapan teknika lalu menawarkan diri untuk melakukan ritual pembersihan sendiri. Melalui manipulasi psikologi dan penggunaan bahan penenang atau ubat pelali, Huang Wen-jin bertindak merakam gambar serta video peribadi Chen dalam keadaan separuh sedar dan dilukis lambang ajaran tertentu pada tubuhnya. Bukti digital inilah yang kemudiannya digunakan oleh Huang Wen-jin sebagai alat ugutan untuk mengawal Chen sepenuhnya.
Setelah berjaya menguasai mental dan emosi Chen, modus operandi suspek beralih kepada eksploitasi kewangan. Huang Wen-jin memanipulasi rasa terdesak Chen dengan mendakwa syarikatnya berdepan masalah kewangan dan memerlukan modal. Terpedaya dengan janji manis serta cengkaman psikologi Huang Wen-jin, Chen bukan saja sanggup menggunakan wang simpanan dan mengambil pinjaman bank, malah menjual satu-satunya harta peninggalan ibu bapanya iaitu sebuah rumah kediaman bernilai jutaan dolar Taiwan. Secara keseluruhan, Chen dipercayai telah menyerahkan wang menghampiri enam juta dolar Taiwan (sekitar RM600 000) kepada Huang Wen-jin merangkumi kos kononnya bagi siasatan, upacara mistik dan dana perniagaan.
Puncak kepada kejadian ini berlaku pada penghujung bulan April 2013 apabila hubungan antara mereka mula tegang akibat desakan Chen yang menagih perhatian dan kepastian setelah menyerahkan segala-gala milik peribadinya. Disebabkan berasa Chen mula menjadi beban dan ancaman, Huang Wen-jin merancang pembunuhan terancang dengan bersubahat bersama seorang rakan subahat yang dikenali sebagai Shi Kun-zhi. Chen diperdaya melalui e-mel dan panggilan telefon untuk menaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Chiayi dengan alasan akan dibawa menemui Huang Wen-jin. Sebaik tiba di stesen, Shi Kun-zhi menyamar sebagai wakil suspek, menjemput Chen menaiki kenderaan dan memaksa wanita berkenaan meminum cecair yang dicampur dengan ubat pelali.
Sebaik sahaja Chen pengsan, dia dibawa kembali ke Taichung lalu diserahkan kepada Huang Wen-jin. Di sebuah lokasi terpencil yang telah dirancang yakni dalam keadaan Chen tidak mampu melawan, Huang Wen-jin dengan kejam melekapkan tong gas pada bahagian hidung dan mulut Chen sehingga dia mati lemas akibat kekurangan oksigen. Selepas jenayah terancang itu disempurnakan, Huang Wen-jin menanam mayat Chen di kawasan pinggir bandar Taichung serta melupuskan telefon bimbit, pakaian dan dokumen peribadi Chen bagi menghapuskan jejak.

Kehilangan Chen mula disedari pihak keluarga dan universiti pada awal Mei 2013 apabila dia gagal hadir ke kuliah dan langsung tidak dapat dihubungi. Pasukan polis New Taipei City yang mengetuai siasatan pada mulanya menyangka kes itu adalah kes hilang biasa akibat tekanan perasaan. Namun hasil semakan rekod komunikasi telefon bimbit, e-mel dan transaksi kewangan yang mencurigakan akhirnya membongkar penglibatan Huang Wen-jin. Selepas berdepan dengan pelbagai bukti kukuh dan soal siasat berterusan selama hampir sepuluh bulan, Huang Wen-jin akhirnya tewas pada awal tahun 2014 sebelum membawa pihak berkuasa ke lokasi kubur dangkal tempat Chen ditanam di mana mayatnya telah berubah menjadi rangka putih.
Kesudahan kes ini di mahkamah turut meninggalkan kontroversi. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Huang Wen-jin manakala Shi Kun-zhi dipenjarakan atas pertuduhan bersubahat. Walau bagaimanapun, alasan penghakiman yang menyatakan bahawa kaedah pembunuhan suspek tidak dikategorikan sebagai bentuk kekejaman paling ekstrem yang memerlukan hukuman mati telah mencetuskan kemarahan rakyat Taiwan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Mahasiswi Bernama Chen di Taiwan"