Kisah Rogol Berkumpulan Miryang 2004


     Salah satu kejadian menyayat hati dan mencetuskan kemarahan berpanjangan di Korea Selatan ialah Kes Rogol Berkumpulan Miryang (Miryang gang rape case) yang berlaku pada tahun 2004. 

     Kejadian ini bermula apabila seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang remaja lelaki bernama Kim yang dihubunginya secara tidak sengaja akibat tersilap dail nombor. Pertemuan secara maya itu pada mulanya kelihatan seperti perkenalan biasa. Namun mangsa tidak menyedari bahawa Kim sebenarnya merupakan ahli kepada sebuah kumpulan geng remaja jalanan besar dan berbahaya di bandar Miryang yang dikenali sebagai Miryang Alliance atau Kesatuan Orang Awam. Kumpulan ini dianggotai oleh antara 50 hingga 100 remaja lelaki yang kebanyakan mereka tidak menyambung pelajaran ke peringkat universiti. Mereka sebaliknya menjalani latihan di kilang-kilang tempatan dan tinggal di asrama berhampiran bandar Busan. Kumpulan yang sangat jahat ini sering terlibat dalam pelbagai kegiatan tidak sihat serta jenayah kekerasan.

    Kemuncak kepada mimpi ngeri mangsa berlaku pada Januari 2004 apabila dia diumpan untuk datang ke sebuah rumah dengan anggapan akan menemui Kim secara bersendirian. Namun apabila tiba di lokasi tersebut, mangsa mendapati dirinya dikelilingi oleh rakan-rakan Kim. Mereka bertindak memukul mangsa menggunakan objek tumpul sebelum merogolnya secara berkumpulan. Lebih kejam, perbuatan terkutuk itu turut dirakam menggunakan kamera video oleh para pelaku. Selepas kejadian itu, kumpulan penjenayah terbabit menggunakan rakaman video tersebut sebagai alat ugutan utama untuk mengawal mangsa sepenuhnya dengan mengancam akan menyebarkan bahan kompromi itu ke seluruh internet jika mangsa berani melawan atau menceritakan kepada sesiapa.


     Penderaan fizikal dan mental itu berterusan selama hampir 11 bulan. Dalam tempoh tersebut, mangsa dianggarkan telah dipaksa menemui kumpulan remaja berkenaan kira-kira 10 kali di mana setiap kali kunjungan itu, dia menjadi mangsa rogol berkumpulan dengan bilangan pelaku yang boleh mencecah antara 3 hingga 20 orang pada satu-satu masa. Kejamnya lagi, selera jenayah kumpulan tersebut tidak pernah puas. Mereka memaksa mangsa membawa rakan-rakan lain termasuk sepupunya yang berusia 16 tahun serta kakaknya yang berusia 30 tahun yang akhirnya turut menjadi mangsa kepada keganasan seksual dan ugutan sama. Kebanyakan serangan ini terus dirakamkan untuk memastikan cengkaman ugutan mereka terhadap keluarga mangsa kekal utuh.

      Ketahanan mental mangsa akhirnya sampai ke tahap susut apabila dia tidak sanggup lagi menanggung ssksaan tersebut lalu membuat keputusan menceritakan segala-gala kepada ibunya selepas dihubungi sekali lagi oleh Kim. Bersama ibunya, mangsa pergi ke balai polis untuk membuat laporan rasmi. Namun di sinilah bermulanya satu lagi bentuk penderaan institusi apabila mereka dilayan dengan penuh bias dan penghinaan. Permintaan mereka agar kes disiasat oleh pegawai penyiasat wanita ditolak mentah-mentah. Mereka sebaliknya disoal siasat oleh pegawai polis lelaki yang secara terbuka meragui kesahihan cerita mangsa selain melemparkan tuduhan bahawa mangsa dan keluarganya cuba merosakkan reputasi bandar Miryang serta menuduh mangsa menggoda para suspek.


     Lebih malang lagi, prosedur pengenalan suspek dijalankan dengan cara yang mendedahkan mangsa secara bersemuka tanpa perlindungan kaca sehala hingga memaksa mangsa menatap wajah mereka yang telah menghancurkan hidupnya. Berita mengenai kes ini mula bocor dan mencetuskan kemarahan rakyat jelata di seluruh negara apabila maklumat tentang sikap pihak polis yang tidak profesional tersebar luas. Di bawah tekanan awam yang mendadak, pihak berkuasa akhirnya menahan sebilangan suspek. Walau bagaimanapun, intimidasi tidak berhenti di situ kerana keluarga para pelaku dan teman wanita mereka secara terbuka menyebelahi suspek serta mengejek mangsa. Malah ada ibu kepada suspek yang tergamak merempuh bilik darjah untuk memaksa pelajar menandatangani petisyen pengurangan hukuman anak mereka hingga menyebabkan mangsa panik dan bersembunyi dalam ketakutan.

     Kelemahan sistem perundangan pada ketika itu turut menjadi faktor utama mengapa pelaku terlepas daripada hukuman berat. Di bawah undang-undang semasa, pendakwa raya memerlukan aduan rasmi langsung daripada mangsa untuk meneruskan tindakan undang-undang penuh. Bapa mangsa, seorang kaki botol yang pernah mendera mangsa secara fizikal sebelum itu telah dihasut oleh keluarga suspek untuk menandatangani perjanjian penyelesaian di luar mahkamah dengan nilai pampasan sebanyak USD32 000 sebagai tukaran untuk menarik balik tindakan undang-undang. Wang pampasan tersebut langsung tidak dinikmati oleh mangsa tetapi sebaliknya disalah guna oleh ahli keluarga dewasa yang lain. Sementara itu, bapa mangsa akhirnya meninggal dunia akibat keracunan alkohol.



      Daripada puluhan remaja yang terlibat secara langsung dalam kes rogol berkumpulan tersebut, hanya segelintir kecil sahaja yang dikenakan hukuman ringan manakala sebahagian besar yang lain hanya dihantar ke pusat pemulihan juvana atau terlepas sepenuhnya tanpa rekod jenayah yang serius membolehkan mereka meneruskan kehidupan, melanjutkan pelajaran dan mendapatkan pekerjaan seperti biasa. Mangsa dan keluarganya pula terpaksa berpindah randah ke bandar lain untuk mencari perlindungan. Namun bayangan trauma, gangguan berterusan daripada keluarga suspek serta kemurungan yang teruk menyebabkan mangsa mengalami tekanan mental melampau sebelum beberapa kali cuba membunuh diri dan akhirnya memilih untuk membawa diri jauh daripada pandangan masyarakat tanpa sebarang khabar berita.

     Impak sosial daripada kes ini amat meluas hingga ia diadaptasikan ke dalam pelbagai karya seni popular di Korea Selatan. Antara karya paling terkemuka ialah filem drama Han Gong-ju (2013) arahan Lee Su-jin yang memaparkan perjuangan emosi dan trauma mendalam seorang mangsa remaja yang berusaha memulakan hidup baharu di sekolah lain tetapi terus dihantui sejarah silam. Selain itu, kes Miryang ini turut diangkat dalam drama bersiri popular Signal (2016) menerusi kes Inju Gang Rape Case serta filem-filem seperti Don't Cry, Mommy (2012) dan Poetry (2010) yang masing-masing mengkritik kepincangan sistem perlindungan juvana serta ketiadaan empati sosial terhadap mangsa keganasan seksual.


     Kemarahan rakyat Korea Selatan terhadap kes ini kembali memuncak apabila saluran media bebas dan pengamal vigilante justice di YouTube seperti menerusi saluran Abyss Vault mula menjalankan gerakan pembongkaran identiti. Melalui video-video yang diterbitkan, wajah sebenar, nama baharu, tempat kerja serta perniagaan bekas-bekas pelaku yang sebelum ini bebas hidup normal didedahkan kepada umum. Tindakan ini mencetuskan boikot besar-besaran di mana individu terlibat seperti jurujual kereta bernama Shin dipecat majikan manakala restoran milik pelaku bernama Pack ditutup akibat tekanan awam dan pelanggaran undang-undang bangunan. 

Catat Ulasan for "Kisah Rogol Berkumpulan Miryang 2004"