Kisah Pembunuhan Kejam Mark Kilroy

Pada malam 13 Mac 1989, kumpulan rakan ini telah menyeberangi sempadan dari Brownsville, Texas menuju ke bandar Matamoros di Mexico dengan berjalan kaki untuk berhibur di kelab-kelab malam yang menawarkan harga minuman yang jauh lebih murah. Suasana di Matamoros pada malam itu sangat meriah dan sesak dengan ribuan pelajar Amerika Syarikat. Selepas menghabiskan masa di beberapa buah bar, mereka berempat mula berjalan pulang menuju ke jambatan sempadan untuk kembali ke hotel mereka di pihak Amerika. Namun ketika berada kira-kira 200 kaki dari pos kawalan sempadan, kejadian yang tidak diingini berlaku.
Ketika salah seorang rakannya berpisah seketika untuk membuang air kecil di sebalik pokok, seorang lelaki tempatan dilihat melambai dan menyapa Mark. Mark membalas sapaan tersebut seolah-olah mengenali lelaki itu dan dalam sekelip mata, kelibat Mark lenyap daripada pandangan rakan-rakannya. Pada mulanya, rakan-rakannya menyangka Mark mungkin telah pulang ke hotel lebih awal dengan menumpang kenderaan kenalan lain, satu perkara yang lazim berlaku semasa musim cuti pelajar. Cuma apabila Mark masih tidak muncul pada keesokan paginya, mereka menyedari sesuatu yang buruk telah menimpa dan segera membuat laporan polis.

Kehilangan Mark mendapat perhatian luar biasa berbanding kes kehilangan pelancong biasa kerana bapa saudaranya merupakan seorang pegawai Kastam Amerika Syarikat. Sebuah pasukan petugas khas segera ditubuhkan manakala ibu bapa Mark, Jim dan Helen Kilroy terbang ke sempadan untuk mengetuai gerakan mencari dengan mengedarkan ribuan risalah serta menawarkan ganjaran wang tunai. Kes ini turut disiarkan dalam rancangan televisyen popular America's Most Wanted. Walau bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk kukuh ditemui selama berminggu-minggu.
Kebuntuan kes ini akhirnya terungkai secara tidak sengaja hampir sebulan kemudian iaitu pada 9 April 1989. Pada petang tersebut, seorang pemuda bernama Serafin Hernandez Garcia telah memandu melanggar sekatan jalan raya polis persekutuan Mexico di luar bandar Matamoros. Pihak polis segera mengejar kenderaan suspek yang membawa mereka terus ke sebuah ladang terpencil dikenali sebagai Rancho Santa Elena yang terletak kira-kira 20 batu di barat bandar tersebut. Ladang itu rupa-rupanya merupakan markas operasi penyeludupan ganja milik keluarga penjenayah yang diketuai oleh Elio Hernandez Rivera. Dalam serbuan tersebut, polis merampas sejumlah besar ganja dan senjata api sebelum menemui sebuah pondok usang yang mencurigakan di kawasan ladang itu.

Di dalam pondok berkenaan, pihak penyiasat menemui pemandangan yang mengerikan seperti lantai yang dipenuhi kesan lilin cair, puntung rokok, botol kosong, sebuah kawah besi besar yang mengandungi darah, bahagian anggota haiwan dan cebisan otak manusia yang telah hangus. Penemuan itu mendorong pihak berkuasa menahan penjaga ladang dan ahli keluarga Rivera yang berada di lokasi. Setelah disoal siasat, penjaga ladang tersebut mengecam gambar Mark Kilroy dan mengaku pernah melihat remaja itu dalam keadaan bergari di dalam sebuah kereta di ladang berkenaan.
Suspek-suspek lain turut membuat pengakuan mengejutkan bahawa Mark telah diculik dan dibunuh dalam satu upacara ritual ilmu hitam sebelum membawa polis ke kawasan kubur rahsia di mana mayat Mark ditanam bersama 11 mayat mangsa lain. Lebih menyayat hati, seutas dawai dipasang pada tulang belakang mayat Mark supaya tulang lehernya dapat ditarik keluar setelah mayatnya mereput untuk dijadikan rantai azimat.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa sindiket dadah keluarga Rivera itu sebenarnya berada di bawah pengaruh seorang ketua kultus dan pengamal ilmu hitam kejam bernama Adolfo de Jesus Constanzo. Lelaki kelahiran Miami yang digelar El Padrino itu mengamalkan ajaran sesat yang menggabungkan elemen agama Palo Mayombe dengan pemujaan syaitan. Constanzo meyakinkan ahli kartel dadah bahawa mereka akan menjadi kebal daripada tangkapan polis dan peluru musuh sekiranya melakukan korban manusia secara berkala.
Pada bulan Mac 1989, Constanzo telah mengarahkan pengikutnya menculik seorang pelajar lelaki warga Amerika Syarikat yang bijak kerana mempercayai otak mangsa tersebut mampu memberikan kuasa perlindungan paling kuat kepada sindiket mereka. Mark yang kebetulan berada di Matamoros menjadi mangsa culik secara rambang, ditahan selama kira-kira 12 jam di dalam pondok tersebut sebelum dibunuh dengan tetakan parang di bahagian belakang lehernya oleh Constanzo sendiri.
![]() |
| Adolfo de Jesus Constanzo |
Susulan serbuan di ladang itu, Constanzo bersama beberapa pengikut kanannya berjaya melarikan diri ke Bandaraya Mexico. Pihak polis bertindak membakar pondok ritual dan memusnahkan kawah besi di Rancho Santa Elena atas nasihat pakar antropologi untuk memprovokasi kemarahan Constanzo supaya dia bertindak melulu. Taktik itu membuahkan hasil apabila Constanzo menjadi semakin paranoid dan tertekan di tempat persembunyiannya.
Pada 6 Mei 1989 yakni semasa pihak polis menjalankan rondaan dari pintu ke pintu di sebuah pangsapuri di Bandaraya Mexico bagi menyiasat kes kehilangan seorang kanak-kanak yang tiada kaitan dengan kes ini, mereka ternampak wang kertas yang dibakar dan dicampak keluar dari tingkap sebuah unit pangsapuri. Apabila polis menghampiri unit tersebut, Constanzo yang menyangka dirinya telah dikepung terus melepaskan tembakan menggunakan mesingan Uzi hingga mencetuskan pertempuran senjata selama lebih 40 minit yang berakhir dengan kematian ketua kultus itu di tempat kejadian.
Bagi ahli sindiket yang berjaya diberkas hidup-hidup termasuk Elio Hernandez Rivera dan Serafin Hernandez Garcia, mereka telah dihadapkan ke muka pengadilan di Mexico. Pada tahun 1994, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 62 hingga 67 tahun ke atas suspek-suspek utama atas kesalahan pembunuhan, penculikan dan jenayah terancang.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Mark Kilroy"