Pembunuh Kejam Chris Watts Didakwa Jalin Hubungan Sulit Dengan Banduan Muda

AMERIKA SYARIKAT – Pembunuh kejam yang pernah menggemparkan pada tahun 2018 iaitu Chris Watts sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila didakwa menjalinkan hubungan intim dengan beberapa banduan lelaki yang lebih muda di dalam penjara. Pendedahan terbaharu itu dibuat oleh seorang pegawai penjara di Dodge Correctional Institution, Waupun, Wisconsin yakni lokasi di mana lelaki berusia 41 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol.
Menurut sumber dalaman penjara yang dipetik oleh portal berita, Watts dilaporkan menjadi tumpuan dan kegilaan segelintir banduan muda di fasiliti kawalan maksimum tersebut. Pengawal penjara terbabit mendakwa Watts memiliki pengaruh psikologi yang sangat kuat terhadap banduan-banduan berkenaan hingga mereka sanggup menuruti kemahuannya serta berlumba-lumba untuk mendapatkan perhatiannya.
Siasatan dalaman dan pemerhatian kakitangan penjara mendapati Watts menggunakan taktik manipulasi yang terancang untuk memikat banduan muda berkenaan. Dia didakwa kerap menggunakan baki wang dalam akaun penjara iaitu dana yang disalurkan oleh penyokong luar atau ahli keluarga bagi tujuan pembelian barangan keperluan asas dan makanan ringan untuk membelikan pelbagai hadiah kepada banduan pilihannya. Selain pemberian barangan, Watts turut dikatakan sering mengutus surat-surat panjang yang sarat dengan kata-kata pujian dan perhatian bagi membuatkan mereka berasa istimewa.

Keadaan tersebut difahamkan telah melangkaui batas persahabatan biasa apabila pihak pengurusan penjara mengesyaki beberapa hubungan berkenaan telah bertukar menjadi hubungan fizikal dan seksual. Susulan kecurigaan itu, pihak berkuasa penjara terpaksa mengambil tindakan drastik baru-baru ini dengan memisahkan Watts daripada seorang banduan lelaki bagi mengelakkan sebarang pelanggaran peraturan dan disiplin fasiliti yang ketat.
Rekod disiplin Watts sebelum ini turut menunjukkan corak tingkah laku yang hampir serupa sepanjang tempoh pemenjaraannya. Pada tahun 2020, dia pernah dikenakan tindakan tatatertib selepas beberapa barangan peribadinya seperti seluar dalam dan jeli petroleum, ditemui di dalam sel seorang banduan lain bernama Dylan Tallman. Walau bagaimanapun, Tallman selepas dibebaskan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hubungan sejenis tersebut dan menegaskan bahawa keakraban mereka hanyalah berlandaskan sesi perkongsian ilmu agama serta pembacaan kitab suci.
Untuk rekod, Chris Watts dijatuhi lima hukuman penjara seumur hidup berturut-turut pada November 2018 selepas mengaku bersalah membunuh isterinya yang sedang hamil 15 minggu, Shanann Watts serta dua anak perempuan mereka, Bella, 4 tahun dan Celeste, 3 tahun di kediaman mereka di Frederick, Colorado. Pembunuhan kejam tersebut bermotifkan hubungan sulitnya dengan rakan sekerja.
Catat Ulasan for "Pembunuh Kejam Chris Watts Didakwa Jalin Hubungan Sulit Dengan Banduan Muda"