Kisah Yuri Lipski: Rakaman Ngeri Seorang Penyelam


     Kejadian ini berlaku pada 28 April 2000 di kawasan perairan Dahab, Mesir, tepatnya di Blue Hole iaitu sebuah lubang benam (sinkhole) dasar laut sedalam kira-kira 100 meter yang terkenal dengan keindahan batu karang tetapi mendapat gelaran sebagai kubur penyelam akibat jumlah nyawa yang terkorban di situ.

    Yuri Lipski merupakan seorang pemuda berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pengajar selaman (diving instructor). Dia bagaimanapun tidak mempunyai kelayakan, latihan teknikal mahupun pengalaman yang mencukupi untuk menyelam pada kedalaman ekstrem melebihi had keselamatan biasa (40 meter). Sebelum kejadian, Yuri dilaporkan pernah meminta bantuan serta khidmat jurupanduan tempatan untuk mengiringinya. Walau bagaimanapun, rancangan tersebut ditolak oleh penyelam profesional berikutan paras risiko yang terlampau tinggi. Tanpa mengendahkan amaran tersebut, Yuri mengambil keputusan untuk menyelam secara seorang diri tanpa pengiring. 


     Keputusan kritikal lain yang memburukkan keadaan adalah pemilihan kelengkapan selaman. Yuri hanya membawa satu tong gas udara biasa (single cylinder) dan beban pemberat yang berlebihan. Bagi selaman teknikal atau selaman dalam (bounce dive), seseorang penyelam wajib menggunakan campuran gas khas seperti Trimix serta sistem tangki pelbagai bagi mengelakkan ketepuan nitrogen pada tekanan tinggi. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam air, Yuri mula mengalami penurunan yang tidak terkawal. Keadaan pemberat yang berlebihan serta kegagalan sistem keapungan menyebabkan Yuri merudum ke dasar laut pada kadar kelajuan yang amat berbahaya.

    Apabila kedalaman selaman melepasi paras 40 meter hingga mencecah 80 meter, Yuri diserang fenomena geologi dan fisiologi yang dikenali sebagai nitrogen narcosis (mabuk nitrogen). Pada tekanan air yang terlampau tinggi, gas nitrogen bertindak seperti agen pembius kimia ke atas sistem saraf pusat. Keadaan ini mengganggu fungsi otak, mengurangkan daya ingatan rasional serta menyebabkan panik yang luar biasa. Kamera helmet yang dipasang pada kepalanya merakamkan detik-detik cemas di mana Yuri cuba melepaskan udara dan bergelut melawan tekanan tetapi usahanya gagal. Rakaman mikrofon dengan jelas menangkap bunyi pernafasan Yuri yang semakin tercungap-cungap dan berat apabila bekalan udara semakin terhad dan tekanan fizikal air menekan dadanya. Dia akhirnya terdampar di dasar laut Blue Hole pada kedalaman sekitar 115 meter (377 kaki) sebelum terputus nyawa di dalam kegelapan laut.

     Pada 3 Mei 2000 yakni beberapa hari selepas kejadian tersebut, seorang penyelam profesional dan pakar penyelamat tempatan bernama Tarek Omar melancarkan misi khas untuk membawa keluar mayat Yuri atas permintaan keluarganya. Semasa mayat dijumpai di dasar laut, kamera video helmet yang dipakai Yuri ditemui masih berada dalam keadaan baik. Apabila rakaman tersebut dimainkan semula, seluruh insiden detik-detik akhir hayat Yuri terpapar secara jelas menerusi sudut pandangan pertama. Tonton video tersebut di sini:  https://youtu.be/cRj0lymMMGs?si=Kzy34Mchc4fSvfdV


Catat Ulasan for "Kisah Yuri Lipski: Rakaman Ngeri Seorang Penyelam"