Kes Kontena Maut Essex 2019

     Pada 23 Oktober 2019, pihak berkuasa United Kingdom dikejutkan dengan penemuan 39 mayat warganegara Vietnam yang terkunci kaku di dalam sebuah kontena treler sejuk beku di Taman Perindustrian Waterglade, Grays, Essex, England. 

     Berdasarkan laporan siasatan rasmi Polis Essex, dokumen perbicaraan di Mahkamah Jenayah Pusat Old Bailey, London, semua 39 mangsa yang terdiri daripada 31 lelaki dewasa dan 8 wanita termasuk dua orang remaja lelaki berusia 15 tahun berasal dari Vietnam terutamanya dari wilayah luar bandar seperti Nghe An dan Ha Tinh. 

     Keputusan mangsa untuk melangkah masuk ke dalam kontena berbahaya itu didorong oleh tekanan ekonomi asas yang kritikal di wilayah asal mereka. Sebahagian besar penduduk di sana bergantung kepada pertanian sara diri atau perikanan skala kecil dengan purata pendapatan tahunan yang sangat rendah yakni sekitar USD 1200 hingga USD 1500 setahun (sekitar RM4000 hingga RM5000). Keadaan ini menjadi semakin parah akibat bencana pencemaran industri Formosa Plastics pada tahun 2016 yang merosakkan ekosistem pesisir pantai serta memusnahkan mata pencarian ribuan nelayan tempatan.

     Selain faktor kemiskinan, wujud faktor sosial seperti fenomena laluan impian di mana kejayaan segelintir migran terdahulu menghantar wang ke kampung halaman untuk membina rumah mewah mencetuskan tekanan emosi kepada golongan muda. Keadaan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh sindiket penyeludupan manusia yang menggunakan taktik manipulasi psikologi yang licik. Ejen menawarkan pakej laluan VIP dengan bayaran antara £10 000 hingga £30 000 (sekitar RM50 000 hingga RM150 000) seorang dengan jaminan palsu kononnya perjalanan tersebut adalah selamat dan selesa. Bagi membiayai tambang yang mahal ini, keluarga mangsa terpaksa mencagarkan tanah warisan, menjual harta atau membuat pinjaman dengan kadar faedah tinggi daripada ceti haram sekali gus menjerat mereka dalam sistem hutang yang memerangkap. Apabila wang telah diserahkan dan mangsa berada di rumah persembunyian di Eropah, mereka tiada pilihan selain menurut arahan ejen kerana bimbang keluarga di kampung menanggung beban muflis dan ancaman keselamatan.

     Rangkaian perjalanan haram tersebut melibatkan logistik rentas sempadan yang rumit. Mangsa terlebih dahulu diterbangkan secara sah menggunakan visa pelancong dari Vietnam ke negara ketiga sebelum diseludup masuk ke Eropah daratan dan dikumpulkan di utara Perancis serta Belgium. Pada malam kejadian, semua 39 mangsa diarahkan memloloskan diri ke dalam ruang kargo sebuah kontena treler yang disejukkan. Pintu kontena tersebut kemudiannya dikunci rapat dari luar untuk mengelakkan pengesanan pihak berkuasa imigresen sebelum dimuatkan ke atas feri kargo dari pelabuhan Zeebrugge di Belgium menuju ke pelabuhan Purfleet di Essex, United Kingdom. Alasan utama mereka memilih UK adalah kerana tarikan ekonomi, kehadiran komuniti Vietnam yang luas, peluang pekerjaan tunai tanpa dokumen di kedai gunting kuku atau restoran serta nilai tukaran mata wang Pound Sterling yang tinggi untuk melunaskan hutang keluarga.

      Malangnya, perjalanan yang dijanjikan selamat itu bertukar menjadi mimpi ngeri akibat kecuaian melampau dan ketamakan sindiket. Kontena yang dinaiki mangsa merupakan ruang tertutup kedap udara yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang berfungsi. Apabila sistem penyejuk kontena gagal membekalkan edaran udara yang betul semasa transit, suhu di dalam ruang sempit itu melonjak naik mendadak melebihi 38.5°C akibat haba badan 39 manusia yang berhimpit-himpit dalam kegelapan.

     Berdasarkan laporan patologi, mangsa terperangkap selama sekurang-kurangnya 12 jam sebelum meninggal dunia akibat asfiksia (kekurangan oksigen) dan hipertermia (kepanasan melampau). Bukti paling menyayat hati diperoleh daripada peranti telefon bimbit mangsa yang berjaya dipulihkan oleh pasukan forensik digital. Di dalamnya terdapat rakaman audio dan mesej teks terakhir yang ditulis dalam keadaan panik. Salah satu pesanan paling meruntun jiwa ditinggalkan oleh seorang wanita muda berusia 26 tahun, Pham Thi Tra My, kepada keluarganya, "Mak, minta maaf sangat-sangat. Laluan saya ke luar negara tidak berjaya. Mak, saya sayang sangat pada mak dan ayah. Saya mati sebab tak boleh bernafas..." 

     Susulan penemuan mayat itu, Polis Essex dengan kerjasama agensi penguatkuasaan antarabangsa termasuk Europol, Belgium, Ireland dan Vietnam melancarkan Operasi Magnify untuk merungkai sindiket berkenaan. Mahkamah di United Kingdom akhirnya menjatuhkan hukuman penjara berat kepada dalang-dalang utama iaitu Ronan Hughes (ketua rangkaian pengangkutan) dipenjara 20 tahun, Gheorghe Nica (penyelaras UK) dipenjara 27 tahun, Eamonn Harrison (pemandu trak di Belgium) dipenjara 18 tahun manakala Maurice Robinson (pemandu lori tempatan di UK yang membuka kontena) dipenjara 13 tahun 4 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh tanpa niat dan konspirasi membantu imigresen haram. Beberapa ahli sindiket lain turut dikenakan hukuman setimpal.


Catat Ulasan for "Kes Kontena Maut Essex 2019"