Di Sebalik Lakonan Kesetiaan: Kisah Sebenar Lelaki Yang Pukul Kekasih Hingga Koma

Pada pertengahan tahun 2014, kisah sepasang kekasih muda di Dalian, Wilayah Liaoning, China pernah menyentuh hati orang ramai. Seorang pemuda dilihat begitu setia dan berdedikasi menjaga kekasihnya yang terlantar dalam keadaan koma dan vegetatif akibat cedera parah di kepala. Pemuda tersebut iaitu Feng Fang sanggup menutup perniagaan mereka, menjual segala kelengkapan kedai dan menanggung hutang yang besar demi pembiayaan perubatan.
Kisah ini bermula pada tahun 2013 apabila Li Ying, seorang gadis muda berusia 23 tahun yang membesar dengan kasih sayang keluarga dan kurang pengalaman dalam percintaan, berkenalan dengan Feng Fang melalui media sosial. Feng Fang pada awalnya mempamerkan keperibadian yang sangat romantik, prihatin dan pandai mengambil hati. Sikapnya yang sentiasa memanjakan Li Ying membuatkan gadis itu jatuh hati dengan cepat. Walaupun pihak keluarga Li Ying berasa ragu-ragu terhadap perwatakan Feng Fang dan pernah menentang hubungan tersebut, Li Ying yang dilamun cinta nekad untuk kekal bersama pemuda berkenaan.
Namun tidak lama selepas mereka membuat keputusan untuk tinggal bersama, perwatakan sebenar Feng Fang mula terserlah. Pemuda itu menunjukkan sikap cemburu yang melampau, panas baran dan sangat posesif. Sebarang tindakan Li Ying yang tidak melepasi piawaiannya seperti leka bermain telefon bimbit, belajar hingga lewat malam atau berinteraksi dengan rakan sejawat lelaki akan dibalas dengan bentakan dan keganasan fizikal.

Feng Fang kerap merosakkan harta benda seperti mematahkan telefon pintar Li Ying dan menamparnya. Lebih memilukan yakni melalui kitaran penderaan psikologi, Feng Fang akan kembali menjadi seorang yang sangat lembut dan penyayang selepas memukul hingga menyebabkan Li Ying menyalahkan dirinya sendiri dan terus bertahan dalam hubungan toksik tersebut.
Pada pertengahan tahun 2014, melalui bantuan kewangan daripada ibu Feng Fang, pasangan ini membuka sebuah kedai roti bersama yang dinamakan Love Danga. Dari pandangan luar, perniagaan tersebut kelihatan seperti lambang kebahagiaan mereka. Namun di dalam kedai roti itu, penderaan terhadap Li Ying semakin bertambah buruk dan berlaku hampir setiap hari. Li Ying kerap dipukul sekiranya kek atau roti yang dibakar tidak menjadi atau hangus. Walaupun pernah dibawa berjumpa doktor akibat kecederaan fizikal dan gendang telinga yang pecah, Li Ying yang berada di bawah pengaruh dan ketakutan tetap enggan mengakui penderaan tersebut.

Kemuncak kejadian berlaku pada 29 September 2014. Akibat berang selepas Li Ying secara tidak sengaja merosakkan puluhan biji roti, Feng Fang telah menampar dan menyerang kepala Li Ying menggunakan penggelek doh kayu secara bertubi-tubi. Serangan kejam itu menyebabkan Li Ying rebah sebelum pengsan dan mengalami pendarahan dalaman yang sangat serius pada otak. Menyedari kekasihnya tidak lagi sedarkan diri, Feng Fang melarikan Li Ying ke hospital dan mereka-reka cerita kononnya gadis itu tergelincir dan jatuh di dalam kedai.
Bagi melepaskan diri daripada syak wasangka, Feng Fang mengambil langkah berani dengan berpura-pura menjadi penjaga yang paling setia. Dia menghalang keluarga Li Ying daripada mendedahkan kes itu secara meluas dan menguruskan sendiri proses penjagaan harian yang amat rumit yakni daripada membersihkan tiub pernafasan, menyuap makanan cecair melalui tiub hidung hinggalah menguruskan najis Li Ying. Tindakan Feng Fang ini memperdayakan pihak hospital dan media hingga orang ramai tersentuh dan mula menyumbangkan dana bagi menampung kos pembedahan pembuangan tulang tengkorak Li Ying yang mencecah ratusan ribu yuan.

Walau bagaimanapun, lakonan tersebut rupa-rupanya disertakan dengan taktik intimidasi yang licik. Setiap kali berada berdua di hospital atau di rumah sewa, Feng Fang akan membisikkan ancaman ke telinga Li Ying yang masih separa sedar. Dia berulang kali menanam ingatan palsu dan memberi amaran, "Kau jatuh sendiri, bukan aku yang pukul." Feng Fang juga bertindak mengunci pintu rumah dan enggan membenarkan ibu bapa Li Ying melawat anak mereka secara bersendirian.
Syak wasangka ibu bapa Li Ying terhadap kekerapan kemalangan yang menimpa anak mereka akhirnya terjawab pada awal tahun 2015. Apabila keluarga Li Ying berjaya membawa gadis itu kembali ke rumah mereka untuk proses pemulihan, fungsi pertuturan Li Ying perlahan-lahan mula pulih. Pada 20 April 2015 di mana dalam keadaan anggota badan yang lumpuh dan pertuturan yang sangat terhad, Li Ying mengambil masa hampir 30 minit untuk meluahkan kebenaran sebenar kepada neneknya tentang bahawa kecederaan otak yang dialaminya adalah akibat dipukul dengan penggelek doh oleh Feng Fang.

Terkejut dengan pendedahan tersebut, keluarga Li Ying segera membuat laporan polis. Menyedari perbuatannya telah terbongkar, Feng Fang bertindak melarikan diri sebelum akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa di sebuah tapak pembinaan di Yinchuan, Ningxia, kira-kira 2000 kilometer dari Dalian pada tahun 2016. Walaupun Feng Fang cuba menukar pengakuannya di mahkamah dengan menceritakan segala pengorbanannya menjaga Li Ying, bukti perubatan dan kesaksian konsisten daripada mangsa tidak dapat disangkal.
Pada September 2016, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Feng Fang atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah. Walaupun hukuman itu memberikan sedikit lega kepada keluarga, Li Ying terpaksa menanggung kebiasaan baharu dengan kecacatan fizikal kekal, kerosakan saraf motorik dan trauma emosi seumur hidupnya.
Catat Ulasan for "Di Sebalik Lakonan Kesetiaan: Kisah Sebenar Lelaki Yang Pukul Kekasih Hingga Koma "