Kisah Pengorbanan Derma Buah Pinggang yang Sia-Sia

    Perkenalan Colleen Le dan David bermula pada awal tahun 2015 ketika Colleen berusia 24 tahun dan bekerja di Resort Disneyland di Anaheim, California, Amerika Syarikat. Selepas diperkenalkan oleh rakan, hubungan mereka berkembang dengan cepat hingga menjadi pasangan kekasih. Walau bagaimanapun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila David mendedahkan satu rahsia besar tentang keadaan kesihatannya yang meruncing.

    David menceritakan bahawa dia menghidap penyakit buah pinggang kronik (Chronic Kidney Disease) sejak usianya 17 tahun dan terpaksa menjalani rawatan dialisis setiap malam menggunakan mesin. Keadaan fizikal David semakin membimbangkan apabila fungsi buah pinggangnya merosot kepada tahap kurang daripada lima peratusnya yang meletakkannya di ambang maut jika gagal mendapatkan organ gantian dengan segera.

     Didorong oleh rasa sayang yang mendalam serta kebimbangan terhadap nyawa teman lelaki yang dicintanya, Colleen mengambil keputusan drastik yang mengubah hidupnya. Dia menawarkan diri untuk menjalani pelbagai siri ujian perubatan yang ketat seperti ujian darah, glukosa, dan pengimejan selama tiga hingga empat bulan bagi mengesahkan tahap keserasian sebagai penderma.

     Pada November tahun tersebut, pihak hospital mengesahkan bahawa Colleen layak untuk meneruskan pembedahan pemindahan organ. Tarikh 23 Mei 2016 menjadi detik bersejarah apabila pembedahan pemindahan buah pinggang itu berjalan lancar dan berjaya. Keluarga David meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Colleen kerana menyelamatkan nyawa anak lelaki mereka yang telah menderita selama bertahun-tahun.

     Meskipun kesihatan David kembali pulih dan dia tidak lagi memerlukan mesin dialisis, nasib menyayat hati menanti Colleen. Sekitar tujuh bulan selepas pembedahan, David meminta izin untuk menghadiri satu perjumpaan rakan gereja di Las Vegas. Sepanjang perjalanan, David sering mengirimkan mesej seolah-olah berkelakuan baik termasuk menyatakan bahawa dia lebih selesa membaca kitab suci di bilik.

     Namun sekembalinya daripada perjalanan tersebut, David mendedahkan satu kebenaran yang meremukkan hati Colleen. Dia mengakui telah berlaku curang dan melakukan hubungan intim dengan beberapa wanita lain di Las Vegas. Lebih memedihkan lagi apabila salah seorang wanita terbabit merupakan rakan baik Colleen sendiri.

    Walaupun Colleen pada mulanya cuba memberi peluang kedua demi menyelamatkan perhubungan yang dibina atas pengorbanan besar, rasa ketidakpercayaan terus menghantui hari-hari mereka. Pertengkaran demi pertengkaran tercetus akibat rasa curiga yang berpanjangan.

     Kemuncak konflik berlaku kira-kira tiga bulan selepas pendedahan curang itu apabila David secara tiba-tiba memutuskan talian telefon ketika mereka sedang bertengkar. Tanpa sebarang perbincangan lanjut, David bertindak menyekat akaun media sosial Colleen di semua platform. Sejak hari itu, David memutus sebarang bentuk komunikasi dan seolah-olah melupakan jasa serta pengorbanan besar yang pernah diberikan oleh wanita berkenaan.

     Bertahun-tahun kemudian, Colleen memilih untuk menceritakan semula episod duka tersebut menerusi platform TikTok yang dengan cepat meraih jutaan tontonan serta simpati netizen. Walaupun mengalami trauma emosi yang mendalam, Colleen menegaskan bahawa dia tidak pernah menyesali keputusannya mendermakan buah pinggang tersebut kerana niat utamanya adalah untuk menyelamatkan satu nyawa. Kini, Colleen telah bangkit meneruskan kehidupan baharu di samping pasangan hidup yang lebih menghargainya, 

Catat Ulasan for "Kisah Pengorbanan Derma Buah Pinggang yang Sia-Sia"