Kanak-Kanak 6 Tahun Kritikal: Diserang, Dihentak Ke Meja Dan Dipukul Batu Bata Oleh Murid 8 Tahun Dalam Kelas

INDIA — Pihak berkuasa tempatan telah melancarkan siasatan menyeluruh selepas timbul satu kejadian serangan ganas membabitkan dua kanak-kanak sekolah di sebuah sekolah rendah kerajaan di Kalka, daerah Panchkula, Haryana. Dalam kejadian ngeri itu, seorang budak perempuan berusia enam tahun mengalami kecederaan parah selepas diserang secara fizikal oleh seorang budak lelaki berusia lapan tahun di dalam sebuah bilik darjah yang kosong.
Kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan murid kelas tadika, diperdaya oleh suspek yang merupakan murid Darjah 3. Suspek dilaporkan memberitahu mangsa bahawa bapanya telah sampai di sekolah untuk menjemputnya pulang lalu mengajak mangsa masuk ke dalam salah sebuah bilik darjah. Namun sebaik sahaja berada di dalam kelas berkenaan, suspek bertindak mengunci pergerakan mangsa sebelum melancarkan serangan fizikal yang keterlaluan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bilik darjah tersebut, suspek dilihat menarik rambut mangsa lalu menghentukkan kepala kanak-kanak perempuan itu ke meja kayu secara berulang kali. Tidak berhenti di situ, suspek turut menyepak mangsa yang sudah terjatuh ke lantai sebelum menggunakan objek keras dipercayai serpihan batu bata atau pasu bunga untuk memukul bahagian muka serta badan mangsa sehingga kanak-kanak berkenaan pengsan dan terbaring tidak sedarkan diri.

Apa yang lebih mengejutkan, mangsa dibiarkan terbaring di dalam bilik darjah yang berdarah itu selama lebih dua jam tanpa sebarang bantuan atau pengawasan daripada pihak sekolah. Kejadian hanya terbongkar apabila ahli keluarga mangsa yang hairan kerana kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah datang ke sekolah untuk mencarinya. Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan teruk di bahagian muka dan kepala sebelum bergegas dikejarkan ke institusi perubatan berdekatan di Chandigarh untuk rawatan kecemasan.
Pihak hospital mengesahkan mangsa mengalami patah tulang hidung, retak pada bahagian muka, serta kecederaan dalaman di bahagian kepala. Walaupun berada dalam keadaan kritikal pada awalnya, pihak perubatan mengesahkan bahawa mangsa kini telah sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabilbmanakala kerajaan negeri Haryana berikrar akan menanggung seluruh kos rawatan perubatannya.
Suspek yang berusia lapan tahun itu kini telah ditahan oleh pihak polis dan dirujuk ke Lembaga Keadilan Juvana untuk menjalani penilaian tahap kesihatan mental serta kaunseling psikologi sebelum ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak.
Pada masa yang sama, Jabatan Pendidikan Negeri telah mengambil tindakan penggantungan tugas terhadap pengetua sekolah dan guru kelas yang bertugas atas pertuduhan kecuaian melampau. Pihak polis turut mendaftarkan kes di bawah peruntukan undang-undang berkaitan kecuaian pihak pengurusan sekolah yang gagal memantau keselamatan murid di premis berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan di rantau tersebut.
Catat Ulasan for "Kanak-Kanak 6 Tahun Kritikal: Diserang, Dihentak Ke Meja Dan Dipukul Batu Bata Oleh Murid 8 Tahun Dalam Kelas"