Suami Ditahan Membunuh, Isteri Santai Membeli-Belah Selepas Kejadian Pembunuhan Tiga Segi

     AMERIKA SYARIKAT - Orange County dikejutkan dengan kes pembunuhan yang berpunca daripada cinta tiga segi. Kejadian tersebut berlaku di sebuah kediaman di blok 700 North Pine Street apabila seorang suami yang pulang awal dari tempat kerja mendapati seorang lelaki asing berada di atas katil dalam bilik bersama isterinya.

     Menurut kenyataan rasmi Pejabat Pendakwa Raya Orange County, suspek yang dikenali sebagai Ismael Pineda López, 34 tahun telah pulang ke rumahnya secara tiba-tiba pada pagi Sabtu, 24 Oktober. Alangkah terkejutnya dia apabila melangkah masuk ke bilik tidur utama dan mendapati mangsa iaitu Nicolas Garcia, 28 tahun hanya berseluar dalam di atas katil yang dikongsi bersama isterinya.

Nicolas Garcia

     Ketika kejadian itu berlaku, dua anak kecil pasangan berkenaan yang masing-masing berusia 2 dan 4 tahun dilaporkan berada di bilik bersebelahan sambil menonton filem dengan kelantangan suara yang tinggi. Berang dengan situasi berkenaan, Pineda Lopez didakwa menyerang Nicolas Garcia secara membabi buta menggunakan sebilah pisau lipat. Mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditikam berkali-kali di bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

     Pihak Polis Anaheim yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan menemui Pineda Lopez dalam keadaan berlumuran darah manakala mayat García ditemui terbaring di dalam bilik tidur tersebut. Isteri suspek serta kedua-dua anak kecil mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Suspek terus ditahan di lokasi pada jam 6:46 pagi dan kini berada di bawah kawalan pihak berkuasa.

     Ismael Pineda Lopez kini berdepan pertuduhan melakukan pembunuhan serta penggunaan senjata maut secara peribadi. Sekiranya didapati salah atas semua pertuduhan, dia boleh dikenakan hukuman penjara hingga 26 tahun atau penjara seumur hidup. 

     Sementara Pineda Lopez kekal ditahan di dalam lokap tanpa jaminan sementara menunggu perbicaraan lanjut, tindakan isterinya pula mula menjadi perhatian media. Menurut laporan terbaharu yang diterbitkan oleh New York Post, wanita tersebut dilihat keluar membeli-belah di kawasan awam bersama dua anaknya hanya beberapa hari selepas kejadian berdarah itu berlaku. Kemunculannya pada Khamis, 29 Oktober itu menarik perhatian ramai memandangkan kejadian yang menimpa keluarganya baru sahaja berlaku tidak sampai seminggu.

     Meskipun gambarnya yang sedang keluar bersiar-siar dan membeli-belah bersama anak-anaknya tersebar luas, pihak berkuasa serta media masih belum mendedahkan kenyataan rasmi atau versi cerita daripada pihak wanita berkenaan. Keadaan emosi serta kedudukan peribadinya selepas kejadian itu juga masih belum disahkan secara terbuka.

     Proses perundangan dan siasatan polis terhadap Ismael Pineda Lopez masih berterusan bagi mengenal pasti kronologi penuh serta motif terperinci di sebalik pembunuhan yang mengejutkan ini.

Catat Ulasan for "Suami Ditahan Membunuh, Isteri Santai Membeli-Belah Selepas Kejadian Pembunuhan Tiga Segi"