Kisah 44 Jam Di Taman Permainan: Ibu Tolak Mayat Anak Tanpa Sedar

Kejadian yang berlaku pada Mei 2015 di Maryland, Amerika Syarikat ini melibatkan seorang ibu muda bernama Romechia Simms dan anak tunggal kesayangannya, Ji’Aire Donnell Lee yang baru berusia tiga tahun. Dalam kejadian tersebut, ibu berkenaan telah menolak anaknya di buaian sebuah taman permainan selama hampir dua hari berturut-turut tanpa menyedari bahawa kanak-kanak itu sudah tidak lagi bernyawa.
Berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa tempatan, kejadian ini mula dikesan apabila orang awam di La Plata Park berasa curiga melihat kelakuan Romechia yang ketika itu berusia 25 tahun tidak berganjak dari kawasan buaian permainan kanak-kanak dari satu petang hingga ke petang keesokan harinya. Polis yang dihubungi kemudiannya mendatangi lokasi kejadian dan mendapati Romechia masih lagi menolak buaian tersebut.
Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan di tempat kejadian mengesahkan bahawa Ji’Aire telah lama meninggal dunia. Bedah siasat seterusnya mendedahkan punca kematian Ji’Aire berpunca daripada kombinasi dehidrasi teruk dan hipotermia memandangkan suhu di kawasan tersebut menurun dengan ketara pada waktu malam manakala Ji’Aire terdedah kepada cuaca sejuk tanpa perlindungan.

Kes ini mula tersingkap apabila latar belakang kesihatan mental Romechia didedahkan kepada pihak mahkamah. Wanita muda itu rupa-rupanya menderita akibat penyakit mental yang parah iaitu skizofrenia yang telah menjejaskan kewarasannya tanpa disedari atau dirawat secara optimum sebelum kejadian. Ahli keluarga dan laporan perubatan mengesahkan bahawa Romechia mula menunjukkan simptom psikosis yang ekstrem beberapa bulan sebelum tragedi seperti mengalami delusi bahawa dirinya sedang diancam bahaya serta mendengar bisikan-bisikan ghaib.
Semasa hari kejadian, pengaruh halusinasi tersebut sampai ke kemuncak yang membahayakan. Suara-suara di dalam fikiran Romechia telah memesongkannya untuk mempercayai bahawa kononnya sedang berlaku peperangan antara syurga dan neraka di sekitar taman permainan tersebut. Jadi satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa anaknya adalah dengan terus mendodoi serta menolak Ji’Aire di atas buaian tanpa henti. Akibat cengkaman penyakit mental yang melumpuhkan fungsi kognitifnya, Romechia kekal di situ selama kira-kira 44 jam yakni tidak makan, tidak tidur dan hilang sepenuhnya keupayaan untuk membezakan antara realiti maya dengan dunia nyata.

Perbicaraan kes ini di Mahkamah Daerah Charles County pada awal tahun 2016. Pihak pendakwaan pada mulanya mengemukakan pertuduhan serius iaitu penderaan kanak-kanak yang mengakibatkan kematian dan pembunuhan tanpa niat. Walau bagaimanapun, barisan peguam bela berjaya membuktikan bahawa anak guam mereka berada dalam keadaan hilang kewarasan yang mutlak semasa kejadian berlaku.
Keputusan akhir mahkamah memutuskan bahawa Romechia Simms didapati tidak bertanggungjawab secara jenayah atas kematian anaknya atas alasan kecelaruan mental yang teruk. Hakim kemudiannya mengeluarkan perintah agar Romechia diletakkan di bawah institusi psikiatri untuk rawatan intensif disusuli dengan syarat pelepasan pengawasan perubatan yang ketat bagi memastikan dia terus mengambil ubat dan tidak menjadi ancaman kepada orang ramai.
Catat Ulasan for "Kisah 44 Jam Di Taman Permainan: Ibu Tolak Mayat Anak Tanpa Sedar"