Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

LOVELESS



Tajuk  : Loveless (2017)
                                                                Genre : Drama
                                                                Rating: IMDb 7.6/10
                                                                             Rotten Tomatoes 94%

    Kadar statistik penceraian yang berlaku di negara kita pada setiap tahun mencecah puluhan ribu. Diulangi, puluhan ribu. Satu angka yang cukup besar. Mengikut rekod dari bulan Januari hingga Julai 2016, sebanyak 48,077 kes perceraian yang melibatkan pasangan beragama Islam telah dicatatkan. Keadaan ini sememangnya sangat-sangat membimbangkan.

    Punca penceraian kebiasaannya berlaku atas beberapa faktor seperti tiada persefahaman, si suami tidak bertanggungjawab, kecurangan, campur tangan pihak ketiga, masalah kewangan dan lain-lain. Bahkan sebab remeh temeh pun ada.

    Siapa yang paling terkesan dengan kesan penceraian ini? Jawapannya sudah semestilah anak. Begitu banyak kesan negatif yang bakal mereka hadapi. Kita semua sedar bahawa emosi anak-anak yang kecil masih lagi tidak stabil. Anak-anak yang menginjak ke usia dewasa lagilah berasa tertekan apabila menghadapi situasi sebegini. Jack bukanlah pakar motivasi mahupun rumah tangga. Cumanya, Jack hanya mampu berdoa moga kehidupan kita sentiasa dalam keadaan baik-baik sahaja.

    Berbalik dengan filem berjudul Loveless (2017) ini, ia adalah sebuah filem yang penuh dengan iktibar dan pedoman. Namun ada sedikit peringatan keras, filem ini juga mempunyai adegan yang tidak sesuai untuk mereka yang berada di bawah umur.

    Filem ini bukan sahaja mengisahkan tentang seorang anak, bahkan turut menyentuh bagaimana sifat saling membenci antara suami dan isteri begitu memberi kesan yang negatif hingga hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri. Tiada sikap toleransi dan culas tanggungjawab boleh menghancurkan institusi rumah tangga dalam sekelip mata.

    Loveless mengisahkan pergolakan rumah tangga yang berlaku antara Zhenya dan Boris. Mereka berdua yang sedang dalam proses untuk bercerai sudah pun mempunyai kekasih baru. Dalam situasi itu, anak mereka iaitu Alyosha yang baru berusia 12 tahun) betul-betul tertekan. Dia bukan saja rasa terabai, malah tidak mengenal erti kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu bapa. Apabila Alyosha mendengar sendiri ibu dan ayahnya ingin melepas tanggungjawab untuk menjaganya, hatinya betul-betul hancur.

    Boris adalah seorang yang pengecut. Dia yang sentiasa sibuk dengan kerja enggan sebolehnya enggan lagi untuk menjaga Aylosha. Si Zhenya pula sibuk menghadap telefon 24 jam. Hidupnya tak lekang daripada media sosial dan pergi mendapatkan rawatan di spa. Seperkara lagi, dia suka memaki hamun. Zhenya sebenarnya tidak pernah puas untuk berjoli memandangkan dia berkahwin dengan Boris pada usia muda tanpa restu ibunya. 

    Satu hari, Aylosha dilaporkan hilang. Dia langsung tidak pulang ke rumah. Maka bermulalah episod pencarian. Boris dan Zhenya mua berasa risau atas kehilangan anak mereka itu. Namun, kerisauan mereka berdua hanya sekadar atas angin. Tiada sedikit pun rasa penyesalan dalam diri mereka. Apa yang Boris dan Zhenya kesali cumalah kesilapan mereka untuk berkahwin sebelum ini.

Catat Ulasan for "LOVELESS"