Tiger Shroff Jadi Sasaran Tembakan, Geng Jenayah Terancang Keluarkan Ugutan Bunuh

INDIA - Industri hiburan Bollywood dikejutkan dengan satu insiden tembakan yang menyasarkan kenderaan yang dinaiki oleh pelakon popular, Tiger Shroff di kawasan Juhu, Mumbai. Walaupun pelakon terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan fizikal, kejadian berdarah itu telah mencederakan pemandunya sekali gus mencetuskan kebimbangan mendalam terhadap tahap keselamatan individu ternama di bandar raya berkenaan.
Menurut laporan awal pihak Polis Mumbai, insiden tersebut berlaku apabila Tiger Shroff baru sahaja selesai menyertai satu perlawanan bola sepak di kawasan Juhu. Semasa dia berada di dalam kenderaannya dikelilingi oleh peminat yang ingin melihatnya dari dekat, tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul sebelum melepaskan beberapa das tembakan. Laporan forensik dan sumber keselamatan mengesahkan bahawa beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arah kereta jenis BMW milik pelakon itu. Pemandu Tiger dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan akibat terkena tembakan dan segera dikejarkan ke Hospital Nanavati untuk mendapatkan rawatan kecemasan manakala Tiger sendiri disahkan selamat.

Tidak lama selepas kekacauan itu reda, sebuah klip audio dan kenyataan media sosial mula tular di mana sindiket jenayah terancang di bawah nama kumpulan geng Lawrence Bishnoi mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan tersebut. Melalui hantaran yang didakwa dikeluarkan oleh individu bernama Anil Pandit dan Harman Sandhu, kumpulan penjenayah itu mendakwa bahawa sasaran diletakkan terhadap Tiger Shroff kerana dia didakwa mengabaikan amaran terdahulu berkaitan hubungannya dengan industri serta kerjasama bersama bintang Bollywood, Salman Khan. Malah rakaman audio tersebut turut memuatkan ancaman terbuka bahawa sesiapa sahaja di dalam industri filem yang bersekongkol atau menentang kumpulan mereka akan berdepan dengan nasib yang sama.
BSusulan insiden berprofil tinggi ini, pihak Polis Mumbai bersama cawangan jenayah telah meletakkan seluruh kekuatan keselamatan pada tahap amaran tertinggi. Sebanyak 15 pasukan khas telah ditubuhkan bagi menjejaki pergerakan suspek, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan melarikan diri penjenayah serta menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengesahkan kesahihan klip audio ancaman tersebut.
![]() |
| Lawrence Bishnoi |

Catat Ulasan for "Tiger Shroff Jadi Sasaran Tembakan, Geng Jenayah Terancang Keluarkan Ugutan Bunuh"