Kisah Pembunuhan di Apartmen 1478 yang Benar-Benar Menyedihkan

Kejadian pembunuhan Botham Jean ini berlaku pada malam 6 September 2018 di Dallas, Texas Amerika Syarikat. Botham Shem Jeanz seorang pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari negara kepulauan Caribbean, Saint Lucia merupakan seorang akauntan berkaliber di syarikat audit terkemuka, PricewaterhouseCoopers (PwC). Dia dikenali sebagai seorang yang prihatin, aktif dalam aktiviti keagamaan serta disenangi oleh rakan sekerja.
Pada malam kejadian, Botham Jean sedang berehat di dalam apartmen miliknya di kompleks South Side Flats, Dallas sambil menikmati ais krim dan menonton televisyen. Segala-galanya bermula apabila Amber Guyger, seorang pegawai polis wanita Jabatan Polis Dallas berusia 30 tahun yang baru tamat syif kerja selama 13 jam, pulang ke kompleks apartmen yang sama. Disebabkan keletihan dan kecuaian, Amber telah meletakkan kenderaannya di tingkat empat struktur tempat letak kereta, bukannya di tingkat tiga tempat kediaman asalnya. Tanpa menyedari kesilapan tersebut, dia berjalan menyusuri koridor tingkat empat dan menuju ke unit apartmen bernombor 1478 iaitu rumah milik Botham Jean sambil menyangka ia adalah rumahnya sendiri di unit 1378 yang terletak tepat di tingkat bawah.

Pintu apartmen Botham Jean pada waktu itu dilaporkan tidak terkunci rapat. Apabila Amber menolak pintu tersebut dan mendapati keadaan dalaman rumah agak gelap serta terdapat kelibat seorang lelaki asing, dia terus beranggapan bahawa rumahnya telah diceroboh. Dalam keadaan panik dan tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu, Amber menarik senjata api sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah Botham Jean. Satu daripadanya mengenai dada Jean. Dia yang tidak bersenjata dan langsung tidak memberikan sebarang ancaman, rebah di lantai sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian selepas dikejarkan ke hospital.
Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak berkuasa mencetuskan kemarahan orang ramai apabila timbul dakwaan bahawa tindakan awal Polis Dallas seolah-olah cuba mempertahankan rakan setugas mereka. Namun disebabkan desakan masyarakat dan bukti kukuh di lokasi kejadian, Amber akhirnya dipecat daripada perkhidmatan polis dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh. Dalam perbicaraan yang berlangsung pada September 2019, pihak pendakwaan menekankan bahawa Amber bertindak secara melulu, mengabaikan protokol keselamatan polis dan gagal menyedari pelbagai petunjuk visual seperti lapik kaki merah di luar pintu Jean yang membuktikan bahawa dia berada di rumah orang lain.

Pada 1 Oktober 2019, keputusan dicapai apabila juri mahkamah mendapati Amber Guyger bersalah atas kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun. Perbicaraan ini turut diwarnai dengan detik emosi yang menyentuh hati seluruh dunia apabila adik lelaki Botham Jeanz Brandt Jean memberikan kenyataan impak di mana Brandt menyatakan kemaafan secara terbuka kepada Amber, menggalakkan wanita itu untuk menyerahkan hidupnya kepada Tuhan dan memohon izin hakim untuk memeluk pembunuh abangnya itu di dalam bilik mahkamah.
Selain tindakan perundangan jenayah, keluarga Botham Jean turut memfailkan saman sivil atas kematian salah terhadap Amber Guyger dan Bandaraya Dallas. Dalam keputusan prosiding sivil yang berasingan, mahkamah memerintahkan Amber Guyger membayar ganti rugi melebihi $98.6 juta kepada keluarga Botham Jean sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa dan penderitaan yang dialami.

Amber Guyger mula layak memohon pelepasan bersyarat (parole) pada tahun 2024 selepas menjalani tempoh minima lima tahun penjara. Permohonan pertamanya bagaimanapun telah ditolak oleh Lembaga Parol Texas. Dalam permohonan susulan pada 1 Oktober 2026, Lembaga Parol Texas telah meluluskan pelepasan bersyarat beliau selepas genap tujuh tahun menjalani hukuman di dalam penjaram Tarikh pembebasan rasmi beliau dari kurungan fizikal telah ditetapkan pada 16 Oktober 2026 untuknya menghabiskan baki tiga tahun hukuman di bawah pengawasan parol.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan di Apartmen 1478 yang Benar-Benar Menyedihkan "