Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MICHAEL DAN DALIA DIPPOLITO : TERKANTOI NAK BUNUH SUAMI SENDIRI

 


    Pada bulan Februari 2009, Michael Dippolito telah mengahwini wanita pilihannya bernama Dalia yang juga merupakan "escort girl" iaitu selepas setahun mereka berkenalan. Michael dan Dalia mempunyai satu persamaan di mana mereka berdua begitu obses dengan rancangan realiti televisyen. Malah mereka berdua ada keinginan untuk menjadi peserta realiti televisyen pada satu masa kelak.

   Michael yang bertubuh sasa ini sebenarnya mempunyai rekod buruk jenayah seperti pernah terlibat dengan kes penipuan kewangan, dadah dan menganggotai sindiket jenayah. Diringkaskan cerita, pada tahun 2009 Michael yang bebas masih lagi dalam tempoh percubaan. Perkara ini bermaksud setiap pergerakan Michael sentiasa diawasi dan dipantau oleh pihak berkuasa.


    Sebulan selepas perkahwinannya dengan Dalia, rumah Michael telah diserbu dan digeledah oleh pihak berkuasa. Menurut kenyataan pihak berkuasa tersebut, mereka ada menerima maklumat rahsia tentang kegiatan jenayah yang dilakukan oleh Michael. Namun harus diingatkan bahawa rekod Michael ketika ini boleh dikatakan sudah "cuci tangan". Jadi tidak hairanlah pihak berkuasa yang melakukan penggeledahan itu pulang dengan tangan kosong. 

    Beberapa bulan kemudian, Michael diterjah buat kali kedua dengan keretanya pula diperiksa. Bagaimanapun keadaan sama seperti sebelumnya apabila pihak berkuasa gagal untuk menjumpai sebarang bukti.

    Hinggalah satu ketika, kereta Michael diperiksa sekali lagi. Kali ini pihak berkuasa berjaya menemui bungkusan dadah jenis kokain yang disimpan pada bahagian tayar ganti. Michael bagaimanapun berkeras mendakwa bahawa ada individu sedang cuba untuk memerangkapnya. Individu yang dimaksudkan oleh Michael itu berkemungkinan besar adalah musuh-musuh lamanya sebelum ini.

    Ini adalah pendedahan yang sebenarnya. Individu misteri yang bertindak memberikan maklumat rahsia yang membawa kepada serbuan rumah Michael itu adalah Dalia iaitu isteri Michael sendiri. Dalia jugalah orang yang meletakkan bungkusan dadah dalam kereta Michael dengan harapan suaminya itu gagal dalam tempoh percubaanya. Penganiayaan tersebut dibuat bagi membolehkannya membolot segala wang dan harta milik Michael. 

    Cerita belum berakhir. Disebabkan rancangan pada sebelumnya gagal, maka Dalia pun mula merancang sesuatu di luar jangkaan. Dia pergi berjumpa dengan rakan lelakinya yang bernama Mohamed Shihadeh. Dalia memberitahu Shihadeh bahawa dia tidak gembira dengan perhubungannya dengan Michael. Demi keselamatan diri, Dalia memberikan pendapatnya untuk mengupah pembunuh upahan dalam menjayakan plot pembunuhan Michael. Bagusnya Shihadeh adalah dia tidak mendiamkan diri. Malah Shihadeh bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

   Selepas memperolehi maklumat daripada Shihadeh, maka pihak polis telah mengambil satu langkah ke depan dengan membuat plot palsu untuk memerangkap Dalia bagi mendapatkan bahan bukti pendakwaan. 

    Fasa pertama, mereka mengatur pertemuan antara Shihadeh dengan Dalia. Menerusi pertemuan tersebut, Shihadeh mendakwa bahawa dia ada mengenali pembunuh upahan yang boleh membunuh Michael. Dalia bersetuju untuk memberi upah sebanyak $1,200 serta sekeping gambar Michael. Fasa kedua, Dalia bertentang mata dengan pembunuh upahan tersebut. Seperkara yang tidak disedari Dalia, pembunuh upahan itu sebenarnya adalah pegawai bahagian narkotik yang melakukan penyamaran.


    Fasa ketiga iaitu fasa akhir. Pada waktu ini, pihak polis pergi ke rumah Michael sendiri. Seperti yang dirancang, Dalia berada di pusat gim pada waktu pagi tersebut. Setibanya di lokasi, pihak polis pun mendedahkan perkara yang sebenar kepada Michael tentang plot pembunuhan terancang isterinya itu. Apa yang pasti, ia adalah satu pendedahan yang begitu mengejutkan buat Michael. Michael kemudian dibawa ke balai polis. Selepas itu, barulah Dalia dihubungi oleh polis meminta agar dia pulang ke rumah dengan kadar segera. Sampai saja di rumahnya, Dalia diberitahu oleh pihak polis bahawa Michael telah mati dibunuh. Mendengar perkara tersebut, Dalia pun terus menjerit serta menangis teresak-esak. Pada hakikatnya, lakonanan tangisan Dalia itu sangatlah kayu. 


    Dalia kemudian segera dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Berkemungkinan rasa menyampah dengan tangisan palsu Dalia, maka pihak polis pun memberitahu perkara yang sebenar bahawa semuanya telah dirancang daripada awal lagi. Terkejut dengan pendedahan tersebut, Dalia menafikan sebarang tuduhan plot percubaan untuk membunuh suaminya sendiri. Michael kemudian dipanggil masuk ke dalam bilik soal siasat. Melihat raut wajah Michael yang sebenarnya masih lagi hidup, Dalia hanya mampu berkata,

   "Come here... please come here". 

    Walau bagaimanapun, semuanya sudah terlambat untuk Dalia. Selepas mengharungi tiga kali perbicaraan, Dalia yang akhirnya didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun dan hanya akan dibebaskan pada tahun 2032.

Catat Ulasan for "KISAH MICHAEL DAN DALIA DIPPOLITO : TERKANTOI NAK BUNUH SUAMI SENDIRI"