Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

ENAM KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DEMI KEHORMATAN

Shafilea Ahmad

    6. SHAFILEA AHMAD

    Pada tahun 2003, Shafilea Ahmad merupakan seorang gadis Pakistan berusia 17 tahun yang menetap di Britain. Dia yang mengamalkan gaya hidup barat bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Shafilea dikatakan pernah melakukan cubaan untuk membunuh diri namun sempat untuk diselamatkan. Dia berbuat sedemikian adalah sebagai tanda protes terhadap ibu bapanya yang telah mengatur perkahwinanya dengan saudara terdekat mereka dari Pakistan.

    Selepas berbulan-bulan didera, Shafilea akhirnya dibunuh oleh ibu bapanya di depan adik beradiknya yang lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam sebuah sungai. Mayat Shafilea berjaya ditemui enam bulan selepas kejadian dengan identitinya dikenalpasti menerusi rekod pergigian serta barang yang dipakainya.

    Pada mulanya, ibu bapa Shafilea menafikan sebarang penglibatan mereka dalam pembunuhan itu. Mujur sajalah adik Shafilea iaitu Alesha akhirnya tampil memberikan keterangan bagi menentang ibu bapanya. Tahun 2012, ibu bapa Shafiela telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang parol selama 25 tahun.


    5. KELUARGA SHAFIA

    Di Montreal, Kanada, seorang lelaki bernama Mohammaed Shafia serta isteri kedua dan seorang anak lelaki mereka telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh anggota keluarga mereka sendiri. Mereka yang dibunuh adalah tiga orang anak perempuan Shafia dan juga isteri pertamanya. Shafia yang berasal dari negara Afghanistan telah mengaku merancang pembunuhan tersebut serta pada masa sama menggelar anak perempuannya itu sebagai pelacur.

    Punca pembunuhan, anak perempuan sulung Shafia berkeinginan untuk berkahwin dengan lelaki bukan pilihan keluarga. Anak kedua Shafia pula sering berpakaian seksi dan mempunyai teman lelaki berdarah latin. Anak perempuan ketiga Shafia yang juga merupakan mangsa paling muda dikatakan begitu nakal. Sementara itu, isteri pertama Shafia turut dibunuh kerana menyebelahi tiga orang anak tirinya itu.

    Mayat Rona, Zainab, Sahar dan Geeti telah ditemui dalam kereta keluarga mereka yang tenggelam dalam sebuah tasik. Berdasarkan siasatan, kereta tersebut sengaja ditolak oleh sebuah kereta lain hingga jatuh terjunam ke dalam tasik berkenaan. Kesemua suspek yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup tanpa peluang parol selama 25 tahun.

    Kisah penuh tentang kisah ini boleh dibaca di sini.


Farzana Parveen

    4. FARZANA PARVEEN

    Tahun 2014, seorang wanita bernama Farzana Parveen yang berusia 25 tahun telah dibelasah serta dipukul sampai mati dengan batu-batu oleh bapa, dua orang abang dan juga sepupunya. Kejadian itu berlaku di luar perkarangan mahkamah Lahore, Pakistan.

    Farzana yang sedang mengandung tiga bulan waktu tersebut dibunuh kerana enggan untuk mengahwini sepupunya seperti yang telah diaturkan oleh keluarganya. Farzana sebaliknya memilih untuk berkahwin dengan seorang lelaki duda iaitu Mohammed Iqbal.

    Sebelum kejadian berlaku, Farzana sedang dalam perjalanan ke mahkamah bagi mengisytiharkan perkahwinannya dengan Iqbal. Pada masa sama, keluarga Farzana juga telah memfailkan tuduhan penculikan terhadap Iqbal. Apa yang berlaku kemudian benar-benar menyedihkan. Sewaktu Farzana dipukul, tiada seorang pun yang berani untuk meleraikan keadaan termasuklah pihak polis.

    Sesudah Farzana mati, barulah bapa Farzana dan mereka yang lain terlibat ditahan. Mereka semua yang tidak menunjukkkan sebarang tanda penyesalan telah dijatuhkan hukuman mati.

    Berkenaan dengan Iqbal, dia benar-benar sedih dengan kejadian itu. Cumanya, ada sedikit plot twist. Iqbal pernah dipenjarakan selama setahun atas kesalahan membunuh isteri pertamanya. Pembunuh tersebut dilakukan bagi membolehkannya berkahwin dengan Farzana.


    3. NOOR BASRA DAN NOOR SHEZA

    Pada tahun 2013, seorang wanita dan dua orang lagi anak perempuannya telah ditembak mati di Chilas, Pakistan. Pembunuhan itu dilakukan selepas tersebarnya video mangsa iaitu Noor Basra (15 tahun) dan Noor Sheza (16 tahun) sedang menari di dalam hujan. Mereka berdua menari dengan berpakaian tradisional dan memakai skaf berwarna ungu. Rakaman tersebut sebenarnya telah dirakam pada waktu enam bulan sebelum kejadian pembunuhan.

    Berikutan video berkenaan yang sudah tersebar luas di kampung, maka abang tiri mangsa dengan bantuan empat orang lagi rakannya telah menembank mati Noor Basra, Noor Sheza dan ibu mereka. Kesemua suspek yang ditahan membuat pengakuan tentang pembunuhan demi kehormatan yang dilakukan oleh mereka.


    2. AMINAH DAN SARAH SAID

    Pada 1 Januari 2008, Yaser telah memujuk dua orang anak perempuanya yang bernama Aminah dan Sarah Yaser untuk menaiki teksi bersama. Pada mulanya, Patricia iaitu isteri Yaser ingin turut serta sekali tetapi telah dihalang oleh suaminya itu.

    Apa yang berlaku kemudian benar-benar mengejutkan. Aminah dan Sarah bukan dibawa untuk pergi makan, tetapi ditembak dalam teksi berkenaan. Motif sebenar pembunuhan tersebut agak kurang jelas. Namun, ramai pihak yang berpendapat bahawa Yaser sudah hilang sabar kerana anak-anak perempuannya itu lebih memilih gaya hidup barat berbanding mengamalkan budaya Arab. 

    Selepas menembak mati Aminah dan Sarah, Yaser telah bertindak untuk menghilangkan diri hingga menjadi buruan utama pihak FBI. Meskipun ada beberapa laporan yang mendakwa melihat Yaser memandu teksi di sekitar New York, dia gagal untuk ditemui selama bertahun-tahun sebelum akhirnya berjaya ditangkap pada bulan Ogos 2020.

    Kisah penuh tentang kisah ini boleh dibaca di sini.


    1. BHAWNA YADAV

    Tahun 2014, Bhawna Yadav merupakan seorang gadis pelajar kolej berusia 24 tahun dari Rajashtan, India. Dia telah menjalinkan hubungan dengan seorang rakan sekolej bernama Abishek Beth yang lebih tua tiga tahun daripadanya. Hubungan tersebut tidak direstui oleh keluarga Bhawna kerana Abishek bukannya daripada kasta yang sama dengan mereka. Lagipun keluarga Bhawna sudah ada calon pilihan mereka sendiri.

    Sepuluh hari sebelum majlis pertunangan Bhawna bersama lelaki pilihan keluarganya, dia telah berkahwin dengan Abishek secara senyap-senyap di sebuah kuil. Bhawna tekad untuk melangsungkan perkahwinan itu dengan harapan lambat laun ibu bapanya akan menerima jua Abishek sebagai menantu.

    Sebaik saja ibu bapa Bhawna mengetahui tentang perkahwinan itu, mereka berjanji untuk mengadakan majlis perkahwinan secara meriah. Apa yang berlaku kemudian, Bhawna telah dibawa pulang semula ke rumah sebelum diseksa lalu dicekik sampai mati oleh ibu bapanya.

    Abishek menyedari tentang kehilangan Bhawna selepas isterinya itu gagal untuk dihubungi. Setelah laporan polis dibuat, ibu bapa Bhawna yang disoal siasat akhirnya membuat pengakuan tentang pembunuhan tersebut.

Catat Komen for "ENAM KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DEMI KEHORMATAN "