Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN BAYI MADDOX : Bapa Psiko

Ryan, Morgan dan Maddox

    Pada 20 Februari 2016, seorang bayi perempuan bernama Maddox Lawrence yang berusia 21 bulan telah dilaporkan hilang oleh ibunya. Seorang lagi yang gagal dikesan adalah bapa Maddox sendiri iaitu Ryan Lawrence, 25 tahun.

    Bertindak atas laporan kehilangan Maddox, pihak polis terus melakukan operasi pencarian. Menerusi satu sidang media, Morgan Lawrence yang juga merupakan ibu kepada Maddox telah berkata,

    "Ryan, jika awak mendengar, tolong bawa pulang semula Maddox."

    "Maddox, ibu sayangkan awak sayang."

    "Ryan tolong, tolonglah telefon. Kami semua cuma nak tahu samada kamu berdua berada dalam keadaan selamat. Kami sekeluarga sayangkan awak. Kami sekeluarga mahu kamu berdua pulang ke rumah. Kami cuma nak tahu samada kamu berdua berada di tempat yang selamat."

    Difahamkan sebelum waktu kejadian, Ryan bersama Maddox telah menghantar Morgan pergi ke tempat kerjanya. Beberapa jam kemudian, Morgan yang sudah habis bekerja pun menunggu Ryan datang menjemputnya. Namun apa yang berlaku, Ryan dan Maddox langsung tidak muncul. Lagi mengejutkan Morgan, dia mendapati kereta keluarganya ada di kawasan parkir tempat kerjanya. Jadi, dia pun menaiki kereta tersebut untuk pulang ke rumah. Apabila sampai di rumah, Morgan mendapati suami dan anaknya masih tidak kelihatan. Cumanya, Morgan ada menerima satu pesanan video berdurasi lapan minit yang dihantar oleh Ryan. Dalam video itu, Ryan memberitahu untuk membunuh diri bersama dengan Maddox.

Bayi Maddox

    36 jam selepas kehilangan Maddox, pihak polis berjaya menangkap Ryan hasil daripada maklumat orang awam. Penangkapan itu dibuat di sekitar kawasan Baldwinsville. Pengakuan dari Ryan kemudian membawa kepada penemuan mayat Maddox di kawasan anak sungai Onondaga yang terletak di Syracuse.

    Ya, Ryan telah membunuh Maddox yakni darah dagingnya sendiri dengan cara yang sangat kejam. Bayi Maddox dipukul sampai mati oleh Ryan dengan kayu pemukul besbol. Tak cukup dengan itu, mayat Maddox kemudian dibakar dalam unggun api sebelum diikat pada blok cinder lalu dibuang ke dalam sungai.

    Tentang Ryan dan Morgan, mereka berdua mula berkenalan semasa bekerja di sebuah pusat membeli belah. Tidak lama selepas Morgan hamil, pasangan tersebut pun membuat keputusan untuk berkahwin. Sebaik Maddox dilahirkan, Ryan dan Morgan bekerja keras untuk menyara kehidupan keluarga mereka. Ryan dikatakan sebagai seorang suami dan bapa yang baik.

    Sewaktu usia Maddox hampir mencecah setahun, Ryan dan Morgan mendapati semakin satu mata anak tunggal mereka tersebut semakin gelap. Hasil pemeriksaan perubatan mendapati Maddox disahkan mengidap penyakit kanser Retinoblastoma. Ryan dan Morgan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan Maddox. Mereka berdua telah berulang alik ke New York untuk menghantar Maddox menjalani rawatan kimoterapi. Selepas beberapa kali menjalankan rawatan dengan bantuan kewangan daripada orang ramai, Maddox berjaya melawan penyakit kanser yang dihidapinya itu. Dalam erti kata lain, Maddox adalah seorang kanser survivor.

    Berhubung perbicaraan kes, Ryan menerima rundingan pertuduhan dengan mengaku bersalah atas pembunuhan Maddox telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup. Dia hanya layak untuk diparol selepas 25 tahun di penjara. Sementara itu, Morgan telah memberitahu pihak mahkamah bahawa dia mengalami kemurungan dan kegelisahan selepas kematian Maddox.

    Berkenaan dengan motif pembunuhan Maddox, setakat ini tiada penjelasan sahih tentang perkara tersebut. Cuma apa yang pasti, Ryan mendakwa dirinya mengidap penyakit kemurungan psikotik berpunca daripada masalah rumah dan kewangan yang dialaminya. Dia juga ada merancang untuk membunuh diri selepas pembunuhan Maddox. Ryan bagaimanapun tidak sempat berbuat sedemikian berikutan ditangkap oleh pihak polis. Harus diketahui, dua orang pakar psikiatri yang melakukan pemeriksaan terhadap Ryan menunjukkan lelaki itu tidak mempunyai sebarang tanda penyakit mental. Bahkan, pembunuhan Maddox nampak seperti pembunuhan yang terancang. Pembunuhan tersebut berkemungkinan besar dilakukan oleh Ryan kerana dia berasa cemburu dengan perhatian ramai yang diterima oleh Maddox atas statusnya sebagai seorang kanser survivor.

    Di penjara, Ryan berdepan dengan kesukaran ekoran statusnya sebagai pembunuh bayi telah tersebar luas di penjara. Ada satu cerita yang tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya, Ryan dibelasah sebanyak 10 kali oleh banduan lain dalam tempoh enam hari pertamanya dalam penjara. Ryan dilaporkan tidak membuat laporan tentang insiden terbabit. 

Catat Komen for "KISAH PEMBUNUHAN BAYI MADDOX : Bapa Psiko"