Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MIRIAM RODRIGUEZ : “Taken” yang Sebenar

Miriam Rodriguez

         Miriam Elizabeth Rodriguez Martinez dilahirkan pada 5 Februari 1960 di bandar San Fernando, negeri Tamaulipas, Mexico. Hidup di kawasan yang sering dilanda keganasan kartel dan penculikan, dia tidak pernah menyangka bahawa satu kejadian akan merobek kehidupan keluarganya. 

       Pada tahun 2012, anak perempuan Miriam iaitu Karen Alejandra Salinas Rodriguez, diculik. Miriam terpaksa membayar wang tebusan termasuklah dengan cara mengambil pinjaman daripada institusi kewangan.   Walaupun wang tebusan diserahkan, penculik gagal menepati janji dan Karen tidak pernah dibebaskan. Malah Miriam menerima mesej bahawa Karen sudah meninggal dunia namun tanpa sebarang bukti fizikal yang dapat mengesahkan kematian atau lokasi mayatnya.

      Keadaan semakin memburuk apabila penyiasatan rasmi dilihat gagal sama ada kerana ketakutan, tekanan kartel atau kecuaian. Ketidakpuasan hati dan kekecewaan terhadap kelemahan sistem mendorong Miriam untuk bangkit menuntut kepastian dengan caranya sendiri.

     Kejadian itu mengubah watak Miriam yakni daripada seorang ibu biasa kepada penyiasat tanpa kuasa rasmi. Maka dengan tekad yang tinggi, dia merancang dan menyusuri jejak penculik termasuk menyamar, menukar penampilan dan menjejaki suspek seorang demi seorang. Dia menyiasat latar belakang suspek daripada segi pekerjaan, rangkaian sosial, lokasi dan rutin harian. Miriam bahkan menggunakan maklumat daripada media sosial, identiti palsu serta pemerhatian langsung di premis yang disyaki. Dalam tempoh kira-kira dua hingga tiga tahun, usaha keras Miriam membuahkan hasil apabila hampir semua individu yang terlibat dalam penculikan Karen berjaya dikesan dan sepuluh daripada mereka ditangkap.

     Pada tahun 2014, selepas usaha pencarian yang intensif, Miriam menemui mayat Karen di dalam sebuah kubur rahsia tanpa tanda di sekitar San Fernando. Bukti fizikal dan identifikasi forensik akhirnya memberikan kepastian yang telah lama dinantikan Miriam. Dia menyerahkan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa dan pelaku utama serta beberapa suspek berjaya ditangkap.

     Namun bagi Miriam, penemuan itu bukanlah penghujung perjuangan. Dia sedar bahawa ratusan keluarga lain turut menderita akibat kehilangan orang tersayang, hilang tanpa jejak atau menemui mayat di kubur rahsia. Demi membantu mereka, dia menubuhkan sebuah gerakan keluarga mangsa hilang yang dinamakan sebagai Colectivo de Personas Desaparecidas de San Fernando. Melalui gerakan ini, keluarga-keluarga mangsa bergabung, berkongsi maklumat, menyokong antara satu sama lain dan menekan pihak berkuasa agar serius menangani kes kehilangan serta jenayah kartel. Perjuangan Miriam bukan sahaja untuk anaknya tetapi juga untuk kemanusiaan dan keadilan kolektif.

      Menyedari bahaya yang dihadapi terutama selepas sebahagian suspek berjaya ditangkap manakala ada yang melarikan diri, Miriam beberapa kali memohon perlindungan khas daripada kerajaan negeri. Sebagai tindak balas, pihak berkuasa menghantar rondaan polis tiga kali sehari di kediamannya. Malangnya, perlindungan tersebut tidak mencukupi. Pada 10 Mei 2017, tepat pada sambutan Hari Ibu di Mexico, sepasukan lelaki bersenjata menyerbu kediamannya di San Fernando. Miriam telah ditembak sebanyak 12 kali dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Catat Ulasan for "KISAH MIRIAM RODRIGUEZ : “Taken” yang Sebenar"