Kisah Pembunuhan Ngeri di Wad Bersalin

Pada 2 Mei 2011, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di wilayah Guizhou, China. Sebuah hospital yang sepatutnya menjadi tempat meraikan sinar kehidupan baharu bertukar menjadi medan ngeri apabila seorang wanita yang baru tiga hari melahirkan anak maut di tangan suaminya sendiri.
Suasana di tingkat empat hospital berkenaan pada mulanya tenang. Yang Hu Shang, seorang wanita yang berusia 42 tahun sedang berehat di atas katilnya selepas menjalani pembedahan Caesarean. Dia ditemani oleh dua saudara jauh yang datang melawat sambil membawa sup ayam untuk menguatkan badannya. Namun ketenangan itu hancur apabila suaminya iaitu Long Julie melangkah masuk ke dalam bilik dengan raut wajah yang sukar digambarkan. Tanpa sebarang pertengkaran mulut pada waktu itu, Long Julie terus mengeluarkan sebilah pisau dapur yang disembunyikan di bawah bajunya. Dia meluru ke arah isterinya yang masih lemah dan menyerang leher mangsa berkali-kali. Saudara mangsa yang berusia 70-an cuba menghalang tetapi mereka turut ditetak dan mengalami kecederaan parah. Dalam sekelip mata, wad bersalin itu dipenuhi jeritan ketakutan dan percikan darah hingga memaksa pesakit lain bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Pihak polis yang tiba di tempat kejadian berdepan dengan situasi yang sangat ngeri. Long Julie didapati sedang memegang pisau di sebelah tangan manakala di tangan yang lain, dia menjinjing kepala isterinya yang telah dipancung. Dia kemudian memanjat birai tingkap hospital, berdiri di luar bangunan sambil menjerit-jerit tidak menentu kepada orang ramai di bawah.
Rundingan dilakukan selama lebih sejam namun gagal membuahkan hasil. Long Julie menjadi semakin agresif dan enggan melepaskan senjatanya. Bagi mengelakkan risiko lebih besar dan memandangkan pelaku masih bersenjata tajam, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan tepat yang membunuh Long Julie di tempat kejadian. Penamat nekad ini secara tidak langsung menutup peluang untuk mengetahui motif sebenar melalui mulut pelaku sendiri.

Apabila latar belakang Long Julie disiasat, penduduk kampung menggambarkannya sebagai seorang lelaki yang agak malang. Sebelum berkahwin dengan Yang Hu Shang, Long Julie pernah kehilangan dua isteri terdahulu di mana seorang meninggal dunia akibat sakit kronik dan seorang lagi membunuh diri. Reputasi sebagai lelaki pembawa malang menyebabkan dia sukar mendapat jodoh sehingga bertemu dengan Yang pada tahun 2009.
Walaupun pada mulanya Long kelihatan seperti suami yang rajin dan lurus, dia sebenarnya menyimpan rahsia kesihatan yang gelap. Dia sering mengalami sakit kepala yang teramat sangat sehingga menyebabkan dia bertindak luar kawalan (delusi). Malah, pernah terjadi peristiwa dia melompat keluar dari kereta api yang sedang bergerak kerana menyangka ada orang mahu membunuhnya.

Faktor utama yang dipercayai merobek kewarasan Long Julie adalah tekanan ekonomi yang melampau. Bagi membiayai kos hospital isterinya, dia telah meminjam wang sebanyak 8000 RMB (sekitar RM5000). Malangnya, separuh daripada wang tersebut telah hilang yakni sama ada tercicir atau ditipu oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Apabila Yang mengetahui perkara ini, dia yang terkenal dengan perwatakan tegas dan bermulut celupar telah menghamburkan kata-kata nista terhadap suaminya. Dia melabel Long sebagai lelaki tidak berguna selain mengugut untuk bercerai sebaik sahaja keluar hospital. Bagi seorang lelaki yang sudah berada di ambang tekanan mental, kata-kata tersebut menjadi sumbu yang meletupkan amarahnya sehingga dia nekad membeli pisau dan melakukan pembunuhan kejam tersebut.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Ngeri di Wad Bersalin"