Kisah Pembunuhan Kejam Ibu dan Anak: Pengkhianatan Seorang Sahabat

Kes ini bermula daripada sebuah persahabatan yang disangka ikhlas namun berakhir dengan pengkhianatan yang paling kejam. Mangsa iaitu Ponia (40 tahun) merupakan seorang suri rumah dan pekerja kedai yang dikenali sebagai seorang yang gigih menabung demi masa depan keluarganya. Namun disebabkan kekangan pendidikan di mana Ponia tidak pandai membaca dan menulis, dia telah meminta bantuan sahabat baiknya iaitu Tika Herly untuk menguruskan akaun banknya.

Persahabatan mereka yang terjalin sejak zaman remaja membuatkan Ponia menaruh kepercayaan mutlak sehingga sanggup menyerahkan kad ATM dan nombor PIN kepada Tika. Malangnya, kepercayaan itu disalahgunakan sepenuhnya. Tika yang menjalani gaya hidup mewah dan boros telah membelanjakan wang simpanan Ponia sebanyak Rp45 juta (sekitar RM13 000) tanpa pengetahuan mangsa. Apabila rahsia itu terbongkar dan Ponia mula mendesak agar wangnya dipulangkan, Tika yang tersepit dengan hutang tidak menunjukkan rasa kesal. Dia sebaliknya mula merancang satu plot pembunuhan yang rapi semata-mata untuk melupuskan hutang tersebut. Tika mengupah dua lelaki muda yang dikenali sebagai Rico Apriadi (20 tahun) dan Jeffre (17 tahun) dengan menjanjikan upah lumayan serta tawaran kerja di Taiwan sebagai umpan.
Pada 19 Disember 2018, rancangan jahat itu dilaksanakan. Tika menjemput Ponia dan anak perempuannya yang masih remaja, Selfia (13 tahun) dengan alasan mahu membawa mereka ke mesin ATM untuk membayar semula hutangnya. Tanpa rasa curiga, kedua-dua mangsa menaiki kereta yang dipandu oleh Jeffre. Namun perjalanan itu bukanlah ke bank kerana mereka sebaliknya dibawa ke kawasan kebun kopi yang sunyi. Di situ, sandiwara dimainkan di mana Rico berpura-pura bergaduh dengan Tika bagi mencetuskan suasana keliru sebelum mereka menyerang mangsa.

Kejadian menjadi sangat menyayat hati apabila Ponia dibunuh dengan kejam di hadapan mata anaknya sendiri. Rico bertindak menjerut leher Ponia sehingga mangsa tidak lagi bernyawa. Selfia yang ketakutan cuba melarikan diri dari kereta untuk menyelamatkan diri. Tika bagaimanapun mengarahkan kedua-dua upahannya untuk menghapuskan saksi tersebut. Selfia akhirnya turut dibunuh dengan cara yang sama. Bagi menyembunyikan bukti, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke jambatan dan dicampakkan ke dalam Sungai Lematang sebelum para pelaku melarikan diri ke Jakarta.
Misteri kehilangan dua beranak ini akhirnya terjawab apabila penduduk kampung menemui mayat wanita yang terapung di sungai pada 24 Disember 2018. Penemuan mayat kedua beberapa hari kemudian yang masih memakai pakaian seragam sekolah mengesahkan identiti mangsa sebagai Ponia dan Selfia. Melalui rakaman CCTV di bank dan keterangan suami mangsa yang melihat Tika menjemput isterinya, pihak polis berjaya menjejaki para pelaku. Tika, Rico dan Jeffre akhirnya ditangkap di sebuah pusat perlindungan TKI di Jakarta Barat hanya beberapa hari sebelum mereka sempat melarikan diri ke luar negara.

Di penghujung perbicaraan, mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kekejaman mereka. Tika Herly selaku dalang utama dan Rico Apriadi sebagai pembunuh utama telah dijatuhkan hukuman mati manakala Jeffre yang masih di bawah umur dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Ibu dan Anak: Pengkhianatan Seorang Sahabat"