Kisah Kematian Sara Hamdy yang Benar-Benar Menyedihkan

Kisah Sara Hamdy, seorang gadis berusia 19 tahun dari Kampung Kuzam, daerah Qus di wilayah Qena, Mesir pada awal tahun 2026 benar-benar mengejutkan rakyat negara tersebut. Sara ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan di mana tubuhnya bukan lagi seperti manusia dewasa tetapi sebaliknya hanya tinggal rangka yang dibalut kulit nipis, kering dan dipenuhi kesan luka lama.
Segalanya bermula daripada keretakan rumah tangga antara bapanya iaitu Hamdi, seorang kakitangan pentadbiran sekolah dan ibunya, Sana. Hamdi digambarkan sebagai seorang lelaki yang sangat dominan, panas baran dan menganggap isteri sebagai hamba yang perlu patuh sepenuhnya tanpa suara. Selepas setahun menanggung penderaan fizikal, Sana akhirnya menuntut cerai melalui proses Khula (tebus talak) pada tahun 2012. Tindakan ini dianggap sebagai satu penghinaan besar buat Hamdi di mata penduduj kampungnya yang masih memegang kuat nilai patriarki. Dendam Hamdi terhadap bekas isterinya itu kemudiannya beralih kepada anak tunggal mereka, Sara.

Setelah bertahun-tahun hidup di bawah jagaan keluarga ibunya, Hamdi tiba-tiba menuntut hak penjagaan Sara pada tahun 2020 ketika gadis itu berusia 12 tahun. Malangnya, kepulangan Sara ke rumah bapanya bukanlah untuk mendapatkan kasih sayang tetapi merupakan permulaan kepada episod neraka dunia. Perkara pertama yang dilakukan oleh Hamdi adalah memaksa Sara berhenti sekolah untuk memutuskan harapan masa depannya. Di rumah itu, Sara dilayan seperti hamba oleh bapanya dan ibu tirinya. Dia sering dipukul, rambutnya dicukur sebagai penghinaan dan tubuhnya sentiasa dipenuhi kesan lebam.
Puncak penderitaan Sara bermula apabila dia cuba melawan. Pada usia 14 tahun, Sara dengan berani membuat laporan polis selepas dipukul dengan teruk. Namun kuasa tradisi dan tekanan daripada ketua-ketua kampung memaksa Sara menarik balik laporan tersebut. Mereka menggunakan hujah hormat kepada bapa untuk memaksa Sara kembali ke rumah yang membunuhnya itu. Hamdi yang berasa tercabar kerana pernah ditangkap polis, bersumpah untuk mematahkan semangat anaknya itu. Dia mengurung Sara di dalam sebuah bilik gelap di tingkat bawah, tanpa elektrik, tanpa tingkap dan pintu yang sentiasa berkunci dari luar.

Di dalam bilik yang kotor dan busuk itu, Sara menghabiskan hari-harinya dalam kegelapan mutlak. Bapanya menggali lubang di lantai bilik tersebut sebagai tandas dan hanya memberikan makanan yang sangat sedikit melalui celah pintu. Sara dilarang mandi, dilarang menukar pakaian dan dilarang berhubung dengan sesiapa. Walaupun jiran-jiran sering mendengar rintihan dan tangisannya, tiada siapa yang berani campur tangan kerana menganggap ia adalah urusan keluarga. Malah ibunya sendiri tidak melawatnya selama lebih setahun yakni hanya sekadar bertanya khabar melalui telefon dan mempercayai kata-kata bohong Hamdi bahawa Sara dalam keadaan baik.
Pada Januari 2026, Hamdi mengambil keputusan nekad untuk menamatkan riwayat anaknya secara perlahan-lahan. Dia berhenti memberi makanan dan minuman sepenuhnya kepada Sara selama 30 hari. Bayangkan penderitaan seorang gadis yang merangkak di atas lantai yang sejuk, dalam gelap, mencari titisan air atau sisa makanan yang tidak pernah sampai. Ketika Hamdi akhirnya membawa Sara ke unit kesihatan, dia dengan selamba mendakwa anaknya mati secara semula jadi. Walau bagaimanapun, doktor yang bertugas enggan bersubahat selepas melihat mayat Sara yang kelihatan seperti mangsa kebuluran zaman perang dengan berat badan yang sangat ringan dan wajah yang kelihatan seperti wanita berusia 80 tahun.

Selepas menerima panggilan telefon daripada doktor tersebut, pihak polis segera memberkas Hamdi di klinik berkenaan. Hasil penggeledahan di rumah Hamdi telah menemui bilik kurungan serta rantai yang digunakan untuk menyeksa Sara. Hamdi kini berhadapan dengan pertuduhan pembunuhan terancang manakala ibu tiri mangsa turut ditahan atas dakwaan bersekongkol dan membiarkan kezaliman itu berlaku di depan matanya sendiri tanpa sebarang belas kasihan.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Sara Hamdy yang Benar-Benar Menyedihkan "