Kisah Pembunuhan Kejam Een Jumianti


Malangnya perjalanan hidup Een mula berubah menjadi gelap apabila dia mengenali Muhammad Maulidi Al Ishak, seorang mahasiswa jurusan Pendidikan Agama Islam yang sering berkunjung ke kafe tempat Een bekerja. Hubungan cinta yang dibina akhirnya membawa kepada kehamilan luar nikah yang berusia dua bulan pada November 2024. Apabila Een menuntut Welid untuk bertanggungjawab dan mengahwininya, Welid mula merasa terdesak. Sebagai seorang pelajar agama yang aktif di kampus, Welid sangat takut akan stigma masyarakat dan bimbang masa depannya hancur jika rahsia tersebut terbongkar. Dia sempat cuba memberikan ubat pengguguran tetapi Een menolak kerana mahu mempertahankan kandungan tersebut. Kebencian dan rasa takut yang melubungi Welid akhirnya membuahkan niat jahat untuk membunuh.
Pada 1 Disember 2024, Welid mengatur satu muslihat kejam dengan mendakwa kononnya ingin membawa Een berjumpa seorang tukang urut tradisional di sebuah kampung untuk menggugurkan kandungan secara rahsia. Sebelum itu, Welid telah menyediakan sebilah calok (senjata tajam tradisional) yang disembunyikan pada badannya. Dalam perjalanan ke lokasi yang dirancang, Welid sempat menyuruh Een membeli mask muka dengan alasan untuk menjaga identiti mereka. Dalam keadaan ketakutan dan ragu-ragu, Een dilaporkan terus berzikir menggunakan tasbih digital di jarinya seolah-olah mendapat petanda akan ajal yang bakal menjemput.


Welid membawa Een ke sebuah bangunan bekas kilang pemotongan kayu yang sunyi dan terbiar di Desa Banjar. Setibanya di sana, Welid tanpa rasa belas kasihan telah menyerang Een menggunakan senjata tajam tersebut. Walaupun Een cuba melarikan diri sehingga telefon bimbitnya terjatuh ke tanah, Welid berjaya menangkapnya lalu mengakhiri nyawa mangsa di tempat kejadian. Lebih memilukan, Welid bertindak membakar mayat Een menggunakan petrol yang disedut daripada tangki motosikal mangsa bagi menghilangkan bukti identiti dan kesan jenayah. Dia kemudian melarikan diri dengan berjalan kaki, meninggalkan jasad Een yang masih mengeluarkan asap.
Identiti mangsa berjaya dikesan oleh pihak polis selepas penduduk kampung menemui mayat hangus tersebut. Penemuan telefon bimbit yang terjatuh di tempat kejadian menjadi bukti utama yang membawa kepada penangkapan Welid dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Kes ini mencetuskan gelombang kemarahan luar biasa di Madura. Rakan-rakan mahasiswa di UTM melancarkan aksi solidariti dengan memakai pita hitam selama tujuh hari dan mengadakan doa bersama di lokasi kejadian. Rektor UTM sendiri turut turun padang mengetuai demonstrasi bagi memastikan pihak berkuasa menjatuhkan hukuman yang paling berat ke atas pelaku.

Keadilan akhirnya tertegak pada 22 Mei 2025 apabila Mahkamah Negeri Bangkalan menjatuhkan hukuman mati ke atas Muhammad Maulidi Al Ishak. Hakim memutuskan bahawa Welid terbukti melakukan pembunuhan terancang mengikut Pasal 340 KUHP. Tiada sebarang faktor yang dapat meringankan hukumannya kerana tindakan tersebut dianggap sangat zalim terhadap seorang wanita yang sedang mengandung.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Een Jumianti"