Kisah Pembunuhan Senyap Kamalkant Shah dan Ibunya

     Pada tahun 2022 bertempat di bandae Mumbai, India, seorang ahli perniagaan tekstil berjaya iaitu Kamalkant Shah telah dibunuh secara kejam dan halus pada usia 46 tahun. Pada mulanya, kematian Kamalkant dianggap sebagai kematian biasa akibat kegagalan organ dalaman. Namun ketelitian pihak hospital dan kecurigaan adik-beradik mangsa akhirnya membongkar satu rancangan pembunuhan licik dan zalim yang melibatkan penggunaan bahan kimia terlarang yang jarang ditemui dalam kes jenayah biasa.

     Segalanya bermula apabila Kamalkant dimasukkan ke Hospital Bombay pada Ogos 2022 selepas mengadu sakit perut yang teruk dan muntah berterusan. Walaupun menerima rawatan pakar, keadaan kesihatannya merosot dengan begitu pantas sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan doktor. Selepas dia menghembus nafas terakhir pada 19 September 2022, seorang doktor kanan yang curiga telah mengarahkan ujian toksikologi dijalankan ke atas sampel darah mangsa. Keputusan ujian tersebut amat mengejutkan di mana badan Kamalkant mengandungi tahap logam berat yang mustahil untuk berada dalam badan manusia secara semula jadi. Tahap Arsenik dikesan 400 kali ganda lebih tinggi daripada had normal manakala tahap Thallium pula 365 kali ganda lebih tinggi. Penemuan ini membuktikan bahawa mangsa telah diracun secara sistematik dalam tempoh masa yang lamanmemandangkan dos setinggi itu tidak mungkin masuk ke dalam badan sekaligus tanpa menyebabkan kematian serta-merta.

     Hasil siasatan lanjut oleh Cawangan Jenayah Mumbai mendedahkan bahawa dalang di sebalik kekejaman ini adalah isteri mangsa sendiri iaitu Kajal dengan bantuan kekasih gelapnya yang bernama Hitesh Jain. Hitesh bukanlah orang asing kerana dia merupakan rakan karib Kamalkant sejak zaman kanak-kanak. Hubungan sulit antara Kajal dan Hitesh telah lama dihidu oleh keluarga Kamalkant hingga pernah menyebabkan pergolakan besar dalam rumah tangga mereka sehingga Kajal keluar dari rumah buat seketika. Motif utama pembunuhan ini adalah gabungan antara cinta terlarang dan tamak harta. Kajal dan Hitesh ingin hidup bersama namun mereka tidak mahu hanya sekadar bercerai. Mereka mahu menguasai empayar perniagaan dan harta milik Kamalkant. Disebabkan itu, mereka merancang satu pembunuhan senyap yang tidak akan meninggalkan kesan fizikal seperti kesan tikaman atau jerutan, agar kematian tersebut nampak seperti akibat penyakit kronik.

Kajal dan Hitesh Jain

     Apa yang lebih menyayat hati ialah Kamalkant bukanlah mangsa pertama. Siasatan polis mendapati ibu Kamalkant, Sharda Devi juga telah meninggal dunia pada Ogos 2022 dengan simptom yang serupa yakni hanya sebulan sebelum kematian anaknya sendiri. Kajal dipercayai telah meracun ibu mentuanya terlebih dahulu bagi memastikan tiada halangan untuk dia mewarisi harta keluarga tersebut. Sharda yang sudah berusia tidak mampu bertahan lama dan meninggal dunia tanpa sesiapa pun mengesyaki sebarang unsur jenayah pada ketika itu.

     Cara mereka melakukan jenayah ini sangat teliti. Hitesh menggunakan dokumen perniagaan palsu untuk mendapatkan bekalan Arsenik dan Thallium dari sebuah syarikat kimia memandangkan bahan tersebut diselia ketat oleh kerajaan. Kajal kemudiannya mencampurkan bahan kimia yang tidak berbau dan tidak berasa itu ke dalam air minuman serta makanan yang disediakan untuk suami dan ibu mentuanya setiap hari.

     Pihak polis berjaya menjejaki bukti digital melalui sejarah carian internet Hitesh yang menunjukkan dia telah melakukan kajian mendalam tentang kesan racun Arsenik dan Thallium sebelum memulakan rancangan tersebut. Rekod panggilan telefon juga menunjukkan komunikasi yang sangat kerap antara Kajal dan Hitesh sepanjang tempoh mangsa terlantar di hospital. 

     Kajal Shah dan Hitesh Jain kini berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan India atas pertuduhan membunuh dan konspirasi terancang. Mahkamah telah menolak semua permohonan ikat jamin mereka kerana bukti saintifik keracunan logam berat yang melampau serta rekod digital perancangan mereka dianggap terlalu kukuh dan kejam.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Senyap Kamalkant Shah dan Ibunya"