Dendam Cinta Ditolak: Gadis Parah Ditetak Rakan Sendiri

     INDONESIA – Suasana akademik di Universiti Islam Negeri (UIN) Sultan Syarif Kasim (Suska) Riau yang tenang bertukar menjadi kecoh dan berdarah pada pagi Khamis, 26 Februari 2026. Seorang mahasiswi tahun akhir, Faradilla Ayu Pramesti (23 tahun) dilaporkan parah selepas diserang secara kejam dengan sebilah kapak oleh rakan sekuliahnya sendiri iaitu Raihan Mufazzar (21 tahun).

     Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 09:30 pagi di tingkat dua bangunan Fakulti Syariah dan Hukum. Menurut saksi di lokasi kejadian, mangsa ketika itu sedang duduk di ruang menunggu di mana dia bersiap sedia untuk menduduki ujian munaqasyah (sidang skripsi) bagi melayakkan dirinya menggenggam segulung ijazah. Suspek secara tiba-tiba datang dari arah belakang mengeluarkan sebilah kapak dari dalam beg galasnya lalu terus menghayunkan senjata tersebut ke arah mangsa.

     ​Serangan yang berlaku secara mengejut itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala, bahu dan jari tangan akibat cuba mempertahankan diri. Jeritan mangsa mengundang panik di kalangan pelajar dan pensyarah lain yang berada di koridor bangunan tersebut.

​     Hasil siasatan awal oleh pihak Polsek Bina Widya mendedahkan bahawa serangan ini bukanlah satu tindakan rawak tetapi sebaliknya telah dirancang dengan teliti oleh suspek. Ketua Polis memaklumkan bahawa motif utama kejadian adalah disebabkan rasa sakit hati dan cemburu yang teramat sangat. ​Difahamkan Raihan telah lama menaruh hati terhadap Faradilla sejak mereka terlibat dalam program Kuliah Kerja Nyata (KKN) bersama. Walau bagaimanapun, cinta suspek ditolak oleh mangsa kerana mangsa dilaporkan sudah mempunyai kekasih hati. 

     Kegagalan mengawal emosi serta sifat obsesi terhadap mangsa mendorong suspek nekad membawa senjata tajam seperti kapak dan parang dari rumahnya di Bangkinang menuju ke kampus dengan niat untuk mencederakan mangsa. ​Sejurus selepas serangan, suspek sempat menghalang orang awam daripada mendekati mangsa sebelum dia berjaya ditumpaskan oleh pasukan keselamatan kampus dengan bantuan pelajar lelaki lain. Suspek kini berada dalam tahanan pihak polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen Penganiayaan Berat dan Cubaan Membunuh Berencana. Jika sabit kesalahan, Raihan berdepan hukuman penjara sehingga 12 tahun.

     Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Bhayangkara Pekanbaru. Laporan perubatan terkini menyatakan Faradilla telah menjalani pembedahan kecemasan dan kini berada dalam keadaan stabil. Dia masih di bawah pemantauan rapi doktor akibat trauma fizikal dan mental yang mendalam.

     Pihak pengurusan UIN Suska Riau dalam satu kenyataan rasmi menyatakan rasa kesal yang amat mendalam atas kejadian tersebut. Pihak universiti menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan di dalam kampus dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Selain itu, pihak fakulti juga sedang mempertimbangkan bantuan kaunseling kepada pelajar lain yang menyaksikan kejadian ngeri tersebut.


Catat Ulasan for "Dendam Cinta Ditolak: Gadis Parah Ditetak Rakan Sendiri"