Kisah Pembunuhan Kejam Salma Ahmed Badr

Salma Ahmed Badr merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang menetap di bandar El-Nouaria, Wilayah Beheira, Mesir. Salma dikenali oleh jiran tetangganya sebagai seorang kanak-kanak yang sangat ceria, pintar dan memiliki raut wajah yang cantik. Kehidupannya bagaimanapun mula berubah selepas bapanya iaitu Ahmed Badr bercerai dengan ibu kandung Salma pada tahun 2023. Salma kemudian ditinggalkan di bawah jagaan bapanya atas faktor tertentu. Pada tahun 2024, Ahmed membuat keputusan untuk berkahwin dengan seorang wanita bernama Amal dengan harapan dapat memberikan suasana keluarga yang lengkap buat Salma.

Walaupun pada awalnya Amal kelihatan seperti seorang ibu tiri yang penyayang. Namun di sebalik tabir, dia memendam perasaan cemburu yang amat mendalam terhadap Salma. Punca utama kebencian tersebut adalah kerana wajah Salma yang sangat seiras dengan bekas isteri suaminya. Amal sering berasa terganggu apabila suaminya memuji kecantikan atau kepintaran Salma yang secara tidak langsung mengingatkan Ahmed kepada masa lalunya. Perasaan cemburu ini lama-kelamaan bertukar menjadi dendam yang berbahaya terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa itu.
Detik hitam berlaku pada 10 Mac 2025 yakni ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Sewaktu Ahmed keluar bekerja, Salma sedang bermain di kawasan tangga di dalam rumah. Amal yang baru turun dari bahagian bumbung telah bertindak menolak Salma sehingga mangsa jatuh terguling di anak tangga marmar. Kesannya, Salma mengalami kecederaan dan mula mengeluarkan darah. Dalam keadaan panik dan didorong oleh rasa benci, Amal bukannya membantu mangsa. Dia sebaliknya bertindak mencekik leher Salma menggunakan tangan kosong sehingga kanak-kanak itu meninggal dunia akibat sesak nafas.

Bagi menyembunyikan jenayah kejam tersebut, Amal memasukkan mayat Salma ke dalam guni buruk. Dia kemudian membawa guni tersebut ke tingkat bumbung lalu membuangnya ke dalam tangki air rumah mereka sebelum menutupnya dengan kepingan kayu bagi mengelakkan bau atau penglihatan jiran. Apabila Ahmed pulang ke rumah, Amal berpura-pura cemas dan mendakwa Salma telah hilang secara misteri ketika sedang bermain di luar. Laporan kehilangan segera dibuat dan operasi mencari dilakukan oleh penduduk kampung namun gagal menemui sebarang jejak.
Pihak Keselamatan Beheira yang diketuai oleh unit siasatan jenayah mula meragui keterangan Amal selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kediaman mereka. Rakaman tersebut mengesahkan bahawa Salma tidak pernah keluar dari rumah pada hari kejadian. Atas dasar kecurigaan itu, pihak polis melakukan pemeriksaan mengejut dan menyeluruh di dalam premis tersebut. Pada 11 Mac 2025, pasukan penyiasat akhirnya menemui guni mengandungi mayat Salma di dalam tangki air. Penemuan ini merobek hati Ahmed dan mengejutkan seluruh rakyat Mesir.

Hasil soal siasat intensif, Amal akhirnya mengaku melakukan pembunuhan terancang tersebut kerana didorong oleh perasaan cemburu yang melampau. Laporan forensik mengesahkan bahawa punca kematian adalah jerutan pada leher yang dilakukan selepas mangsa tercedera akibat jatuh. Berdasarkan undang-undang Mesir, Amal kini berhadapan dengan risiko hukuman paling beratniaitu hukuman mati atau penjara seumur hidup sementara menunggu keputusan muktamad daripada Mahkamah Jenayah.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Salma Ahmed Badr"