Kisah Le Van: Lelaki Vietnam yang Hidup Bersama Mayat Isteri Selama 16 Tahun.

Kisah ini merupakan salah satu rentetan kejadian paling luar biasa dan menyayat hati yang pernah dilaporkan di Vietnam. Ia mengisahkan tentang Le Van, seorang lelaki warga emas dari daerah Thang Binh, wilayah Quang Nam yang cintanya terhadap isteri melampaui sempadan logik dan hukum alam sehingga sanggup hidup bersama mayat selama belasan tahun.
Le Van dan isterinya iaitu Pham Thi Sang berkahwin pada tahun 1975 selepas melalui fasa perkenalan yang manis walaupun dalam keadaan kemiskinan. Pasangan ini menjalani kehidupan yang harmoni dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata. Bagi Le Van, isterinya adalah tunjang kekuatannya. Namun takdir berubah pada tahun 2003 apabila Pham Thi Sang meninggal dunia secara mengejut akibat penyakit berkaitan otak. Kehilangan ini meragut seluruh semangat hidup Le Van hingga menyebabkan dia jatuh ke dalam lembah kesedihan yang sangat dalam.

. Pada mulanya, Le Van menghabiskan masanya dengan tidur di atas kubur isterinya setiap malam tanpa menghiraukan hujan atau panas. Disebabkan berasa bimbang akan kesihatannya, anak-anaknya cuba menghalangnya namun gagal. Kegilaannya semakin memuncak apabila dia mula menggali terowong yang menghubungkan permukaan tanah terus ke keranda isterinya agar dia boleh berada lebih dekat dengan mayat tersebut. Apabila pihak berkuasa serta keluarga mendapat tahu tentang terowong itu dan menimbusnya, Le Van tidak berputus asa. Dia bahkan mula merangka pelan yang lebih ekstrem untuk membawa mayat isterinya itu pulang ke rumah.

. Pada satu malam di bulan November 2004 yakni kira-kira 20 bulan selepas pengebumian, Le Van secara rahsia menggali semula kubur isterinya lalu membawa pulang sisa mayat mendiang. Dia kemudiannya menggunakan kepakaran seninya untuk membentuk semula susuk tubuh isterinya menggunakan simen, pasir dan plaster. Sisa tulang-temulang isterinya diletakkan di dalam patung tersebut. Le Van kemudian memakaikan patung itu pakaian kegemaran isterinya selain mengenakan solekan dan gincu pada wajah patung itu agar kelihatan hidup di matanya.

Le Van tidur bersama patung mayat tersebut di atas katilnya selama lebih 16 tahun. Dia melayan patung itu seolah-olah isterinya masih bernyawa Le Van berbual dengannya selain menukar pakaiannya secara berkala dan membersihkan debu pada wajahnya setiap hari. Walaupun tindakan ini mendapat tentangan hebat daripada anak-anak, jiran dan pihak berkuasa tempatan yang menganggapnya sebagai satu bentuk pencabulan terhadap si mati serta risiko kesihatan, Le Van tetap berkeras. Baginya, itu adalah cara tunggal untuk dia merawat luka di jiwanya.
Kisah ini berakhir pada tahun 2020 apabila Le Van dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah menyesali tindakannya. Dari sudut psikologi, pakar berpendapat Le Van mengalami gangguan stres pasca-trauma (PTSD) dan kegagalan untuk melalui proses berkabung yang normal. Akhirnya selepas kematiannya, penduduk kampung dan ahli keluarga memenuhi permintaan terakhirnya untuk mengebumikan jasadnya bersama patung isterinya tersebut.
Catat Ulasan for "Kisah Le Van: Lelaki Vietnam yang Hidup Bersama Mayat Isteri Selama 16 Tahun."