KISAH KEMATIAN ANEH JOSHUA MADDUX : Lelaki dalam Cerobong Asap

Kehilangan dan penemuan mayat Joshua Maddux merupakan salah satu kes misteri paling dikenali di Amerika Syarikat kerana keadaan penemuan yang tidak selari dengan situasi lazim kematian tidak disengajakan. Remaja berusia 18 tahun dari Woodland Park, Colorado ini hilang pada tahun 2008 dan hanya ditemui tujuh tahun kemudian dalam cerobong sebuah kabin terbiar tidak jauh dari rumahnya.
Joshua Maddux dilahirkan pada tahun 1990 dan membesar sebagai anak bongsu dalam sebuah keluarga yang mempunyai reputasi baik, rapat dan berdisiplin. Dia dikenali sebagai seorang remaja yang sensitif, tenang dan meminati muzik khususnya genre akustik. Masa lapangnya banyak dihabiskan dengan bermain gitar, menulis lagu dan berjalan-jalan seorang diri di kawasan hutan berhampiran rumah, sesuatu yang sering dilakukannya untuk mencari ketenangan. Tidak seperti kebanyakan remaja lain sebaya dengannya, Joshua tidak cenderung ke arah aktiviti sosial secara berlebihan dan tidak mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah, alkohol atau masalah disiplin. Malah rekod akademik dan hubungan sosialnya menunjukkan dia seorang remaja yang stabil, bertanggungjawab dan tersusun. Walaupun keluarganya pernah mengalami kesedihan apabila abangnya iaitu Zachary, meninggal dunia pada beberapa tahun sebelum itu, Joshua tidak menunjukkan perubahan sikap atau tanda kemurungan yang mencurigakan. Keluarganya mengesahkan bahawa Joshua tidak pernah menunjukkan kecenderungan meninggalkan rumah secara tiba-tiba atau membuat keputusan di luar kebiasaan.
![]() |
| Gambar sekadar hiasan |
Pada pagi 8 Mei 2008, Joshua keluar dari rumah selepas memberitahu bapanya bahawa dia ingin berjalan-jalan seketika, sesuatu yang sangat biasa baginya. Dia tidak membawa telefon bimbit, dompet ataupun beg. Apabila hari semakin lewat dan Joshua masih tidak pulang, keluarga mula bimbang. Setelah satu malam berlalu tanpa khabar berita, laporan polis dibuat dan pencarian besar-besaran dilancarkan. Kawasan hutan, laluan pendakian, tasik serta beberapa tempat yang sering dikunjungi Joshua diperiksa berulang kali oleh pihak berkuasa dan sukarelawan. Walau bagaimanapun, usaha pencarian itu tidak menemui apa-apa petunjuk. Akaun bank Joshua kekal tidak disentuh, tiada rekod hospital, tiada saksi, tiada panggilan telefon dan tiada bukti menunjukkan konflik atau pergerakan ke lokasi lain. Pihak berkuasa akhirnya mengklasifikasikan kehilangan itu sebagai kes orang hilang tanpa sebarang petunjuk yang boleh diikuti. Siasatan berlarutan selama bertahun-tahun tetapi tidak menunjukkan sebarang perkembangan baharu akibat ketiadaan bukti konkrit.
Selama tujuh tahun, keluarga Maddux yang terpaksa hidup dalam ketidakpastian terus berharap agar Joshua masih hidup walaupun realitinya tidak menunjukkan ke arah itu. Namun pada Ogos 2015, sebuah penemuan yang tidak dijangka mengubah segala-galanya. Chuck Murphy, pemilik sebuah kabin lama yang sudah lama terbiar memutuskan untuk merobohkan bangunan tersebut kerana sudah tidak lagi digunakan. Kabin itu terletak tidak jauh dari kawasan kediaman Joshua. Ketika kerja-kerja meruntuhkan struktur dilakukan, para pekerja pembinaan menemui rangka manusia di dalam cerobong kabin tersebut. Rangka itu berada dalam kedudukan menegak dengan kepala di bawah seolah-olah individu itu memasuki cerobong dari bahagian atas bumbung. Rangka itu hanya memakai baju-T manakala seluar dan beberapa item lain ditemui di bahagian bawah perapian.

Pemeriksaan forensik kemudian mengesahkan bahawa rangka itu adalah milik Joshua Maddux. Walaupun pengesahan itu menamatkan persoalan mengenai keberadaannya selama tujuh tahun, ia mencetuskan misteri yang jauh lebih besar mengenai bagaimana mayatnya boleh berada dalam struktur yang begitu sempit dan sukar dimasuki. Cerobong itu dianggarkan berukuran kira-kira 20 x 14 inci, ruang yang hampir mustahil dimasuki seorang remaja tanpa menyebabkan kecederaan serius. Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mendapati tiada tanda patah tulang besar yang biasanya berlaku apabila seseorang jatuh atau tersangkut secara paksa dalam ruang sempit.
Lebih mengejutkan, pemilik kabin memaklumkan bahawa bahagian bawah perapian telah ditutup dengan besi dan papan bertahun-tahun sebelum kehilangan Joshua. Ini bermakna sekiranya Joshua benar-benar memasuki cerobong itu dari atas, dia tidak akan berjaya turun ke bahagian bawah kerana laluan itu sudah ditutup sepenuhnya. Kabin itu juga dikunci dengan semua pintu dan tingkap dipaku rapat tanpa tanda ceroboh masuk di tempat lain. Satu lagi perkara yang membingungkan ialah kabin tersebut tidak pernah mengeluarkan bau busuk walaupun mayat berada di dalam cerobong selama bertahun-tahun yakni sesuatu yang sukar dijelaskan secara saintifik.
Analisis forensik turut tidak menemui sebarang tanda serangan fizikal atau luka luaran tetapi keadaan rangka yang telah lama mereput menghadkan sejauh mana bukti boleh diperoleh. Walau bagaimanapun, koroner mengklasifikasikan kematian Joshua sebagai kematian akibat kemalangan dengan menyatakan kemungkinan bahawa Joshua cuba memasuki kabin melalui cerobong tetapi tersepit dan akhirnya meninggal dunia akibat hipotermia atau dehidrasi. Keputusan ini bagaimanapun tidak menjawab persoalan yang timbul daripada keadaan cerobong yang tertutup, pakaian yang tertanggal serta saiz ruang sempit yang tidak konsisten dengan teori kemalangan.
Selepas laporan koroner dikeluarkan, pelbagai teori mula muncul dalam kalangan masyarakat, penyiasat bebas dan pemerhati kes jenayah. Salah satu teori yang sering dibincangkan ialah kemungkinan Joshua menjadi mangsa jenayah. Nama Andrew Andy Newman pernah dikaitkan secara longgar dalam perbincangan awam kerana latar belakang jenayahnya dan hubungan sosial yang dikatakan pernah bersinggungan dengan Joshua. Terdapat dakwaan bahawa Newman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia pernah menyembunyikan seseorang dalam cerobong namun dakwaan itu tidak pernah dapat disahkan secara rasmi. Teori lain pula menyatakan bahawa tubuh Joshua mungkin dimasukkan ke dalam cerobong setelah dia meninggal dunia atau tidak sedarkan diri berdasarkan kedudukan pakaian, sempitnya ruang cerobong serta kenyataan pemilik kabin mengenai bahagian bawah perapian yang ditutup.
Namun tanpa bukti fizikal atau saksi yang menyokong mana-mana teori tersebut, semuanya kekal sebagai spekulasi. Walaupun keluarga Joshua meminta agar siasatan dibuka semula, pihak berkuasa mengekalkan pendirian mereka bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan unsur jenayah. Kes itu akhirnya ditutup sebagai kes kematian tidak disengajakan walaupun banyak fakta tidak dapat dijelaskan. Gambaran apa yang berlaku kepada Joshua boleh ditonton melalui video berikut :


mcm tergantung je ni..adess..lagi laaa..
BalasPadam