Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN JENNIFER DULOS : Ibu yang Hilang

Jennifer bersama lima orang anaknya

    Jennifer Farber Dulos yang dilahirkan pada 27 September 1968 di bandar New York adalah berasal daripada keluarga yang berada. Dia yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang penulisan telah berkahwin dengan seorang ejen hartanah kaya bernama Fotis Dulis pada tahun 2004. Perkahwinan itu berlangsung pada sebulan selepas Fotis bercerai dengan isteri pertamanya. Asal-usul Fotis, dia merupakan berketurunan Turki namun dibesarkan di Athens, Greece. Hasil perkahwinan Fotis dan Jennifer, pasangan tersebut telah dikurniakan seramai lima orang anak iaitu Petros, Theodore, Constantine, Christiane dan Cleopatra Noelle.

    Mula-mulanya, Fotis dan Jennifer hidup dengan begitu bahagia sebelum hubungan tersebut bertukar menjadi toksik. Perkara ini dikatakan berpunca daripada perangai Fotis yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang baik. Dia bukan saja sering bersikap kasar dengan anak-anaknya malah menyerahkan semua urusan kepada Jennifer yang telah mengorbankan segala-gala untuk menjadi seorang seorang suri rumah sepenuh masa. Sampai satu masa, Jennifer tekad untuk bercerai kerana dia sememangnya mampu hidup berdikari tanpa suami di sisi. Lagipun Jennifer menyedari bahawa Fotis ada menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain. Jadi, Jennifer telah memfailkan penceraian pada 20 Jun 2017. Pada masa sama, dia berpindah ke rumah lain dengan membawa sekali kelima-lima orang anaknya.


    Fotis benar-benar berasa marah dengan tuntutan cerai daripada Jennifer. Sewaktu awal proses penceraian, Fotis dan Jennifer telah berkongsi hak penjagaan anak-anak. Pada waktu kemudiannya, Fotis melanggar beberapa peraturan pihak mahkamah sekaligus menyebabkan hak penjagaan anak-anak mereka berpihak kepada Jennifer. Namun Fotis tetap dibenarkan untuk melawat anak-anaknya dengan di bawah pemantauan pihak berwajib. Proses penceraian bagaimanapun tidak berjalan dengan begitu baik memandangkan perbalahan antara Fotis dan Jennifer berlaku secara berlanjutan.

    Hinggalah 24 Mei 2019, Jennifer tiba-tiba dilaporkan hilang. Laporan kehilangan Jennifer itu dibuat oleh rakan baik dan pengasuh anak-anak Jennifer iaitu Lauren Almeida setelah mereka gagal untuk menghubunginya. Kali terakhir Jennifer dilihat adalah pada jam 8.05 pagi di luar rumahnya yakni selepas menghantar anak-anaknya pergi ke sekolah. Menerusi keterangan daripada Lauren, dia mula berasa pelik susulan mendapati kereta Range Rover milik Jennifer ada berada di dalam garaj. Kereta Jennifer yang sepatutnya ada waktu itu adalah Chevrolet Suburban. Hal ini kerana waktu sebelum kejadian, Jennifer telah memberitahu Lauren bahawa dia akan pergi menghadiri temu janjinya bersama doktor dengan menaiki Range Rover.

Fotis Dulos

    Setibanya pihak polis di tempat kejadian, mereka menemui kesan percikan darah di dalam kereta Range Rover, lantai garaj, dinding garaj, pintu garaj dan singki dapur. Berdasarkan pemeriksaan ujian DNA, darah tersebut didapati adalah milik Jennifer dan Fotis. Teori awal di sini, Jennifer berkemungkinan besar telah mati dibunuh. Hasil penelitian kamera litar tertutup daripada rumah jiran Jennifer, kereta Chevrolet Suburban yang dipercayai dipandu oleh Fotis dilihat keluar dari kawasan garaj pada jam sekitar 10.25 pagi. Pukul pukul 7.30 malam, terdapat rakaman yang menunjukkan Fotis bersama seorang wanita telah membuang beberapa plastik sampah di tempat pembuangan sampah. Wanita itu dikenalpasti sebagai Michelle Troconis merangkap teman wanita kepada Fotis. Susulan rakaman tersebut, pihak polis melakukan pemeriksaan di tempat pembuangan sampah berkenaan lalu menemui beberapa bukti penting seperti tuala mandi, seluar dalam, mop dan sarung tangan yang didapati mempunyai kesan DNA Jennifer, Fotis dan Michelle. Tentang Chevrolet Suburban, kereta tersebut telah ditemui di tepi jalan yang berlokasi kira-kira tiga batu dari rumah Jennifer. Sementara itu, usaha pencarian Jennifer terus menemui jalan buntu. Tiada juga sebarang rekod transaksi kredit atau panggilan telefon Jennifer yang dikesan sejak dari hari kejadian.

    Secara teorinya berhubung hari kejadian, Fotis dipercayai keluar dari rumah sebelum kembali pulang dengan menaiki basikal. Fotis kemudian menunggu isterinya itu di dalam garaj. Sebaik Jennifer pulang, tangan dan kakinya telah diikat oleh Fotis lalu dibunuh dengan cara tikaman. Mayat Jennifer seterusnya dimasukkan ke dalam Chevrolet Suburban samada untuk ditanam atau dibuang di sebuah lokasi rahsia. Seperkara yang harus diketahui, Fotis ada meminjam kereta majikannya pada pagi hari kejadian. Berkemungkinan besar, Fotis telah memasukkan mayat Jennifer ke dalam kereta tersebut pada waktu selepas dia meninggalkan kereta Chevrolet Suburban di tepi jalan. Fotis pada akhirnya ditahan atas dakwaan melakukan penculikan dan pembunuhan terhadap Jennifer. Begitu juga dengan Michelle yang didakwa melakukan konspirasi pembunuhan.

Fotis dan Michelle

    Pada 28 Januari 2020, Fotis yang ketika itu sudah diikat jamin telah ditemui oleh pihak berkuasa dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya setelah cuba untuk membunuh diri dengan menghidu gas karbon monoksida. Penemuan tersebut dibuat susulan Fotis gagal untuk menghadirkan diri ke mahkamah untuk proses perbicaraan. Dia dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan gagal tetapi gagal untul diselamatkan. Sebelum membunuh diri, Fotis ada meninggalkan sekeping nota bertulis,

    “Aku enggan untuk menghabiskan masa walau sejam pun dalam penjara untuk perkara yang aku tidak pernah lakukan. Cukuplah.”

    Anak-anak Fotis kini berada dalam jagaan ibu bapa Jennifer sepenuhnya. Cuma apa yang menyedihkan, mayat Jennifer masih lagi gagal untuk ditemui hingga pada hari ini.

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN JENNIFER DULOS : Ibu yang Hilang "