Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH ROBBIE MIDDLETON : Budak Lelaki 8 Tahun yang Dibakar Hidup-hidup

Robbie Middleton sebelum kejadian

    Tarikh 28 Jun 1998 adalah hari membahagiakan untuk Robbie Middleton kerana hari tersebut adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-8 tahun. Robbie sudah pun merancang bagi meraikan hari istimewa itu untuk bermain bunga api sambil berkhemah di halaman belakang rumah bersama dengan seorang rakannya.

    Namun apa yang berlaku kemudian adalah benar-benar menyedihkan di mana pada waktu tengah hari tersebut, Robbie telah diserang di kawasan hutan yakni semasa dia sedang dalam perjalanan menuju ke rumah kawannya. Robbie kemudian diikat pada pokok menggunakan tali sebelum disimbah dengan minyak petrol lalu dibakar hidup-hidup. Robbie bagaimanapun dapat melepaskan diri selepas tali yang digunakan untuk mengikatnya menjadi hancur akibat api. Dalam keadaan badan masih lagi dijilat api, Robbie berjaya juga sampai di rumahnya sambil menjerit meminta pertolongan. 

    Robbie yang masih hidup seterusnya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Akibat insiden kebakaran tersebut, 99% tubuh badan Robbie telah mengalami luka melecur tahap ketiga. Hanya bahagian kedua-dua tapak kakinya saja yang tidak terkena api. 

Robbie Middleton selepas kejadian

    Jadi, siapa yang menyerang Robbie? Penyerangnya dikenalpasti sebagai seorang remaja lelaki berusia 13 tahun iaitu Donald Collins yang juga merupakan seorang pesalahlaku seksual berekod. Donald telah ditangkap tetapi dibebaskan semula kerana pihak pendakwaan kekurangan bukti untuk mendakwanya. Seperkara yang harus diketahui iaitu pada tiga tahun selepas insiden serangan terhadap Robbie, dia ada menyerang secara seksual seorang budak lelaki lain yang berusia 8 tahun. 

    Mengenai Robbie, dia bukan sahaja mengalami trauma berpanjangan malah terpaksa untuk menjalani lebih daripada 200 pembedahan. Pengakhiran hidup Robbie, dia telah meninggal dunia sewaktu berusia 20 tahun disebabkan penyakit kanser kulit yang berpunca daripada luka kebakaran tersebut. Sebelum Robbie meninggal dunia, dia ada membuat satu pengakuan mengejutkan menerusi sebuah rakaman video yang berdurasi selama 27 minit. Rupa-rupanya pada beberapa minggu sebelum Robbie dibakar hidup-hidup, dia telah dirogol oleh Donald di lokasi kejadian yang sama sekaligus menjelaskan motif sebenar serangan. Perkara ini bermaksud, Donald diyakini cuba untuk membunuh Robbie dengan cara kebakaran bagi mengelakkan insiden rogol berkenaan terbongkar. Robbie turut mendedahkan bahawa dia terdengar suara orang dewasa yang sedang berborak dengan Donald pada waktu kejadian. 

Donald Collins

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada tahun 2015, Donald yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun. Paling membuatkan ramai orang geram adalah perangai sombong Donald dengan lagak membaca surat khabar sewaktu perbicaraan.

Catat Ulasan for "KISAH ROBBIE MIDDLETON : Budak Lelaki 8 Tahun yang Dibakar Hidup-hidup "