KISAH REYHANEH JABBARI : Erti Kehormatan Seorang Wanita

     Kes Reyhaneh Jabbari merupakan salah satu kes paling kontroversi dalam sejarah perundangan moden Iran. Kes ini bukan sahaja kerana hukuman mati yang dijatuhkan terhadap seorang wanita muda tetapi juga kerana pelbagai persoalan besar tentang keadilan, penyiasatan yang tidak menyeluruh serta dakwaan mengenai hak asasi manusia yang diabaikan. Reyhaneh, seorang pereka dalaman berusia 19 tahun ketika kejadian telah dihukum gantung pada tahun 2014 atas pertuduhan membunuh seorang bekas pegawai kerajaan bernama Morteza Abdolali Sarbandi.

     Menurut kronologi kejadian, Reyhaneh berjumpa Sarbandi pada tahun 2007 selepas dia menghubunginya untuk urusan berkaitan kerja pengubahsuaian pejabat. Pertemuan itu membawa kepada kejadian yang menjadi titik gelap dalam hidupnya. Menurut pengakuan Reyhaneh, Sarbandi telah membawanya ke sebuah apartmen yang kelihatan tidak berpenghuni dan cuba menyerangnya secara seksual. Dalam keadaan panik dan mempertahankan diri, Reyhaneh menikam Sarbandi sekali dengan pisau kecil yang dia miliki. Walau bagaimanapun, siasatan peringkat awal gagal mempertimbangkan dengan mendalam dakwaan serangan tersebut. Kesimpulan rasmi menyatakan bahawa tikaman Reyhaneh adalah punca kematian mangsa tanpa mengambil kira kenyataan bahawa mangsa mungkin tidak mati serta-merta dan terdapat kemungkinan penglibatan orang lain yakni sesuatu yang ditegaskan oleh Reyhaneh sejak awal.

     Selepas ditahan, Reyhaneh menghadapi tempoh siasatan yang kontroversi dan dilaporkan penuh tekanan. Dia ikatakan digari ke bilik siasatan, dipaksa menjalani soal siasat panjang serta dinafikan akses kepada peguam sepanjang dua bulan awal penahanannya. Menurut laporan, beberapa dakwaan penting yang dibuat oleh Reyhaneh seperti kehadiran lelaki ketiga di tempat kejadian tidak disiasat oleh pihak berkuasa. 

     Pada tahun 2009, Mahkamah Jenayah Tehran menjatuhkan hukuman mati terhadap Reyhaneh di bawah prinsip qisas atau balasan setimpal, suatu bentuk undang-undang yang membenarkan ahli keluarga mangsa menuntut hukuman mati atau memaafkan pelaku. Dalam kes ini, keluarga Sarbandi menolak sebarang bentuk pengampunan sekali gus mengukuhkan keputusan mahkamah untuk melaksanakan hukuman mati. Walaupun pelbagai rayuan dikemukakan oleh peguam serta aktivis hak asasi manusia di Iran, Mahkamah Agung negara itu tetap mengekalkan hukuman tersebut.


     Semasa berada dalam penjara, Reyhaneh kerap menulis surat dan mesej yang kemudian disebarkan kepada dunia luar. Dalam salah satu pesanan suaranya yang paling terkenal yang dirakam untuk ibunya, Reyhaneh berkata dengan penuh ketenangan bahawa dia tidak takut mati. Secara parafrasa, dia menyatakan, “Ibu, aku tidak takut kepada tali gantung. Apa yang lebih menakutkan ialah ketidakadilan yang manusia lakukan. Mereka boleh mengambil nyawaku tetapi itu tidak menjadikan kebohongan ini benar.” 

    Reyhaneh turut berpesan supaya ibunya tidak tunduk kepada kesedihan tetapi sebaliknya bangun memperjuangkan kebenaran. Dalam pesanan tersebut, dia berkata, “Jangan biarkan tubuhku yang sudah tidak bernyawa ini membuat kau rebah. Aku mahu kau berdiri, bukan menangis. Jika aku mati kerana mempertahankan diri, biarlah dunia tahu apa sebenarnya yang berlaku.” 

     Beberapa organisasi hak asasi manusia seperti Amnesty International dan Human Rights Watch menggesa Iran supaya membatalkan hukuman tersebut. Mereka menyatakan bahawa siasatan kes penuh dengan kecacatan prosedur termasuk dakwaan bahawa pengakuan Reyhaneh diperolehi melalui tekanan psikologi. Pelapor khas PBB juga menyuarakan kebimbangan terhadap ketelusan perbicaraan. Namun semua permintaan ini tidak dilayan oleh pihak berkuasa Iran.

     Pada 25 Oktober 2014, hukuman gantung ke atas Reyhaneh Jabbari dilaksanakan di Penjara Raja’i Shahr, Karaj. Sebelum itu, dia sempat bertemu keluarganya selama satu jam dalam suasana penuh emosi. Menurut laporan, pihak penjara tidak memaklumkan lokasi kematiannya dengan jelas sehingga saat akhir, menyebabkan keluarganya terpaksa mencari maklumat sendiri. Selepas eksekusi, pihak berkuasa mengarahkan keluarganya mengambil jenazahnya di sebuah kawasan perkuburan tanpa penjelasan lanjut mengenai keadaan tubuhnya atau prosedur akhir.

Catat Ulasan for "KISAH REYHANEH JABBARI : Erti Kehormatan Seorang Wanita"