Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KENALI HERO ALOM, LELAKI KACAK SUPERSTAR PALING DIGILAI DI BANGLADESH

    Ada satu soalan yang ingin ditujukan kepada pembaca wanita. Apakah definisi kacak pada pandangan anda? Adakah lelaki berkulit cerah atau berkulit hitam manis? Lelaki berbadan sasa? Lelaki berperwatakan peramah dan sopan? Mungkin juga lelaki berpoket tebal?

    Baiklah, siapakah Hero Alom seperti yang ditulis dalam tajuk artikel ini. Hero Alom atau nama sebenarnya Ashraful Alom Saeed merupakan model serta artis media sosial yang bukan saja popular di negara Bangladesh ketika ini bahkan juga mempunyai peminat tersendiri di negara India. Sedikit latarbelakang mengenai Hero Alom, dia pernah bekerja sebagai penjual DVD sebelum aktif membuat muzik video pada sekitar tahun 2015. Sewaktu awal kemunculannya, Hero Alom sering dijadikan sebagai bahan ejekan oleh netizen Bangladesh sendiri. Namun lama-kelamaan, kebanyakan muzik video Hero Alom telah menjadi tular serta pada masa sama semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

    Selepas popularitinya sebagai pempengaruh media sosial kian meningkat, Hero Alom mula menjadi rebutan para penerbit tertentu untuk tampil dalam muzik video dan acara televisyen mereka. Seperkara harus diketahui, Hero Alom yang sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak pernah masuk bertanding dalam Pilihan Raya Bangladesh pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, dia tidak bernasib baik kerana telah tewas dalam pertandingan tersebut.

    Hingga setakat artikel ini ditulis, jumlah pengikut di laman Facebook Hero Alom adalah lebih daripada 775 000 orang manakala akaun siaran Youtube miliknya pula sudah pun mencecah 1.3 juta langganan. Menerusi perkembangan terkini tentang Hero Alom, dia sedang sibuk menyiapkan filem terbitan lakonan dan arahannya sendiri. Berdasarkan laporan media, lagu runut bunyi dalam filem berkenaan adalah nyanyian Ranu Mondal iaitu seorang wanita tua gelandangan bersuara merdu yang pernah tular pada tahun 2019.

Catat Ulasan for "KENALI HERO ALOM, LELAKI KACAK SUPERSTAR PALING DIGILAI DI BANGLADESH "