Kisah Pembunuhan Kejam Kevin Jiang

     Kevin Jiang dilahirkan di Iowa, Amerika Syarikat pada 14 Februari 1994. Dia dibesarkan sebagai seorang anak tunggal yang sangat rapat dengan ibunya. Dikenali sebagai seorang yang taat beragama, berpewatakan ceria serta mempunyai kecemerlangan akademik yang luar biasa, Kevin berjaya meraih ijazah sarjana muda dari University of Washington. Selepas menamatkan pengajiannya, dia sempat berkhidmat dalam tentera darat Amerika Syarikat sebelum memutuskan untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana di Yale University pada tahun 2019.

      Di universiti itulah, dia berkenalan dengan seorang wanita bernama Zion Perry yang ketika itu menuntut di Massachusetts Institute of Technology (MIT). Mereka bertemu dalam satu acara kerohanian Kristian sebelum mendapati diri mereka berkongsi pegangan agama serta nilai hidup yang sama. Hubungan mesra yang terjalin selama kira-kira setahun akhirnya membawa kepada satu ikatan besar. Pada 30 Januari 2021 yakni di tengah-tengah cuaca bersalji ketika mereka sedang menikmati aktiviti mendaki, Kevin melutut melamar Zion. Lamaran tersebut diterima dengan penuh kegembiraan lalu dikongsikan bersama rakan-rakan di media sosial. Namun kebahagiaan itu amat singkat kerana dalam tempoh hanya seminggu selepas ikatan pertunangan itu dimeterai, satu kejadian mengerikan berlaku hingga mengubah segalanya.


     Pada awal tahun 2021 di bandar New Haven, Connecticu dilaporkan berada dalam keadaan tidak selamat berikutan berlakunya beberapa siri tembakan rambang yang menyasarkan kediaman penduduk. Kejadian pertama dicatatkan pada 11 Disember 2020 disusuli oleh beberapa kejadian lain pada Januari dan Februari 2021. Walaupun insiden-insiden ini tidak mencatatkan sebarang kecederaan, siri tembakan tersebut menimbulkan ketakutan yang mendalam di kalangan penduduk setempat termasuk Kevin dan tunangnnya. Pihak polis menghadapi jalan buntu kerana ketiadaan saksi utama mahupun petunjuk kukuh selain daripada penemuan selongsong peluru kaliber .45 dan laporan mengenai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna gelap yang sering dilihat mencurigakan di sekitar kawasan kejadian.

     Kemuncak kejadian berlaku pada malam 6 Februari 2021. Selepas menghabiskan masa meluangkan masa bersama Zion di kediamannya, Kevin dinasihatkan agar segera pulang kerana keadaan keselamatan bandar yang masih belum stabil. Kevin memandu kenderaan Toyota Prius miliknya untuk pulang ke rumah dengan tidak menyangka bahawa itu adalah perjalanan terakhir dalam hidupnya. Kira-kira 15 minit kemudian, panggilan kecemasan 911 diterima daripada seorang penduduk yang mendengar bunyi tembakan dan jeritan kesakitan di sekitar Jalan Lawrence Street.

    Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati Kevin Jiang sudah terbaring tidak bernyawa di tengah jalan dengan kesan lapan das tembakan jarak dekat pada bahagian badan dan kepala. Tidak jauh dari mangsa, kereta Toyota Prius milik Kevin ditemui terparkir dengan enjin dan lampu masih menyala serta kesan kemek pada bahagian belakang. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk sekitar merakamkan detik sebelum kejadian di mana kereta Kevin kelihatan dipotong sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan SUV gelap. Selepas perlanggaran itu, Kevin keluar dari kenderaannya untuk mendekati SUV tersebut sebelum tercetusnya pertengkaran lisan dan bunyi tembakan bertalu-talu yang meragut nyawanya pada usia 26 tahun.

     Polis awalnya menyangka Kevin adalah mangsa terbaharu daripada siri tembakan rambang yang berlaku sebelum itu. Namun cara serangan jarak dekat serta keterangan saksi yang melihat suspek berpakaian serba hitam berdiri lama di sebelah Kevin yang sudah terbaring menimbulkan kecurigaan mendalam. Pihak berkuasa mula merumuskan hipotesis baharu iaitu empat siri tembakan sebelum itu sengaja dilakukan sebagai helah untuk menutup rancangan jahat bagi menjadikan Kevin sebagai sasaran utama pembunuhan bermotifkan peribadi.

     Penyiasatan di New Haven hampir menemui jalan buntu kerana kekurangan maklumat terperinci mengenai SUV gelap tersebut. Walau bagaimanapun, kejayaan kes ini akhirnya bergantung kepada maklumat tidak dijangka daripada polis di bandar jiran, North Haven. Pada malam kejadian yang sama, polis North Haven mengendalikan satu kes pelik di mana sebuah SUV gelap tersangkut di atas landasan kereta api selepas pemandunya dilaporkan tersesat berhampiran kawasan pelupusan sampah.

     Pemandu kenderaan tersebut dikenali sebagai Qinxuan Pan, seorang lelaki berusia 29 tahun. Walaupun rekod lampau Pan bersih serta lesen memandunya sah, nombor pendaftaran pada kenderaan tersebut tidak sepadan dan disyaki kenderaan sewa. Setelah kenderaan itu berjaya dialihkan dengan trak, Pan diarah bermalam di sebuah motel tempatan sementara menunggu urusan selanjutnya. Semasa dalam perjalanan ke motel, Pan bertindak agresif merayu untuk mengambil beg galas hitam, jaket kuning dan beg beli-belah biru miliknya yang tertinggal di dalam kenderaan tersebut.

     Keesokan paginya, pekerja sebuah restoran makanan segera di North Haven melaporkan penemuan beg-beg mencurigakan yang mengandungi sepucuk pistol serta sepuluh kotak peluru. Polis yang menyiasat segera mengecam barang-barang tersebut sebagai milik Qinxuan Pan. Malangnya apabila pihak berkuasa kembali ke motel penginapannya, Pan dan kenderaannya telah melarikan diri.

      Pihak polis meluaskan skop siasatan melalui jejak digital dan mendapati senarai rakan media sosial Qinxuan Pan turut merangkumi Zion Perry. Penemuan ini mengejutkan pihak polis kerana ia membuka dimensi baharu bahawa suspek sebenarnya mengenali tunangan mangsa. Soalan siasat terhadap Zion mengesahkan bahawa Pan pernah menjadi rakan sekampus di MIT dan pernah beberapa kali menghantar mesej peribadi yang cuba mendekatinya tetapi segala bentuk panggilan video atau pertemuan peribadi sentiasa ditolak oleh Zion.

     Siasatan lanjut mendedahkan bahawa sebulan sebelum pembunuhan itu berlaku, Qinxuan Pan secara sistematik telah mengunjungi beberapa pusat pameran kenderaan untuk memandu uji pelbagai jenis SUV. Tarikh-tarikh ujian memandu tersebut dikesan sepadan secara tepat dengan siri lima kejadian penembakan di New Haven. Selepas berbulan-bulan melarikan diri dengan bantuan kewangan keluarganya, jejak pelarian Pan akhirnya berjaya dikesan melalui panggilan telefon ibunya di sebuah rumah tumpangan berhampiran Universiti Alabama. Pada Mei 2021, pihak polis menyerbu lokasi tersebut dan berjaya menahan Qinxuan Pan tanpa sebarang insiden berdarah.

    Sepanjang proses perbicaraan yang panjang, Qinxuan Pan pada mulanya konsisten menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan Kevin Jiang. Namun timbunan bukti forensik yang kukuh termasuk kesan padanan kerosakan fizikal pada kenderaan serta kesan darah mangsa yang ditemui pada pakaian Qinxuan Pan menyukarkannya untuk terus berbohong di mahkamah.

     Pada 28 Februari 2024, Qinxuan Pan akhirnya membuat pengakuan rasmi di hadapan mahkamah bahawa dialah individu yang meragut nyawa Kevin Jiang. Walaupun dia kekal membisu mengenai motif sebenar di sebalik pembunuhan kejam tersebut, pihak pendakwaan sepakat menilai bahawa jenayah itu didorong oleh rasa cemburu yang mendalam terhadap hubungan istimewa antara Kevin dan Zion Perry. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun ke atas Qinxuan Pan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Kevin Jiang "