Kisah Yuzuru Hanyu yang Benar-Benar Menyedihkan

Yuzuru Hanyu merupakan seorang atlet legenda luncur ais berbunga (figure skating) Jepun yang merangkul gelaran juara sukan Olimpik Musim Sejuk berturut-turut. Namun di sebalik kilauan pingat emas itu, popularitinya telah bertukar menjadi sebuah beban emosi yang meruntuhkan kehidupan peribadinya. Kemuncak kepada tekanan ini jelas teruji apabila kisah perkahwinannya terpaksa berakhir hanya selepas 105 hari ikatan dimeterai.
Dilahirkan pada 7 Disember 1994 di Sendai, Prefektur Miyagi, Hanyu dibesarkan dalam keadaan fizikal yang rapuh apabila didiagnosis menderita penyakit asma kronis sejak usianya dua tahun. Demi menguatkan sistem pernafasannya, ibu bapanya memperkenalkan Hanyu kepada sukan luncur ais ketika berumur empat tahun. Walaupun sering terpaksa berhenti di tengah latihan semput menggunakan inhaler, disiplin dan ketahanan mental yang tinggi membawa Hanyu menjulang gelaran juara dunia junior pada usia 15 tahun sebelum mencipta sejarah di Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014 sebagai atlet lelaki Asia pertama memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki. Kejayaan itu diperkukuhkan lagi dengan pingat emas kedua di Olimpik Pyeongchang 2018 serta pencapaian Super Grand Slam.

Namun di sebalik kejayaan gemilang ini, harga yang perlu dibayar oleh Hanyu amat tinggi. Popularitinya di Jepun melahirkan kelompok peminat yang sangat obsesif. Demi melindungi ruang peribadinya, Hanyu mengambil langkah drastik dengan mengamalkan pengasingan penuh di mana dia tidak mempunyai akaun media sosial peribadi, jarang keluar tanpa kawalan ketat dan mengehadkan lingkaran sosialnya hanya kepada keluarga serta pasukan jurulatih. Selepas bersara daripada kejohanan kompetitif pada Julai 2022 untuk menjadi atlet profesional bebas, sorotan media terhadap sisi peribadinya menjadi semakin agresif.

Pada 4 Ogos 2023, Hanyu mengumumkan menerusi bahawa dia telah mendirikan rumahtangga. Pengumuman itu dibuat oleh agensi pengurusannya. Namun dalam kenyataan rasmi tersebut, Hanyu memilih untuk mengunci rapat identiti isterinya yakni tanpa mendedahkan nama, usia atau latar belakang demi melindungi wanita itu daripada kegilaan media. Malangnya, keputusan untuk merahsiakan identiti ini mencetuskan kesan yang sebaliknya. Media tabloid dan paparazi di Jepun melancarkan perburuan maklumat secara besar-besaran. Kediaman Hanyu serta rumah keluarganya di Sendai diintai siang dan malam. Selain itu, jiran tetangga serta bekas rakan sekerja turut diekori dan disoal siasat demi mencari bahan berita.
Tekanan psikologi akibat intaian berterusan, pencerobohan privasi serta fitnah di arena digital membawa kesan buruk kepada kehidupan seharian pasangan tersebut. Isterinya, yang tiba-tiba menjadi mangsa spekulasi liar, kehilangan kebebasan asas sebagai orang biasa dan terpaksa mengurung diri di dalam rumah selama berminggu-minggu kerana bimbang diekori jurugambar. Menyedari keadaan yang semakin tidak terkendali dan mengancam keselamatan serta kesejahteraan mental isterinya, Hanyu mengambil satu keputusan yang amat menyayat hati.

Tepat pada 17 November 2023, selepas 105 hari bergelar suami isteri, Hanyu mengumumkan penceraian mereka secara rasmi. Berbeza dengan retak rumahtangga selebriti biasa, dia secara terbuka mendedahkan bahawa tindakan pengintaian, pencerobohan privasi dan gangguan melampau daripada pihak media serta segelintir peminat adalah punca tunggal perpisahan tersebut. Keputusan berat ini dibuat semata-mata demi membolehkan bekas isterinya bebas daripada bayang-bayang popularitinya dan kembali menikmati kehidupan yang tenang.
Catat Ulasan for "Kisah Yuzuru Hanyu yang Benar-Benar Menyedihkan"