Kisah Tomasz Komenda yang Benar-Benar Menyedihkan

Dilahirkan pada tahun 1976 di Wroclaw, Poland, kehidupan Tomasz Komenda pada mulanya berjalan seperti pemuda biasa yang bekerja sebagai pencuci kereta. Namun pada ambang Tahun Baru 1999 hingga 2000, takdir hidupnya berubah secara drastik apabila dia diheret ke dalam kancah mimpi ngeri yang berlarutan selama hampir dua dekad akibat salah satu kesilapan kehakiman.
Segalanya bermula dengan pembunuhan kejam seorang gadis remaja berusia 15 tahun bernama Malgorzata K. di sebuah disko di Jelcz-Laskowice di mana mangsa telah diculik, dirogol dan ditinggalkan dalam keadaan sejuk beku hingga mati. Kes tersebut mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat Poland yabg mendesak pihak berkuasa agar segera mencari pelaku. Di sinilah kepincangan bermula. Pihak polis dan pendakwaan yang buntu menghadapi tekanan awam yang hebat telah menjadikan Komenda sebagai sasaran mudah. Biarpun Komenda mempunyai alibi yang kukuh disokong oleh keterangan sekurang-kurangnya 12 orang saksi termasuk ahli keluarganya yang mengesahkan dia berada di rumah pada malam kejadian, pihak berkuasa tetap menolak bukti tersebut demi menutup kes.

Faktor utama Komenda dituduh berpunca daripada gabungan siasatan yang cacat dan manipulasi bukti. Selepas kes itu berlaku, pihak polis mengeluarkan lukisan pelan induk wajah suspek berdasarkan keterangan saksi. Seorang individu kemudian mendakwa wajah itu menyerupai jiran mereka iaitu Komenda. Pihak berkuasa kemudiannya menggunakan kaedah forensik yang meragukan seperti cap gigian, sehelai rambut serta ujian bau menggunakan anjing pengesan yang kini diiktiraf sebagai tidak saintifik dan mudah tercemar. Lebih memburukkan keadaan yakni semasa disoal siasat di dalam lokap, Komenda telah dipukul, diugut dan diseksa secara mental oleh pegawai penyiasat hingga terpaksa membuat pengakuan palsu akibat tidak tahan menanggung penderaan tersebut walaupun pengakuan itu ditarik semula.
Akibat manipulasi bukti dan tekanan pihak pendakwaan, pada tahun 2004 Mahkamah mendapati Komenda bersalah atas pertuduhan merogol dan membunuh lantas menjatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun. Tempoh 18 tahun berikutnya di sebalik tembok penjara merupakan satu penyeksaan fizikal dan mental yang melampau. Disebabkan stigma kes rogol dan bunuh terhadap remaja dianggap sebagai jenayah paling jijik di dalam kalangan banduan, Komenda menjadi mangsa penderaan yang kejam setiap hari hingga beberapa kali cuba membunuh diri akibat tekanan jiwa yang meruncing. Di luar tembok penjara, hanya ibunya, Teresa Klepacz dan beberapa ahli keluarga yang tidak pernah reda mempercayai kejujurannya terus berjuang tanpa kenal penat lelah menuntut keadilan bagi membersihkan nama anak mereka.

Sinar keadilan akhirnya mula menyinar pada tahun 2016 apabila tekanan konsisten daripada keluarga dan barisan peguam baharu mendesak siasatan semula dilakukan secara telus. Menggunakan teknologi analisis DNA moden yang lebih maju, satu kemudahan yang diabaikan sewaktu perbicaraan asal, pihak pendakwaan mendapati bahawa profil DNA yang tertinggal pada tubuh mangsa langsung tidak sepadan dengan Komenda. Profil DNA itu sebaliknya menunjuk kepada pelaku sebenar iaitu Dachil P. dan Ireneusz M. Berikutan penemuan mutlak ini, pada Mac 2018, Mahkamah Agung Poland secara rasmi membatalkan sabitan kesalahan tersebut dan membebaskan Komenda selepas 18 tahun diseksa atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya.

Meskipun kerajaan Poland kemudiannya memerintahkan pembayaran pampasan sebanyak hampir 13 juta zloty (sekitar RM13.97 juta) pada tahun 2021, wang itu tidak mampu menebus masa muda yang diragut mahupun menyembuhkan luka trauma yang mendalam. Penderitaan bertahun-tahun di dalam penjara telah memusnahkan sistem imunisasi dan kesihatan mentalnya. Menyedihkan tidak lama selepas menikmati kebebasan, Komenda disahkan menghidap kanser paru-paru tahap akhir dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 21 Februari 2024 pada usia 46 tahun tanpa sempat menikmati separuh daripada baki usianya dalam kedamaian. Kisah hidupnya diabadikan menerusi filem biografi popular, 25 lat niewinnosci. Tonton trailer di bawah:
Catat Ulasan for "Kisah Tomasz Komenda yang Benar-Benar Menyedihkan"