KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JENJIRA PLOYANGUNSRI

Pada Januari 1998, Thailand dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam seorang penuntut perubatan iaitu Jenjira Ployangunsri yang ditembak dan dikerat oleh teman lelakinya sendiri sebelum cebisan mayatnya dibuang ke dalam tangki septik pangsapuri bagi melupuskan bukti. Berdepan jalan buntu tanpa mayat yang sempurna, pihak penyiasat telah merintis sejarah baharu dalam bidang kriminologi negara itu dengan menggunakan teknologi analisis DNA buat pertama kalinya.
Mangsa, Jenjira Ployangunsri yang berusia 23 tahun merupakan seorang penuntut tahun akhir jurusan perubatan di sebuah universiti berprestij di Bangkok. Dia dikenali sebagai seorang penuntut yang berdedikasi dan mempunyai masa depan yang cerah. Malangnya, kehidupan mudanya berakhir secara tragis di tangan teman lelakinya sendiri, Serm Sakhonrat yang ketika itu merupakan seorang pelajar perubatan tahun kedua dari institusi pengajian berasingan. Hubungan sulit antara kedua-dua penuntut pintar ini dipenuhu dengan konflik peribadi dan perasaan cemburu yang mendalam yang akhirnya memuncak menjadi satu malapetaka apabila Jenjira dilaporkan hilang secara misteri selepas keluar bersama Serm.

Siasatan polis bermula selepas keluarga Jenjira membuat laporan kehilangan kerana dia gagal pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi. Penyelidikan awal membawa pihak berkuasa kepada Serm sebagai individu terakhir yang dilihat bersama mangsa. Ketika disoal siasat, Serm pada mulanya cuba mempertahankan diri dengan memberikan pelbagai alasan serta kenyataan palsu bagi memesongkan arah siasatan polis. Namun hasil pemeriksaan teliti di pangsapuri milik Serm di kawasan Phaholyothin, Bangkok mendedahkan petunjuk-petunjuk fizikal yang amat mencurigakan sekali gus meruntuhkan alibi yang dibina oleh Serm.
Siasatan mendapati bahawa di dalam ruang pangsapuri tersebut, satu pertengkaran sengit telah tercetus antara pasangan itu. Didorong oleh kemarahan dan cemburu, Serm telah menembak mati Jenjira menggunakan senjata api. Menyedari perbuatan jahatnya itu bakal membongkar masa depannya, Serm mengambil langkah drastik yang amat kejam untuk melupuskan bahan bukti. Serm telah menggunakan peralatan tajam untuk mengerat tubuh Jenjira kepada beberapa bahagian kecil. Sebahagian besar cebisan daging, tisu dan organ dalaman Jenjira kemudiannya dibuang melalui sistem tandas serta disalurkan ke dalam tangki septik bangunan pangsapuri tersebut manakala sebahagian lagi dibuang di lokasi berasingan di wilayah berhampiran.

Ketiadaan mayat yang sempurna pada mulanya membuntu pihak pendakwaan kerana dalam sistem perundangan konvensional, membuktikan kes pembunuhan tanpa penemuan mayat yang sempurna adalah amat sukar. Di sinilah detik penting dalam sejarah perundangan Thailand tercipta. Pasukan penyiasat bersama pakar patologi forensik telah menjalankan operasi pemeriksaan dan pengepaman menyeluruh pada sistem tangki septik pangsapuri tersebut. Mereka berjaya menemui cebisan tisu, organ dan serpihan tengkorak yang tertinggal. Buat pertama kalinya dalam sejarah jenayah Thailand, teknologi analisis asid deoksiribonukleik (DNA) digunakan secara saintifik untuk memadankan cebisan tisu tersebut dengan sampel darah ibu bapa mangsa sekali gus membuktikan secara mutlak bahawa cebisan itu adalah milik Jenjira.

Berdepan dengan longgokan bukti saintifik yang tidak dapat disangkal lagi, Serm akhirnya mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh, melupuskan mayat dengan cara mengerat serta memiliki senjata api secara haram. Mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Serm akibat perbuatan kejam yang dilakukannya di luar batas kemanusiaan. Walau bagaimanapun, hukuman tersebut kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup berikutan pengakuan bersalah yang diberikan semasa perbicaraan yang membantu melancarkan proses mahkamah. Selepas menjalani hukuman penjara bertahun-tahun serta menunjukkan kelakuan yang baik, Serm dilaporkan telah dibebaskan menerusi pengampunan diraja. Selain itu, dia dilaporkan sempat menyambung pengajian serta berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Terbuka Sukhothai Thammathirat. Permohonannya untuk berdaftar sebagai pengamal undang-undang (peguam) bagaimanapun kemudiannya ditolak pihak berkuasa badan peguam Thailand berikutan latar belakang jenayahnya.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JENJIRA PLOYANGUNSRI"