Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH ALI ABULABAN : Pembunuh Psiko Dari Tiktok

Ali dan Ana Abulaban

    Sejauh manakah kepercayaan anda apabila melihat pasangan kekasih atau suami isteri itu mempamerkan kebahagiaan mereka di laman media sosial. Adakah anda benar-benar percaya mereka sedang bahagia atau semua itu hanya satu kepalsuan semata-mata untuk menutup keretakan hubungan yang sedang dialami.

    Pada bulan Oktober lepas, pengguna laman media sosial dikejutkan dengan berita pembunuhan seorang wanita bernama Ana Abulaban (28 tahun) yang telah mati dibunuh secara kejam oleh suaminya sendiri iaitu Ali Abulaban (29 tahun). Sebelum ini, pasangan tersebut sering memuatnaik video di laman aplikasi Tiktok yang menunjukkan kemesraan serta kebahagiaan mereka berdua sebagai pasangan suami isteri. Jadi, bagaimana perkara ini boleh terjadi?

    Ali Abulaban merupakan seorang pengguna Tiktok popular yang mempunyai hampir sejuta orang pengikut. Kebanyakan video Tiktok dimuatnaik oleh Ali dengan menggunakan nama @jinkidd itu adalah video aksinya yang kelakar. Ali juga gemar untuk berpenampilan seperti Tony Montana yakni watak daripada filem Scarface tahun 2003. Selain itu, Ana adakalanya akan muncul bersama dalam video Tiktok Ali. Setakat artikel ini ditulis, Ana atau nama Tiktoknya @anamacewindu telah diikuti oleh lebih daripada 38 000 orang pengikut. Seperkara harus diketahui, Ali dan Ana mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 5 tahun. Apa yang pasti dalam video Tiktok Ana, dia dilihat sebagai seorang ibu yang benar-benar penyayang.

    Hubungan Ali dan Ana dikatakan mula berantakan sejak beberapa bulan lalu selepas mereka berdua berpindah ke San Diego, Amerika Syarikat. Menurut dakwaan sepupu lelaki Ali bernama Louie Marinari, Ali mula menjadi seorang suami yang begitu mengongkong dan cemburu tidak bertempat. Dia akan naik melenting apabila Ana keluar dengan rakan-rakannya. Ali bertindak untuk mengawal hampir semua perkara dalam hidup Ana. Bulan September 2021, Ana membuat laporan polis kerana mendakwa dikasari oleh Ali. Pada tarikh 18 Oktober 2021, Ali terpaksa keluar dari apartment susulan perintah perlindungan serta penceraian yang Ana telah failkan. Tidak lama selepas itu, Ali cuba untuk berhubung dengan Ana menerusi teks mesej dan juga panggilan telefon tetapi tidak dilayan sama sekali.

Rayburn Barron

    Pada 21 Oktober 2021, Ali yang masih berasa tidak berpuas hati kemudian menyelinap masuk ke dalam apartment Ana menggunakan kunci pendua rahsia yang dia miliki. Sesudah memasuki apartment berkenaan, Ali telah memasang sebuah aplikasi pengintipan suara pada Ipad milik anaknya. Maka pada petang hari tersebut, Ali yang tinggal di hotel ada mendengar suara isterinya sedang berborak mesra dengan seorang lelaki tidak dikenali. Mendengar perbualan itu, Ali menjadi sakit hati lalu bergegas keluar dari hotel untuk menuju ke apartment Ana. Setibanya di lokasi, Ali mendapati Ana sedang bersama seorang rakan lelakinya yang dikenali sebagai Rayburn Cadenas Barron (29 tahun). Entah apa yang merasuki Ali, dia telah bertindak untuk menembak mati Ana dan Rayburn dengan menggunakan pistol. Rayburn ditembak sebanyak tiga kali das tembakan pada bahagian dagu, leher dan belakang kepala. Tembakan terhadap Ana pula tepat mengenai bahagian dahinya.

    Sejurus selepas pembunuhan kejam tersebut, Ali yang melarikan diri dari lokasi kejadian telah membuat pengakuan tentang perkara itu kepada ibunya menerusi panggilan telefon. Ali sempat untuk menjemput anaknya pulang dari sekolah sebelum menelefon pihak polis untuk menyerah diri. Sewaktu proses perbicaraan di mahkamah, Ali yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Ana dilaporkan telah menyesali perbuatannya. Ali kini masih berada dalam penjara tanpa dibenarkan untuk diikat jamin serta pada masa sama dilarang berhubung dengan anak perempuannya. Kes dijangka akan kembali bersidang di mahkamah pada bulan Januari tahun depan.

Catat Ulasan for "KISAH ALI ABULABAN : Pembunuh Psiko Dari Tiktok"