Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH HE & DAI : Penipuan Maut


    Kisah yang agak menyedihkan ini berlaku pada tahun 2018 bertempat di daerah Xinhua, Hunan, China. Ada sepasang suami isteri muda yang dikenali sebagai He dan Dai. He berusia 34 tahun manakala Dai pula 31 tahun. Pasangan daripada keluarga sederhana itu memiliki dua orang anak yakni seorang lelaki (4 tahun) dan seorang perempuan (3 tahun).  

    Diringkaskan cerita, kehidupan He dan Dai terus berubah selepas anak perempuan kesayangan mereka telah disahkan mengidap penyakit epilepsi. Betapa sukarnya He dan Dai menerima kenyataan tersebut lebih-lebih lagi setelah mendapat tahu tentang kos rawatan dan ubatan penyakit berkenaan yang begitu mahal. Namun hati ibu bapa mana saja yang tidak gusar apabila memikirkan kesihatan anak-anak. 


    Bagi membiayai kos rawatan penyakit anak perempuannya itu, He yang tidak senang duduk akhirnya telah membuat pinjaman wang sebanyak 100 000 yuan (RM 66 000) tanpa pengetahuan isterinya. Apa yang pasti, bayaran ansuran bulanan untuk jumlah keseluruhan pinjaman tersebut adalah di luar tahap kemampuan kewangan He dan Dai. 

    Hinggalah pada awal bulan September, He tiba-tiba menghilang secara misteri. Puas pihak polis melakukan pencarian di serata tempat tetapi tetap gagal untuk menemui sebarang petunjuk. 12 hari selepas kehilangan He, pihak polis telah menemui sebuah kereta yang tenggelam di dalam sebatang sungai. Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu adalah kereta yang disewa oleh He pada waktu waktu sebelum dia dilaporkan hilang. Walaupun tiada sebarang jasad manusia ditemui, pihak polis mempercayai bahawa He berkemungkinan besar telah pun mati lemas. 

    Tatkala masih bersedih dengan kehilangan He, Dai dikejutkan pula surat penagihan hutang pinjaman yang pernah dibuat oleh suaminya. Dalam erti kata lain, Dai harus membayar ansuran pinjaman wang tersebut. Bergelar janda dan ibu tunggal kepada dua orang anak bukan perkara yang mudah untuk Dai. Ditambah lagi dengan masalah hutang, Dai ternyata menjadi semakin buntu memikirkan masa depan diri dan anak-anaknya. Keluarga He? Mereka ternyata lepas tangan dalam isu hutang He. 


    Lama-kelamaan, Dai pun mengalami kemurungan. Tiga minggu selepas pengumuman kematian He tanpa jasad, Dai tekad untuk membunuh diri bersama dua orang anaknya. Sebelum berbuat sedemikian, dia sempat untuk meninggalkan pesanan terakhir yang ditulis melalui status Wechat. Tulis Dai, dia yang sudah terlalu merindui He berharap mereka sekeluarga akan dapat berkumpul di alam kematian. Status itu seterusnya tersebar lalu menjadi tular. 

    Pada 11 Oktober, mayat Dai dan bersama dua orang anaknya telah ditemui lemas di dalam sebuah tasik yang berdekatan dengan rumah mereka. Sehari berikutnya, ada seorang lelaki telah pergi menyerah diri kepada pihak polis susulan mendengar berita mengenai penemuan mayat Dai dan anak-anaknya. Tanpa disangka, lelaki tersebut rupa-rupanya adalah He yang sebenarnya masih hidup. Perkara ini bermaksud, dia sebelum itu hidup dalam persembunyian.

    Hasil siasatan yang pihak polis jalankan, He membuat pengakuan bahawa dia memalsukan kematiannya adalah untuk mendapatkan wang insurans yang dibelinya pada waktu sebelum dia  menyembunyikan diri. Pembelian insurans hayat berjumlah 1 juta yuan (RM600 000) itu dibuat He dengan menamakan Dai sebagai waris penerima. He berniat untuk menghubungi Dai sebaik saja wang insurans tersebut diterima oleh isterinya. Wang itu boleh digunakan untuk membayar hutang serta pada masa sama menyelesaikan semua masalah berkenaan dengan kewangan yang mereka alami. Walau bagaimanapun, satu-satunya kesilapan terbesar yang dibuat oleh He adalah dia tidak pernah memberitahu soal rancangan tersebut kepada Dai. 

He menangis teresak-esak

    He berasa sangat menyesal atas pembohongannya yang telah menyebabkan dia kehilangan isteri dan anak-anaknya pada masa serentak. He sendiri tidak kesudahan rancangannya menjadi sadis sebegitu. Nasi bagaimanapun sudah menjadi bubur. Tidak jelas samada He ada menerima pertuduhan atau sebaliknya. Menurut seorang peguam dari Beijing, proses untuk mendakwa He  mengalami kesukaran kerana sukar untuk mengaitkan pembohongannya dengan kematian Dai.

Catat Ulasan for "KISAH HE & DAI : Penipuan Maut"