Kisah Pembunuhan Kejam Azzah Hamada

Azzah Hamada bukanlah nama asing di wilayah Sharkia, Mesir. Dia ialah seorang wanita yang jiwanya terikat pada Al-Quran. Setiap hari, suara Azzah mengalunkan ayat suci semasa mengajar anak-anak kampung hingga menjadikannya antara wanita yang dihormati di mata penduduk. Pada awal 2018, dia menerima lamaran Islam Muhammad, seorang tukang kayu yang sering merantau ke Kaherah dan Iskandariah demi mencari rezeki. Perkahwinan mereka pada mulanya nampak sempurna. Malah bapa Azzah, Hamada telah menganggap Islam seperti anak kandungnya sendiri. Kehadiran bayi lelaki bernama Ahmed pada akhir 2019 sepatutnya mengukuhkan lagi ikatan itu. Namun di sebalik dinding rumah keluarga Islam yang sesak, tersimpan satu rahsia hitam.

Segalanya berubah pada 15 Mei 2021. Azzah secara tidak sengaja telah menyaksikan satu perbuatan yang menghancurkan dunianya. Dia mendapati suaminya, Islam sedang melakukan hubungan seksual dengan Sarah iaitu isteri kepada abang kandung Islam sendiri. Pengkhianatan ini bukan sahaja melibatkan zina tetapi juga pengkhianatan terhadap darah daging sendiri. Azzah kemudian mendapati bahawa ibu mentuanya yang bernama Fatma sebenarnya sudah lama mengetahui hubungan sumbang itu. Fatma sengaja memilih Azzah sebagai menantu, seorang gadis yang dianggap lurus dan berakhlak tinggi dengan harapan Azzah akan menjadi topeng untuk menutup skandal tersebut dan menjaga nama baik keluarga di kampung.
Azzah tidak mendiamkan diri. Dia berjaya merakam perbuatan zina tersebut di dalam telefon bimbitnya pada 15 dan 17 Mei sebagai bukti. Azzah memberi kata dua kepada Islam, "Ceraikan aku atau rahsia ini akan terbongkar kepada semua orang." Ketakutan akan aib, Islam mula bertindak agresif. Pada 27 Jun 2021, Islam merampas telefon bimbit Azzah lalu memusnahkannya secara fizikal bagi menghapuskan bukti rakaman video tersebut. Islam juga mengambil kad SIM Azzah dan meletakkannya dalam telefonnya sendiri supaya dia dapat mengawal setiap panggilan yang masuk ke telefon isterinya sekali gus memencilkan Azzah daripada dunia luar.

Islam menyedari bahawa selagi Azzah bernyawa, rahsianya tidak akan selamat. Dia memilih 29 Julai 2021 sebagai tarikh pembunuhan kerana pada hari tersebut, terdapat majlis perkahwinan besar di kampung yang dihadiri hampir semua penduduk. Kira-kira jam 8:00 malam, Islam menyuruh Azzah keluar sendirian untuk membeli buah-buahan di sebuah kedai berhampiran terusan air. Islam kemudian mengekori isterinya dalam diam. Di kawasan yang sunyi berhampiran tebing terusan, Islam menyerang Azzah dengan pukulan yang sangat kuat di wajah. Pukulan itu menyebabkan tulang hidung Azzah patah dan mangsa jatuh pengsan. Tanpa belas kasihan, Islam mengangkat tubuh isterinya dan mencampakkannya ke dalam air yang dalam agar punca kematian nampak seperti lemas akibat kemalangan.
Selepas melakukan pembunuhan, Islam bersandiwara dengan menunggu di kafe dan mengetuai operasi mencari Azzah selama tiga hari bagi menutup jenayahnya. Namun apabila mayat ditemui pada 31 Julai, laporan forensik mendedahkan keretakan pada hidung mangsa yang membuktikan adanya trauma sebelum lemas. Kecurigaan semakin memuncak apabila telinga Azzah ditemui terkoyak yang kemudiannya disahkan berpunca daripada tindakan kejam seorang pencuri yang merentap anting-anting emas daripada mayatnya. Kehilangan telefon bimbit Azzah yang didakwa rosak oleh Islam akhirnya menjadi petunjuk utama buat pegawai penyiasat untuk meruntuhkan lakonan suspek dan membongkar kebenaran.

Selepas diasak dengan pelbagai bukti dan percanggahan kenyataan, Islam akhirnya tewas sebelum membuat pengakuan penuh pada 10 Ogos 2021. Dia mengakui membunuh Azzah demi menyelamatkan maruah keluarganya daripada terbongkar. Kes ini diakhiri dengan tuntutan hukuman mati di bawah Perkara 233 Kanun Keseksaan Mesir kerana ia merupakan pembunuhan terancang. Penduduk Sharkia berhimpun memberi penghormatan terakhir kepada Azzah dalam satu majlis pengebumian yang dianggap antara yang terbesar dalam sejarah wilayah tersebut. Azzah pergi sebagai syahidah yang mempertahankan maruah dan kebenaran sehingga nafas terakhir.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Azzah Hamada"