Kisah Kecantikan Yang Membawa Maut

Kisah ini bermula dengan seorang gadis remaja bernama Ee Bo-wen yang memiliki rupa paras yang sangat menawan. Pada usia 14 tahun, kecantikannya telah menarik perhatian pencari bakat hingga dia terpilih untuk membintangi iklan syampu sekali gus menjadikannya cukup dikenali di kawasan Tuen Mun. Dia bukan sahaja cantik malah merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolah katolik tempatan dan memegang jawatan sebagai pengerusi persatuan bahasa. Walau bagaimanapun, masa depan cerah yang diimpikannya mula hancur berkecai apabila dia mengenali seorang pemuda bernama Cheung Wai-man di sebuah pusat karaoke.
Cheung Wai-man merupakan seorang lelaki mempunyai latar belakang bermasalah yang sering terlibat dengan gejala sosial dan mempunyai panas baranmelampau. Hubungan mereka bermula dengan cara yang sadis apabila Cheung mengambil kesempatan terhadap Bo-wen yang masih mentah. Dek kerana rasa takut dan keliru, Bo-wen tidak melaporkan kejadian tersebut kepada polis. Dia sebaliknya terperangkap dalam hubungan cinta yang toksik. Pada usia 15 tahun, Bo-wen disahkan hamil. Disebabkan faktor kesihatan dan umur yang terlalu muda, doktor menasihatinya agar tidak menggugurkan kandungan. Akhirnya pada tahun 1995, dia melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Ee Wing-yu.
Demi menjaga anaknya, Bo-wen terpaksa mengorbankan impiannya untuk ke universiti walaupun memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Dia mula tinggal bersama Cheung di sebuah flet di Tuen Mun. Namun kehidupan domestik mereka jauh daripada bahagia. Cheung yang tidak bekerja sering melakukan keganasan fizikal terhadap Bo-wen. Tekanan hidup dan penderaan yang berterusan menyebabkan Bo-wen mula mencari kebahagiaan di luar dengan menjalin hubungan sulit bersama lelaki lain termasuk seorang anggota bomba. Perubahan sikap Bo-wen ini akhirnya dikesan oleh Cheung yang membawa kepada pertengkaran maut pada pagi 10 Februari 1999.

Dalam pertengkaran tersebut, Cheung yang berang telah menyerang Bo-wen. Cuma kali ini, Bo-wen tidak lagi berdiam diri. Dia membalas serangan tersebut dengan menggunakan apa sahaja objek yang ada di sekelilingnya seperti pisau, tukul dan kerusi lipat. Dalam keadaan amuk dan dendam yang terpendam bertahun-tahun, Bo-wen telah mencederakan Cheung sehingga lelaki itu rebah. Apa yang lebih menyedihkan, kejadian ngeri ini disaksikan sepenuhnya oleh anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun melalui celah pintu bilik air. Cheung akhirnya meninggal dunia akibat kehilangan darah yang terlalu banyak.

Panik dengan mayat yang berada di hadapannya, Bo-wen cuba menyembunyikan bukti. Dia membeli berbungkus-bungkus garam dapur dengan niat untuk mengawet mayat tersebut bagi mengelakkan bau busuk. Disebabkan fizikal Cheung yang besar tidak muat dimasukkan ke dalam peti besi yang disediakan, Bo-wen bertindak kejam dengan memotong bahagian kaki dan tangan mangsa untuk dimuatkan ke dalam peti tersebut sebelum menimbusnya dengan timbunan garam. Misteri ini akhirnya terbongkar pada hari kekasih, 14 Februari 1999 apabila rakan mangsa yang curiga dengan bau busuk dari rumah tersebut melaporkan kepada pihak polis.
![]() |
| Wing-Yu |
Di mahkamah, Bo-wen mendakwa tindakannya adalah sebagai mempertahankan diri daripada penderaan berterusan. Dia akhirnya didapati bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat dan pengurusan mayat secara tidak sah dengan hukuman penjara selama 10 tahun. Kejadian ini tidak berakhir di situ. Anak perempuannya, Wing-yu membesar dalam keadaan trauma yang mendalam selepas menyaksikan pembunuhan bapanya di tangan ibunya sendiri. Wing-yu kemudiannya terjebak dalam kancah dadah dan dipenjarakan pada tahun 2015 yakni mengulangi kitaran nasib malang ibunya. Hingga kini, Bo-wen dilaporkan enggan mengakui atau bertemu semula dengan anaknya selepas mereka berdua dibebaskan dari penjara.

Catat Ulasan for "Kisah Kecantikan Yang Membawa Maut"