Kisah 'Black Widow' Maghribi

Kisah jenayah yang berlaku di Maghribi ini berpusat di sebuah kediaman teres yang kelihatan biasa di kejiranan Wed Al-M, bandar Martil. Di sana, tinggal sebuah keluarga yang kelihatan bahagia. Azus, seorang lelaki berbudi bahasa yang membina kerjaya sebagai kontraktor dan penghias dalaman yang berjaya hidup bersama isterinya, Radia selama lebih 33 tahun. Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Sharif, Buthina dan Siame. Namun di sebalik topeng keluarga bahagia ini, tersirat sebuah rancangan jahat yang sangat teliti, berdarah dan penuh dengan manipulasi psikologi yang sangat dahsyat.

Segalanya bermula pada 12 Mac 2012 apabila Azus dilaporkan hilang secara misteri. Radia dengan penuh kedinginan membina satu naratif palsu yang sangat meyakinkan pihak berkuasa di mana dia mendakwa seorang lelaki tidak dikenali telah datang ke rumah mereka menaiki sebuah kereta lalu Azus keluar bertemu lelaki tersebut dan tidak pernah kembali. Bagi memastikan sandiwaranya tidak dicabar, Radia bertindak nekad muncul dalam rancangan televisyen pencarian orang hilang paling popular di Maghribi, Mafu Dein pada tahun 2014. Di hadapan jutaan penonton, dia menangis teresak-esak sambil merayu agar suaminya pulang menggambarkan dirinya sebagai isteri yang menderita dan setia sehingga ramai pihak bersimpati dengan nasibnya tanpa menyedari jasad suaminya berada hanya beberapa meter di bawah lantai garaj rumahnya sendiri.
Keadaan menjadi semakin gelap apabila enam tahun kemudian yakni pada tahun 2018, anak sulung mereka, Sharif, pula dilaporkan hilang. Sharif merupakan individu yang mengambil alih perniagaan bapanya dan menjadi tonggak kewangan keluarga. Apabila jiran tetangga mula bertanya tentang ketiadaan Sharif, Radia menipu dengan memberikan jawapan yang sering berubah-ubah. Sekejap dia mendakwa Sharif berada di Algeria, kemudian di Libya dan kadangkala di Sepanyol untuk urusan kerja. Hakikatnya, Sharif telah dibunuh oleh tangan ibunya sendiri dan ditanam tepat di atas mayat bapanya. Sharif dipercayai menjadi mangsa kerana dia mula mengesyaki kebenaran di sebalik kehilangan bapanya atau menjadi penghalang kepada keinginan Radia untuk menguasai kewangan keluarga sepenuhnya.

Kekejaman Radia tidak terhenti di situ. Pada tahun 2021, anak perempuannya, Buthina meninggal dunia akibat keracunan. Radia dengan licik mendakwa Buthina membunuh diri akibat kemurungan selepas diceraikan oleh suaminya. Walau bagaimanapun, kebenaran mula timbul apabila suami Buthina menafikan sekeras-kerasnya dakwaan perceraian tersebut sekali gus menguatkan syak wasangka bahawa Buthina adalah mangsa ketiga yang dilenyapkan demi kepentingan kewangan atau insurans.
Sepanjang tempoh 11 tahun bagi Azus dan 5 tahun bagi Sharif, Radia menjalani kehidupan seharian dengan sangat tenang. Dia makan, minum dan tidur di rumah tersebut tanpa rasa bersalah. Malah, tiga bulan sebelum tembelangnya pecah pada tahun 2023, dia dengan wajah selamba mengupah jiran tetangga untuk menyimen semula dan membaiki lantai garaj tersebut, seolah-olah dia sedang mengukuhkan kubur rahsianya itu.

BbSegala-galanya akhirnya terbongkar pada 31 Mei 2023 apabila abang kandung Radia menyerah diri kepada polis di Kenetra. Dia yang dihantui rasa bersalah yang tidak tertanggung sebelum ajalnya membuat pengakuan mengejutkan mengenai penglibatannya membantu Radia membunuh dan menanam mayat Azus. Pihak polis Tetouan yang melakukan penggalian intensif akhirnya menemui dua rangka manusia yang ditanam bertindih sedalam 1.5 meter. Siasatan mendedahkan bahawa motif di sebalik tindakan kejam ini berpunca daripada ketamakan harta dan konflik warisan. Radia enggan berkongsi aset Azus mengikut hukum yang sah. Selain itu, laporan bahawa Azus berniat untuk berkahwin lagi telah mencetuskan dendam melampau manakala pembunuhan Sharif pula dilakukan bagi memastikan rahsia jenayah pertamanya tidak terbongkar. Pada 22 Mei 2024, Mahkamah Rayuan Tetouan secara rasmi menamatkan sandiwara ini dengan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Radia.
Catat Ulasan for "Kisah 'Black Widow' Maghribi"