Kes Viral Korea Selatan, Wanita Cantik Rupanya Pembunuh Bersiri

     Suspek utama dalam kes ini merupakan seorang wanita muda berusia 22 tahun yang hanya dikenali sebagai Kim (lahir pada tahun 2005). Kim digambarkan sebagai seorang yang ketagih media sosial kerana dia sering memuat naik lebih daripada 10 hingga 30 hantaran (stories) di Instagram setiap hari. Kim menggunakan kecantikannya dan platform Instagram sebagai umpan untuk menarik perhatian lelaki. Menggunakan tanda pagar seperti #followme dan #DM, dia berjaya memujuk ramai lelaki untuk bertemu dengannya secara peribadi. Pakar kriminologi yang menganalisis kes ini percaya bahawa Kim menghidap Gangguan Personaliti Antisosialndi mana dia tidak mempunyai perasaan empati terhadap mangsa dan hanya mementingkan keuntungan peribadi yang kecil yakni seperti mahu dibelikan makanan atau barangan harian.

​     ​Jenayah Kim bermula dengan serangan terhadap teman lelakinya sendiri pada 14 Disember 2025. Selepas satu pertengkaran mengenai pembelian barang, Kim memberikan mangsa sebotol minuman tenaga yang telah dicampur dengan ubat penenang. Mangsa rebah di sebuah kafe hanya dalam masa 20 minit dan tidak sedarkan diri selama dua hari sebelum berjaya diselamatkan di hospital. Walaupun laporan polis dibuat, bukti pada waktu itu tidak mencukupi untuk menahan Kim.

     ​Kegagalan polis bertindak awal membawa kepada kematian mangsa kedua pada 28 Januari 2026. Kim mengajak seorang lelaki ke sebuah motel di bandar Suwon dengan alasan mahu makan daging barbeku yang hanya boleh dibawa pulang. Di sana, Kim telah menggandakan dos ubat penenang dalam minuman mangsa. Keesokan harinya, pemilik motel menemui mayat lelaki tersebut dalam keadaan kaku. Kim sekali lagi terlepas daripada tahanan polis kerana alasan kekurangan bukti dan pihak berkuasa sedang menunggu keputusan bedah siasat.

​     Keberanian Kim memuncak apabila dia melakukan serangan ketiga pada 9 Februari 2026. Kali ini, dia memperdayakan seorang pekerja pejabat untuk mengadakan temujanji makan ayam goreng di sebuah motel. Kim dilaporkan memaksa mangsa membeli ayam goreng bernilai lebih RM450 (100,000 Won) sebelum meracuninya. Selepas mangsa tidak sedarkan diri, Kim dilihat melalui rakaman CCTV meninggalkan motel dengan tergesa-gesa sambil membawa baki makanan. Dia juga sempat menghantar pesanan teks palsu kepada mangsa kononnya dia pulang awal untuk mencipta alibi.

     Pihak polis akhirnya berjaya menahan Kim pada 10 Februari 2026 di kediamannya di Bucheon. Hasil geledah rumah menemui pelbagai botol minuman tenaga dan ubat penenang jenis Benzodiazepine, ubat psikotropik yang sangat berbahaya jika dicampur dengan alkohol. Apa yang lebih mengerikan, rekod carian di telefon bimbitnya mendedahkan bahawa Kim pernah bertanya kepada ChatGPT tentang dos berbahaya ubat penenang yang boleh menyebabkan kematian.​

​     Hingga kini, lebih ramai lelaki tampil mendakwa mereka juga pernah menjadi mangsa "pukau" ubat penenang Kim sebelum ini. Walaupun jenayahnya kejam, terdapat segelintir pengguna media sosial yang memberikan komen tidak sensitif dengan memuji kecantikannya dan meminta dia dibebaskan. Pihak berkuasa Korea Selatan kini sedang menjalankan ujian PCLR (Senarai Semak Psikopati) untuk menentukan tahap gangguan mental suspek.


Catat Ulasan for "Kes Viral Korea Selatan, Wanita Cantik Rupanya Pembunuh Bersiri"