Kes Pembunuhan Kejam Manvendra Singh

Kisah ini bermula di kawasan Asiana, Lucknow, India, melibatkan sebuah keluarga yang pada zahirnya kelihatan sempurna dan berkecukupan. Manvendra Singh, seorang ahli perniagaan minuman keras yang berjaya dan pemilik klinik patologi merupakan seorang bapa tunggal yang gigih membesarkan dua orang anaknya, iaitu Akshad Pratap Singh (21 tahun) dan Kriti (16 tahun) selepas kematian isterinya pada tahun 2017.
Sebagai ketua keluarga, Manvendra mempunyai cita-cita yang amat tinggi terhadap masa depan anak sulungnya, Akshad. Dia sangat mendesak agar Akshad melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan untuk menjadi seorang doktor kerana menganggap kerjaya tersebut lebih menjamin masa depan berbanding impian Akshad yang ingin menceburi bidang perniagaan restoran.

Walau bagaimanapun, jurang komunikasi dan perbezaan minat ini menjadi punca keretakan hubungan antara bapa dan anak. Keadaan menjadi lebih parah apabila Akshad mula terjebak dengan najis dadah selain mengalami masalah kewangan yang serius hingga sanggup mencuri harta bapanya sendiri. Bagi menutup jenayahnya, Akshad dengan licik telah memfitnah pembantu rumah mereka sebagai pencuri. Kemarahan Akshad semakin memuncak apabila dia mendapat tahu bapanya merancang untuk berkahwin lagi yakni satu tindakan yang dianggapnya sebagai pengkhianatan terhadap memori arwah ibunya.
Kemuncak kepada segala ketegangan ini berlaku pada malam 19 Februari 2026. Selepas satu pertengkaran hebat mengenai masa depan dan disiplin diri, Akshad memendam amarah yang sangat mendalam. Pada awal pagi 20 Februari 2026, sekitar jam 2:30 pagi, Akshad mengambil senapang milik keluarga sebelum menceroboh masuk ke kamar bapanya di lantai tiga. Dalam keadaan Manvendra yang baru tersedar daripada tidur, Akshad tanpa belas kasihan melepaskan tembakan yang meragut nyawa bapa kandungnya itu. Bunyi tembakan tersebut mengejutkan adiknya, Kriti yang kemudian diugut bunuh oleh Akshad sekiranya berani melaporkan kejadian tersebut kepada sesiapa.

Menyedari bahawa tubuh bapanya terlalu berat untuk dialihkan secara utuh, Akshad mengambil tindakan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dia keluar membeli gergaji dan sebuah drum plastik berwarna biru. Menggunakan gergaji tersebut, Akshad mengerat mayat bapanya kepada beberapa bahagian selama berjam-jam. Bahagian tangan dan kaki dimasukkan ke dalam beg dan dibuang di kawasan Sadaruna manakala bahagian kepala dan badsn disembunyikan di dalam drum plastik yang diletakkan di dalam rumah. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, Akshad telah membuat laporan polis palsu pada 21 Februari di mana dia mendakwa kononnya bapanya hilang selepas berangkat ke Delhi.

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Penduduk setempat yang curiga dengan kehilangan Manvendra bertindak menyemak rakaman CCTV lalu mendapati mangsa sebenarnya sudah pulang ke rumah pada malam kejadian dan tidak pernah keluar lagi. Susulan desakan jiran tetangga, pihak polis melakukan penggeledahan di rumah mangsa pada 23 Februari dan menemui senapang di bawah katil serta drum plastik biru yang mengandungi sisa jasad mangsa yang ngeri. Akshad akhirnya tidak dapat mengelak lagi dan mengakui segala perbuatannya selepas disoal siasat dengan teliti. Dia kini berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup di bawah Kanun Keseksaan India atas tuduhan membunuh, menghapuskan bukti dan memberikan maklumat palsu.
Catat Ulasan for "Kes Pembunuhan Kejam Manvendra Singh"