Kisah Pembunuhan Kejam Irma Novitasari

      Pada tahun 2024 bertempat di Kabupaten Bandung, seorang ibu muda bernama Irma Novitasari yang berusia 24 tahun dilaporkan hilang selama tujuh bulan sebelum mayatnya ditemui tertanam dalam keadaan yang menyayat hati. Irma merupakan anak bongsu daripada tiga beradik yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah-belah. Dia bagaimanapun tetap menjadi kesayangan bapa dan adik-beradiknya yang lain. Sebelum kejadian ngeri ini, Irma bekerja sebagai penyanyi dangdut untuk menyara seorang anak kecil hasil daripada perkahwinan pertamanya yang gagal.

     Kehidupan Irma mula berubah ke arah kegelapan selepas dia mengenali lalu berkahwin secara siri (rahsia) dengan seorang lelaki bernama Asep Saifudin pada tahun 2023. Walaupun pada awalnya Asep kelihatan seperti seorang lelaki yang penyayang dan prihatin, watak sebenarnya yang panas baran dan kaki pukul mula terserlah selepas mereka tinggal bersama. Irma sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga dia terpaksa melarikan diri beberapa kali ke rumah bapanya di Cimahi. Namun setiap kali dia pergi, Asep akan memujuknya kembali dengan janji-janji manis yang akhirnya memakan diri Irma sendiri.

     Konflik memuncak pada Disember 2023 apabila Asep termakan fitnah orang luar yang mendakwa Irma mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Tanpa usul periksa, Asep yang dikuasai cemburu buta mula bertindak ganas. Disebabkan berasa terancam, Irma melarikan diri ke rumah rakannya di Pangandaran dan bercadang untuk merantau jauh ke Kalimantan demi memulakan hidup baru. Malangnya, Asep yang sudah dirasuki dendam tidak membiarkan perkara itu berlaku. Dia mula mengatur rancangan rapi untuk menghabisi nyawa isterinya dengan meminta bantuan daripada tiga rakannya yang lain.


     Rancangan jahat itu dilaksanakan pada 14 Januari 2024. Asep menggunakan taktik kotor dengan mengancam akan membunuh bapa kandung Irma sekiranya dia tidak pulang ke rumah. Dek kerana terlalu sayangkan bapanya, Irma terpaksa mengalah dan pulang ke pangkuan Asep. Pada malam kejadian yaknj di dalam bilik tidur mereka, Irma telah diserang secara berkumpulan. Rakan-rakan Asep memegang tangan dan menutup mulut mangs manakala Asep bertindak kejam dengan mengelar leher Irma menggunakan parang sehingga mangsa menghembuskan nafas terakhir. Mayatnya kemudian diseret keluar melalui jendela sebelum ditanam di kawasan kebun belakang rumah tanpa sebarang batu nisan bagi mengaburi mata penduduk kampung.

​      Asep berjaya menyembunyikan jenayahnya selama tujuh bulan dengan menyebarkan cerita palsu bahawa Irma telah melarikan diri dengan barang-barangnya. Walau bagaimanapun, rahsia itu mula terbongkar apabila salah seorang rakan Asep yang terlibat mula dihantui rasa bersalah lalu menceritakan kejadian itu kepada orang lain. Maklumat tersebut sampai ke pengetahuan keluarga Irma melalui pesanan rahsia di media sosial. Setelah laporan polis dibuat, pihak berkuasa melakukan proses penggalian di lokasi yang dinyatakan dan menemui mayat Irma.

     Apa yang lebih memilukan, hasil bedah siasat mendedahkan bahawa ketika dibunuh, Irma sebenarnya sedang hamil enam bulan. Hal ini bermakna Asep telah meragut dua nyawa sekaligus dalam satu masa. Asep akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis di tempat persembunyiannya di Bogor bersama tiga rakan subahatnya yang lain. Mereka kini berhadapan dengan pertuduhan pembunuhan terancang yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Irma Novitasari"