DERITA DALAM SENYAP : Chester Bennington
Chester Bennington merupakan vokalis utama kumpulan rock terkenal dunia, Linkin Park. Dia bukan sahaja dikenali kerana kebolehannya menyanyi dengan penuh emosi dan tenaga malah juga kerana kemampuannya menyampaikan penderitaan serta pergelutan dalaman melalui lirik dan muzik yang menyentuh hati. Cuma di sebalik kejayaan yang dikecapi bersama kumpulannya, Chester menghadapi pertempuran peribadi yang sangat mendalam dan berpanjangan. Pada 20 Julai 2017, dunia dikejutkan dengan berita kematiannya yang tragis. Chester ditemui mati di kediamannya di Palos Verdes Estates, California dan pihak berkuasa mengesahkan bahawa dia telah meninggal dunia akibat bunuh diri melalui gantung diri.
Beberapa hari terakhir sebelum pemergiannya memperlihatkan sisi kehidupan yang penuh kontras iaitu antara keceriaan luaran dan penderitaan dalaman yang tidak kelihatan. Gambar terakhir Chester telah diambil oleh isterinya, Talinda Bennington pada sehari sebelum dia meninggal dunia. Dalam gambar tersebut, Chester kelihatan tersenyum lebar bersama anak-anak mereka di beranda rumah percutian keluarga di Sedona, Arizona. Mereka sedang menikmati pemandangan hutan dan suasana gambar itu memancarkan kegembiraan serta ketenangan. Talinda berkongsi bahawa Chester kelihatan sangat bahagia ketika itu memberikan ciuman perpisahan kepada isteri dan anak-anaknya sebelum kembali ke Los Angeles untuk urusan kerja.
Salah satu video terakhir Chester pula dirakam hanya 36 jam sebelum kematiannya dan turut dikongsi oleh Talinda. Dalam video itu, Chester sedang ketawa dan bergurau bersama keluarganya sambil mencuba gula-gula. Dia kelihatan ceria dan penuh kasih sayang selain menunjukkan sisi dirinya sebagai seorang bapa serta suami yang penyayang. Talinda menulis bahawa video itu menjadi bukti bahawa kemurungan tidak selalu kelihatan pada wajah atau tindakan seseorang.
Pada hari Chester meninggal dunia, Linkin Park juga telah memuat naik video muzik untuk lagu Talking to Myself dari album One More Light. Video ini menampilkan rakaman persembahan dan aktiviti harian band termasuk detik-detik bersama Chester. Pelancaran video ini hanya beberapa jam sebelum berita kematian Chester diumumkan lalu menjadikannya sebagai karya terakhir yang dikeluarkan semasa hayatnya.
Enam hari sebelum kematiannya, Chester bersama ahli Linkin Park lain telah merakam episod Carpool Karaoke bersama pelawak Ken Jeong. Dalam video tersebut, Chester kelihatan gembira, menyanyi dan bergurau sepanjang perjalanan. Episod ini hanya disiarkan selepas mendapat keizinan daripada keluarga Chester dan kini dianggap sebagai salah satu kenangan manis terakhirnya bersama rakan-rakan bandnya. Ia menjadi bukti bahawa penderitaan jiwa tidak semestinya jelas pada mata kasar.
Catat Ulasan for "DERITA DALAM SENYAP : Chester Bennington"