Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CARTER DAN NATALIE

    Pada pagi 1 Ogos 2016 yakni bertempat di Georgia, Amerika Syarikat, pihak talian kecemasan telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar barangan. Menerusi panggilan telefon tersebut, lelaki itu memberitahu tentang penemuan dua mayat manusia iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan di belakang sebuah kedai runcit. Mayat perempuan tersebut ditemui dalam keadaan bertelanjang. Menerusi pemeriksaan pihak polis, dua mayat itu dikenalpasti sebagai Carter Davis dan Natalie Henderson yang masing-masing berusia 17 tahun. Berdasarkan laporan forensik, punca kematian kedua-dua mereka adalah akibat sedas tembakan pada bahagian kepala. Siasatan awal mendapati bahawa Carter dan Natalie berkemungkinan besar mati dibunuh.

    Hasil semakan pihak polis pada rakaman kamera litar tertutup, sebuah kereta jenis Honda Passport berwarna putih didapati berlegar di lokasi kejadian pada insiden pembunuhan dipercayai berlaku. Pihak polis tidak memerlukan masa lama untuk mengesan identiti pemilik kereta tersebut yang bernama Jeffrey Hazelwood, 20 tahun. Jeffrey turut menggunakan kad kredit milik Natalie di sebuah kedai minyak petrol pada selepas waktu kejadian. Berkenaan latar belakang Jeffrey, dia tinggal bersama dengan datuk dan neneknya. Jeffrey dikatakan mempunyai masalah tingkah laku sejak dari kecil di mana perkembangannya tidak sama dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Mengikut rekod, pihak polis pernah datang ke rumah Jeffrey sebanyak 8 kali sejak dari tahun 2010 susulan aduan tentang tingkah lakunya. Aduan ini termasuklah mengenai Jeffrey yang pernah mencuri pisau, pedang dan senjata api milik datuknya. Hinggalah satu hari, datuk Jeffrey yang sudah tidak tahan dengan perangai Jeffrey telah mengusir cucunya tersebut untuk keluar dari rumah. Sejak dari itu, Jeffrey pergi menumpang di rumah saudara dan rakan-rakannya. Walaupun Jeffrey bermasalah, dia yang merupakan seorang pekerja kedai runcit mempunyai seorang teman wanita. Jeffrey juga selalu memuat naik gambar swafoto serta foto teman wanitanya di laman Instagram.  

    Susulan bukti yang sedia ada, pihak polis telah menangkap Jeffrey untuk disoal siasat. Sewaktu sesi soal siasat, Jeffrey dilihat mula bertingkah laku pelik seperti menangis, menggigil, bercakap dengan nada suara yang halus. Pada mulanya, Jeffrey membuat penafian soal sebarang penglibatannya dalam kematian Carter dan Natalie. Namun selepas melihat sendiri rakaman yang menunjukkannya berada di lokasi kejadian sebelum dan sesudah kematian Carter dan Natalie, Jeffrey akhirnya membuat pengakuan tentang pembunuhan tersebut. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada Carter dan Natalie? Bagaimana dan mengapa pasangan itu dibunuh?

    Pada malam 31 Julai 2016, Carter dan Natalie telah menyelinap keluar dari rumah masing-masing tanpa pengetahuan ibu bapa mereka untuk bertemu buat kali pertamanya. Mereka berdua seterusnya melakukan hubungan asmara dalam kereta yang diparkir di belakang sebuah kedai runcit. Tanpa Carter dan Natalie sedari, aksi asmara mereka tersebut telah diperhatikan oleh Jeffrey. Tidak lama kemudian, Jeffrey pun berjalan menuju ke arah Carter dan Natalie. Setelah sampai di situ, Jeffrey pun membuka pintu kereta tersebut secara mengejut sekaligus menyebabkan berlakunya pertengkaran antara dia dengan Carter. Tanpa diduga, Carter telah dipukul oleh Jeffrey dengan pistol terlebih dahulu sebelum ditembak tepat pada bahagian kepala. Natalie menerima nasib yang sama. Cumanya dia disuruh untuk keluar dari kereta lalu diarahkan Jeffrey supaya menanggalkan semua pakaiannya. Jeffrey sempat mencabul Natalie sebelum melepaskan tembakan terhadap gadis itu.

    Berhubung dengan perbicaraan kes, pihak pembelaan menggunakan hujah bahawa Jeffrey mempunyai penyakit mental hingga menyebabkannya mengalami kemurungan dan berhalusinasi. Motif? Tidak jelas akan tetapi Jeffrey membuat dakwaan telah mendengar suara bisikan halus pada telinganya yang menyuruhnya untuk melakukan pembunuhan. Seperkara harus diketahui sepanjang tempoh Jeffrey berada di mahkamah, dia mengelakkan untuk bertentangan mata dengan keluarga Carter dan Natalie. Penamat cerita, Jeffrey yang didapati bersalah atas dua pertuduhan membunuh telah dipenjarakan untuk seumur hidup tanpa sebarang pembebasan bersyarat. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CARTER DAN NATALIE"