Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SOGEN KATO : Mayat yang Terbiar Selama 32 Tahun.

    Kisah ini dilaporkan berlaku pada tahun 2010 bertempat di Tokyo, Jepun. Satu hari, pasukan pihak polis telah pergi memeriksa sebuah rumah yang dihuni oleh seorang lelaki tua berusia 111 tahun iaitu Sogen Kato. Pemeriksaan tersebut dibuat selepas pihak polis mendapat aduan daripada pekerja kebajikan sosial yang mendakwa bahawa keluarga Kato tidak memberikan sebarang kerjasama sewaktu dia cuba melawat Kato. Perkara itu berlaku sejak dari awal tahun berkenaan lagi. Pada mulanya, pekerja sosial itu ingin menjenguk Kato sempena pengiktirafan kepada Kato yang dipercayai sebagai lelaki paling tua di Tokyo pada waktu tersebut. Namun apabila ada antara keluarga Kato yang sering memberikan pelbagai alasan mengenai keberadaan Kato, perkara itu sekaligus menimbulkan rasa curiga pekerja kebajikan sosial tersebut.

    Berbalik dengan cerita asal yakni selepas pihak polis melakukan pemeriksaan, mereka telah menemui rangka tulang manusia yang sedang berbaring di atas katil bilik tidur Kato. Rangka tulang manusia yang tidak lain tidak bukan Sogen Kato itu terbaring dengan berpakaian baju tidur dan seluar dalam sambil ditutupi kain selimut. Hasil laporan forensik, punca kematian Sogen adalah tidak dapat untuk dipastikan akan tetapi dia diyakini sudah pun meninggal dunia sejak dari bulan November 1978 berdasarkan penemuan surat khabar di lokasi kejadian. Perkara ini juga bermaksud bahawa rangka tulang Kato sudah terbiar di rumah tersebut selama 32 tahun lamanya.

    Tentang Sogen Kato, dia dilahirkan pada 22 Julai 1899 dan meninggal dunia pada usianya 79 tahun. Menerusi keterangan daripada cucu Kato yang berusia 53 tahun, dia mendakwa bahawa datuknya itu telah mengunci pintu dari dalam bilik pintu tidurnya pada 32 tahun lepas. Kato yang juga merupakan seorang penganut agama Buddha berbuat sedemikian kerana ingin memumiakan diri. Dalam agama Buddha, terdapat satu amalan memumiakan diri yang dipanggil sebagai Sokushinbutsu. Walau bagaimanapun, amalan yang dimulakan sejak dari abad ke 11 hingga ke abad 19 ini telah pun diharamkan di Jepun.

    Penjelasan lebih ringkas, kematian Kato tidak pernah dilaporkan secara rasmi. Susulan penemuan rangka tulang Sogen Kato, dua orang anggota keluarganya iaitu Michiko Kato (81 tahun) dan Tokimi Kato (53 tahun) telah didakwa melakukan penipuan penggelapan wang pencen milik Kato berjumlah sebanyak 117 939 mata wang Dollar Amerika Syarikat. Michiko adalah anak kepada Sogen Kato manakala Tokimi pula merupakan anak Michiko. Malah dua anak-beranak itu turut mengambil wang pencen dari akaun isteri Kato yang telah meninggal dunia sejak dari tahun 2004. Mendiang isteri Kato pada waktu sebelumnya turut menerima wang pencen tersebut kerana dinamakan Kato sebagai penerima bersama. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Tokimi telah menerima hukuman penjara selama dua tahun setengah atas pertuduhan itu. Dia juga dilaporkan benar-benar menyesali perbuatan tersebut. Kes Sogen Kato ini telah menjadi sorotan utama pihak media yang mengkritik cara pengurusan pihak berkuasa Jepun dalam hal-ehwal penyimpanan rekod maklumat individu yang sudah berusia lebih dari 100 tahun.

Catat Ulasan for "KISAH SOGEN KATO : Mayat yang Terbiar Selama 32 Tahun. "