Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH AYU SHELISHA : Wanita di Dalam Tangki Septik

    Pada pagi 11 November 2019 bertempat di kawasan perkampungan Kabupaten Bantul, penduduk kampung dikejutkan dengan berita kematian seorang lelaki berusia 32 tahun bernama Edi Susanto akibat bunuh diri. Mayat Edi yang tergantung di dalam rumahnya itu telah ditemui sendiri oleh bapa kandungnya sendiri yang bernama Waluyo. Setakat yang diketahui, Edi yang dikatakan mengalami kemurungan pernah melakukan percubaan bunuh diri sebanyak tiga kali pada waktu sebelumnya. Pada malam sebelum kejadian, Edi tiba-tiba telah mengajak bapanya untuk solat berjemaah sekali. Bagi Waluyo, perkara itu adalah sangat pelik memandangkan hubungannya dengan Edi selama ini tidaklah berapa baik.

    Sebelum membunuh diri, Edi juga ada meninggalkan sekeping nota bertulis. Dalam nota tersebut, kematiannya adalah menyusul nenek dan bekas isterinya iaitu Ayu Shelisha yang telah dilaporkan hilang sejak dari tahun 2009. Tidak dapat dijelaskan punca sebenar Edi membunuh diri. Namun apa yang dapat dipastikan, Edi mengalami perubahan sikap secara mendadak setelah Ayu Shelisha menghilang. Edi menjadi seorang pendiam dan ada kalanya bercakap seorang diri. Malah dia juga mendakwa bahawa Ayu Shelisha ada berada di sekitar rumahnya.

    Sebulan selepas kematian Edi, Waluyo memanggil tukang paip untuk memperbaiki tangki septik di belakang rumahnya yang telah tersumbat. Apa yang berlaku kemudian yakni sewaktu tukang paip tersebut membuka penutup tangki septik, dia berasa terkejut apabila mendapati terdapat rangka manusia di dalam tangki septik itu. Penemuan mengerikan tersebut segera dilaporkan Waluyo kepada pihak polis. Hasil pemeriksaan forensik dan DNA, identiti rangka manusia itu ternyata sah dikenal pasti sebagai Ayu Shelisha. Susulan penemuan mayat Ayu Shelisha, ibunya yang berusia 51 tahun iaitu Anik Maidarningsih mendakwa pernah beberapa kali bermimpi bertemu dengan anaknya itu di sebuah lokasi yang dikelilingi dengan pokok buluh, sama seperti di kawasan rumah Waluyo. Walau bagaimanapun, Anik memilih untuk mengabaikan saja petanda mimpi tersebut kerana beranggapan dia terlampau merindui anak perempuannya itu.

    Edi dan Ayu Shelisha dilaporkan telah berkahwin pada tahun 2006 di mana waktu itu Ayu Shelisha baru saja berusia 16 tahun manakala Edi pula 19 tahun. Sesudah perkahwinan tersebut, pasangan itu telah berhijrah ke Yogyakarta. Edi menyara kehidupan mereka dengan bekerja sebagai buruh. Ayu Shelisha pula disuruh untuk menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Rumah tangga Edi dan Ayu Shelisha bagaimanapun mula retak seawal tahun pertama perkahwinan mereka. Ayu Shelisha pernah memberitahu ibu dan pasangan kembarnya tentang niatnya yang ingin bercerai kerana dia sering menjadi mangsa penderaan oleh Edi.

Ibu Ayu Shelisha

    Tahun 2009, Ayu Shelisha akhirnya bekerja menjaga gerai di sebuah tapak pasar malam. Hinggalah satu hari, Ayu Shelisha tidak dapat dihubungi sama sekali oleh keluarganya. Dalam erti kata lain, Ayu Shelisha hilang tanpa sebarang jejak. Hanya sesudah kehilangan Ayu Shelisha, barulah keluarga Ayu Shelisha mendapat tahu mengenai status Ayu Shelisha yang sebenarnya sudah bercerai dengan Edi. Cuma menurut Edi, dia sendiri pun tidak mengetahui keberadaan bekas isterinya itu. Pihak polis yang menerima laporan kehilangan Ayu Shelisha buntu dalam melakukan pencarian kerana tidak memperolehi sebarang petunjuk jelas. Pengakhiran kisah, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan Ayu Shelisha telah menjadi mangsa pembunuhan dengan tiada pihak lain yang terlibat selain Edi. Hanya itu saja pihak polis yang boleh simpulkan.                                                                  

Catat Ulasan for "KISAH AYU SHELISHA : Wanita di Dalam Tangki Septik"