Kisah Hannah Pettey: Suamiku Doktor, Suamiku Pembunuh


     Kisah ini bermula dengan gambaran kehidupan pasangan yang ideal di Decatur, Alabama, Amerika Syarikat. Hannah Pettey, seorang wanita muda yang ceria bertemu dengan Brian Mann iaitu seorang doktor kiropraktik yang berjaya dan memiliki kliniknya sendiri. Pasangan ini berkahwin pada Mei 2018 setelah setahun berkenalan dan kemudian dikurniakan dua orang cahaya mata. Namun di sebalik imej keluarga bahagia yang dipaparkan, Brian mula menyusun agenda gelap untuk mengawal sepenuhnya kehidupan isterinya termasuk memaksa Hannah berhenti kerja dan memadamkan semua akaun media sosialnya atas alasan privasi.


     Menjelang musim panas tahun 2021, kesihatan Hannah mula merosot secara drastik tanpa punca yang jelas. Dia mengalami simptom yang menyakitkan seperti muntah-muntah, sakit perut yang kronik dan keletihan melampau sehingga tidak mampu untuk berdiri. Berat badan Hannah menyusut dengan mendadak daripada 56 kilogram kepada hanya 38 kilogram dalam tempoh yang singkat. Di saat Hannah menderita, Brian bertindak sebagai "penjaga" yang sangat prihatin. Dia yang melarang Hannah ke hospital memberikan isterinya kapsul vitamin setiap malam dengan alasan ia adalah suplemen untuk meningkatkan sistem imun badan.

     Kebisuan kes ini akhirnya pecah apabila ibu Hannah, Nicole bertindak membawa anaknya itu ke hospital secara paksa pada Januari 2022 setelah menyedari keadaan fizikal Hannah yang sudah seperti tengkorak hidup. Doktor yang merawat memberikan amaran keras bahawa Hannah hanya mempunyai baki beberapa jam sahaja untuk hidup. Melalui ujian imbasan X-ray dan ujian darah, pakar perubatan terkejut apabila menemui bahan bercahaya di dalam sistem pencernaan Hannah yang disahkan sebagai logam plumbum pada tahap yang membawa maut. Penemuan ini segera dilaporkan kepada pihak polis kerana jumlah plumbum yang begitu tinggi tidak mungkin masuk ke dalam badan secara semula jadi atau tidak sengaja.


    Plumbum merupakan bahan neurotoksin yang sangat berbahaya. Apabila tahap plumbum dalam darah menjadi terlalu tinggi, ia akan merentasi sawar darah otak (blood-brain barrier). Dalam kes ini, Hannah mengalami sawan yang dahsyat dan hilang kesedaran (koma). Doktor terpaksa melakukan prosedur pembedahan menebuk lubang pada tengkorak mangsa bagi mengurangkan tekanan di dalam otak yang membengkak akibat keracunan tersebut. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kerosakan otak kekal atau kematian serta-merta.

     Siasatan pihak berkuasa mendedahkan taktik licik Brian Mann. Dia didapati mengumpul sisa debu plumbum daripada projek pengubahsuaian di kliniknya lalu memasukkan bahan beracun itu ke dalam kapsul vitamin yang diberikan kepada Hannah setiap malam. Motif utama Brian adalah untuk menuntut pampasan insurans nyawa yang bernilai tinggi yang telah diambilnya ke atas Hannah. Malah dalam satu cubaan terdesak untuk mengaburi mata penyiasat, Brian sanggup menelan sedikit plumbum agar dirinya juga kelihatan seperti mangsa keracunan. Walau bagaimanapun, eoktor berjaya membuktikan bahawa kandungan plumbum dalam badannya adalah baru dan tidak kronik seperti yang dialami isterinya.

 
     Pada Jun 2025, Hannah yang telah pulih secara ajaib tampil di mahkamah untuk memberikan keterangan terhadap suaminya. Dia mendedahkan betapa Brian sangat mendominasi hidupnya selain pernah memaksa dia memakai pemberat pada buku lali semasa pemeriksaan kesihatan insurans agar berat badannya tidak kelihatan susut. Akhirnya pada Ogos 2025, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Brian Mann atas kesalahan cubaan membunuh. Walaupun Hannah kini berjaya membina kehidupan baru sebagai seorang guru, dia terpaksa menerima hakikat pahit bahawa keracunan tersebut telah menyebabkan kerosakan kekal pada sistem peranannya yang menjadikannya tidak lagi mampu untuk hamil.

Catat Ulasan for "Kisah Hannah Pettey: Suamiku Doktor, Suamiku Pembunuh"