Misteri Hantu Heilbronn: Kisah "Pembunuh Bersiri" yang Tidak Pernah Wujud

Sejarah jenayah Eropah pernah dikejutkan dengan pencarian seorang wanita misteri yang dianggap sebagai penjenayah paling berbahaya dan licin selama lebih 15 tahun. Digelar sebagai Phantom of Heilbronn atau Wanita Tanpa Wajah, profil DNA wanita ini ditemui di lebih 40 lokasi jenayah merentasi Jerman, Austria dan Perancis. Namun di sebalik ketakutan yang dicetuskannya, kebenaran di sebalik identiti wanita ini rupa-rupanya jauh lebih pelik daripada mana-mana plot filem thriller.
Misteri ini bermula pada tahun 1993 apabila DNA wanita tersebut buat pertama kalinya ditemui di lokasi pembunuhan seorang pesara wanita berusia 62 tahun, Lieselotte Schlenger di Idar-Oberstein, Jerman. Mangsa telah dijerut sehingga mati dengan wayar. Walaupun polis melakukan siasatan rapi, tiada suspek ditemui. Profil DNA yang ditinggalkan pada cawan teh berhampiran mayat mangsa menjadi satu-satunya petunjuk fizikal yang ada tetapi ia tidak padan dengan mana-mana pangkalan data jenayah pada waktu itu.
Keadaan menjadi semakin membingungkan apabila lapan tahun kemudian yakni pada Mac 2001, profil DNA yang sama muncul kembali di lokasi pembunuhan seorang lelaki berusia 61 tahun, Joseph Walzenbach, di Freiburg. Dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, DNA wanita ini mula dikesan secara rawak di pelbagai lokasi yang tidak masuk akal daripada picagari heroin yang digunakan oleh seorang penagih dadah hinggalah ke lokasi kecurian kereta, rompakan kedai dan kes pecah rumah. Pihak polis mula percaya bahawa mereka sedang berhadapan dengan seorang pembunuh bersiri yang juga merupakan seorang penjenayah tegar yang terlibat dalam pelbagai jenis salah laku.
Kemuncak kepada kes ini berlaku pada 25 April 2007 apabila seorang pegawai polis muda bernama Michele Kiesewetter ditembak mati di kepala ketika sedang berehat di dalam kereta peronda di Heilbronn. Rakan setugasnya cedera parah. Di lokasi kejadian, profil DNA wanita misteri itu sekali lagi ditemui. Kejadian ini mencetuskan kemarahan awam hingga menyebabkan pihak berkuasa Jerman menawarkan ganjaran sebanyak €300 000 untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapannya. Siasatan besar-besaran dilancarkan melibatkan ribuan jam kerja lebih masa dan ujian DNA ke atas ribuan wanita. Walau bagaimanapun, pencarian tersebut tetap menemui jalan buntu.
![]() |
| Michele Kiesewetter |
Ketidakselarasan profil jenayah mula menimbulkan syak wasangka di kalangan beberapa penyiasat. Bagaimana mungkin seorang wanita boleh menjadi pembunuh upahan yang profesional, penagih dadah jalanan dan pencuri kecil dalam satu masa yang sama? Malah dalam satu kes rompakan di Saarbrucken pada tahun 2006, saksi mata dengan jelas menyatakan bahawa suspek yang mereka lihat adalah seorang lelaki. Ujian makmal bagaimanapun tetap menunjukkan DNA wanita yang sama. Persoalan mula timbul, adakah wanita ini mempunyai kuasa ghaib atau adakah terdapat kesilapan dalam sistem forensik itu sendiri?
Jawapan kepada teka-teki ini akhirnya terbongkar secara tidak sengaja pada Mac 2009. Pihak polis di Perancis cuba mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki yang terbakar melalui profil DNA. Keputusan makmal menunjukkan DNA tersebut adalah milik wanita yang dicari selama ini. Secara biologi, ia adalah mustahil untuk mayat seorang lelaki mempunyai profil DNA seorang wanita sepenuhnya. Pihak berkuasa mula melakukan ujian dalaman ke atas alat peralatan forensik mereka.
Hasil siasatan mendapati punca sebenar bukanlah seorang penjenayah yang licik tetapi sebaliknya adalah pencemaran pada putik kapas yang digunakan untuk mengambil sampel DNA. Putik kapas tersebut dihasilkan oleh sebuah syarikat perubatan di mana seorang wanita yang bekerja di kilang itu telah mencemarinya secara tidak sengaja semasa proses pembungkusan. Walaupun putik kapas tersebut disterilkan untuk kegunaan perubatan, ia tidak dibersihkan daripada sisa DNA manusia sebelum digunakan untuk kerja forensik polis.
Kes Phantom of Heilbronn berakhir dengan penuh memalukan buat agensi penguatkuasa Eropah. Berjuta-juta euro telah dibazirkan dan beratus-ratus kes terpaksa disemak semula. Kes pembunuhan Michele Kiesewetter akhirnya didapati dilakukan oleh kumpulan pengganas neo-Nazi (NSU) manakala kes-kes lain dilakukan oleh individu yang berbeza-beza tanpa kaitan antara satu sama lain.

Catat Ulasan for "Misteri Hantu Heilbronn: Kisah "Pembunuh Bersiri" yang Tidak Pernah Wujud"